Pada tahun 2019, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan satu daripada lapan orang dia seluruh dunia menghidap gangguan mental.
Peratusan itu agak membimbangkan memandangkan kesihatan mental memainkan peranan penting dalam prestasi individu.
Pakar Psikologi Klinikal di Pusat Perubatan Sunway, Sunway City, Yap Chee Khong berkata, tidur tidak berkualiti antara punca menjejaskan kesihatan mental.
Katanya, masalah tidur atau insomnia berlarutan memberi kesan negatif bukan sahaja terhadap kesihatan fizikal dan mental tetapi keselamatan, perhubungan serta prestasi individu.
“Tabiat tidur salah juga menjadi punca kepada sukar untuk menyelesaikan insomnia.
“Antaranya masuk ke tempat tidur terlalu awal walaupun belum rasa mengantuk boleh menjadi punca sukar tidur.
“Kalau boleh elakkan makan berat sebelum tidur kerana ia boleh meningkatkan risiko senak dan pedih ulu hati yang menyebabkan tidur terganggu,” katanya. Beliau turut mengingatkan untuk mengelakkan minum banyak air pada waktu petang kerana ia boleh menyebabkan kerap membuang air kecil sepanjang malam.
Tips tingkat kualiti tidur
1. Elak pengambilan kafein pada waktu petang.
2. Elak tembakau, alkohol, senaman berat dan makan berlebihan tiga jam sebelum tidur.
3. Urus minda dan pemikiran dengan baik satu jam sebelum tidur.
4. Senaraikan kebimbangan dan penyelesaiannya.
5. Lakukan aktiviti santai sebelum tidur dan hanya tidur apabila terdapat tanda mengantuk yang jelas.
6. Tingkatkan aktiviti relaksasi seperti membaca dan mendengar muzik.










