TikTok penanda aras lagu popular? - Utusan Malaysia

TikTok penanda aras lagu popular?

Fedtri melahirkan kebimbangan sekiranya masyarakat dijamu dengan pilihan lagu tidak ‘berkhasiat’ .
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENULIS lirik, Ahmad Fedtri Yahya, 41, akur apabila stesen radio cenderung memutarkan lagu sudah popular di platform TikTok yang disifatkan lebih komersial untuk menarik perhatian pendengar.

Selain sudah tular dan mesra di pendengaran, pilihan lagu itu juga menyaksikan pengkarya tempatan perlu bersaing sengit dengan karya hebat dari luar yang mendapat jumlah tontonan lebih tinggi, terutama di platform seperti YouTube.

Situasi itu kata Fedtri, mencetuskan kebimbangan sekiranya masyarakat dijamu dengan pilihan lagu tidak ‘berkhasiat’ yang secara tidak langsung merosakkan pemahaman pendengar mengenai ‘bahasa’.

“Stesen radio akan memutarkan lagu yang sudah terkenal di TikTok kerana ia lebih dekat dengan pendengar. Namun, penerimaan sesebuah lagu juga bergantung kepada platform lain yang turut membantu dari aspek komersial dan tular.

“Pilihan lagu kesukaan peminat juga berbeza. Ada lebih meminati sentuhan tidak terlalu berat atau lagu yang dekat dengan situasi mereka lalui.

“Namun, tidak saya nafikan, kebanyakan pihak lebih berkiblatkan TikTok untuk menentukan kriteria populariti sesebuah lagu,” katanya.

DIJAJAH NEGARA SEBERANG
Mengulas mengenai lagu balada yang banyak dikuasai komposisi dari negara seberang, penulis lirik Terlalu Memuja dan Sulit itu berkata, kebanyakan lagu yang popular dari Indonesia mungkin tepat dengan situasi dilalui pendengari.

“Balada dari Malaysia tidak banyak yang menyerlah. Saya pernah bersembang dengan Allahyarham Johan Nawawi, bagaimana beliau boleh hasilkan lagu sehebat Jentayu nyanyian Datuk Nora dan Datuk Sheila Majid.

“Arwah cakap dia perlukan magis untuk hasilkan lagu itu. Selain itu, kalau kita lihat lirik dihasilkan pada era 1980-an hingga 1990-an daripada penulis seperti Datuk Habsah Hassan dan S. Amin Shahab, penulisan mereka lebih ringkas tetapi ‘makan dalam’ seperti Suci Dalam Debu, Menaruh Harapan, Camar Yang Pulang, Kemaafan Dendam Yang Terindah. Kalau zaman 2000, kita ada lagu seperti Purnama Merindu yang nampak ringkas tetapi kena dengan jiwa Melayu,” katanya.

Mengulas mengenai penghasilan lirik balada, Fedtri berkongsikan teknik menghasilkan lagu yang memerlukan elemen metafora seperti Sampai Bila nyanyian Misha Omar.

“Saya wajibkan ada metafora dalam setiap lirik yang saya hasilkan. Lagu Basyirah nyanyian Datuk Siti Nurhaliza contohnya, itu memang makanan saya. Namun, saya cuba suntik elemen Asia Barat, tetapi lirik masih mengangkat unsur kiasan dalam lagu,” katanya.

RAMUAN LAGU KETUHANAN
Bergiat aktif sejak 2002 dalam penghasilan lirik lagu, Fedtri amat menggemari sentuhan etnik kreatif dan nasyid, selain balada.

Bagi memastikan nasyid untuk bangkit kembali, kongsinya, sudah ramai pihak mencuba pelbagai ramuan, namun belum dapat menandingi zaman kegemilangan yang dicipta kumpulan seperti Rabbani dan Raihan.

Jelasnya, pendekatan acuan popular perlu diguna pakai bagi memastikan nasyid mendapat liputan meluas pendengar.

“Kalau hasilkan lirik nasyid, saya lebih teliti kerana mahukan impak terhadap pendengar supaya mereka boleh amalkan mesej yang disampaikan. Saya tidak mengutamakan elemen tular semata-mata.
“Ramuan mujarab adalah kita perlukan artis popular untuk tampil ke depan. Contohnya seperti lagu ketuhanan hits, PadaMu Ku Bersujud nyanyian Afgan.

“Lagu tersebut tidak bunyi terlalu nasyid, tetapi impaknya sangat besar kerana keluar daripada kepompong kebiasaan lagu ketuhanan,” katanya.

Sekiranya berpeluang menghasilkan lagu untuk penyanyi duet popular, Nuha Bahrin dan Naufal Azrin, Fedtri berkata, beliau akan memilih elemen yang berupaya menjadi sentuhan malar segar, berbanding hits sementara.

“Lirik terutama yang berkisar mengenai ilmu akan malar segar, berbeza lirik lagu cinta kerana orang akan cepat bosan. Lirik yang bermanfaat dapat digunakan dalam kelas, kuliah atau pengajian lain,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN