Tenun, ‘buah hati’ Tunku Azizah - Utusan Malaysia

Tenun, ‘buah hati’ Tunku Azizah

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah berkenan bergambar kenangan bersama sultanah negeri ketika melawat pameran selepas merasmikan Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8 di Hotel Marriot, Putrajaya baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANYAMAN tekstil menjadi jambatan komuniti di seluruh dunia. Penenun menterjemahkan rasa cinta dan menghormati warisan melalui kepelbagaian warna, tekstur dan corak. Ia menukilkan kekayaan sejarah, kisah dan pusaka yang dihormati melalui peredaran masa.

Dua dekad lalu, permulaan episod perjalanan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam memelihara dan menghidupkan semula tradisi budaya tenunan.

Ia bermula ketika Seri Paduka Baginda memberi tumpuan kepada pembangunan dan penjenamaan semula tenun Pahang kepada Tenun Pahang Diraja di Pulau Keladi, Pekan Pahang dengan menyemai benih, memupuk dan mempromosikan industri tenunan.

Berbekalkan kesabaran dan kecekalan serta dorongan daripada pelbagai pihak, termasuk sokongan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri, sedikit demi sedikit industri tenunan mengorak langkah daripada seni yang sudah lama dilupakan kepada artisan yang dihidupkan semula.

Kini, tenunan cantik Tenun Diraja Pahang mula dikenali ramai dan boleh dikomersialkan.

Usaha Tunku Azizah tidak terhenti di situ. Lawatan sambil belajar yang dinamakan Tawaf Tenun membawa baginda bukan sahaja ke semua negara ASEAN tetapi juga ke India, Turkiye dan London untuk melihat sendiri semua amalan semasa negara-negara berkenaan dalam mengekalkan tradisi lama mereka terutamanya tenunan.

Selepas menyertai Minggu Kraf London untuk mempamerkan kepada dunia Tenun Diraja Pahang pada Mei lalu, Malaysia menjadi tuan rumah Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 2022 menghimpunkan lebih 300 penggiat seni tekstil, artisan dan penenun dari negara-negara anggota dan rantau lain baru-baru ini.

Diperkenan rasmi Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah, simposium bertemakan Celebrating Textiles: A Journey itu merupakan platform bagi membincangkan dan berkongsi maklumat mengenai isu berkaitan pemeliharaan dan kelestarian tekstil tenunan asli serantau.

Dalam titah perasmian, Seri Paduka Baginda menzahirkan keterujaan berada pada majlis ini yang menjadi ‘buah hati’ Raja Permaisuri Agong kerana seni kraftangan dan budaya amat dekat di hati Tunku Azizah.

“Raja Permaisuri begitu sibuk dalam memastikan simposium ini berjaya dengan meletakkan seluruh tenaga dan usaha untuk menjayakan majlis ini,” titah baginda dalam majlis penuh elemen kebudayaan yang turut dihadiri sultanah-sultanah negeri.

Simposium anjuranYayasan Tenun Pahang Diraja itu membabitkan lebih 300 penggiat seni tekstil dengan sebanyak 19 kertas kerja dibentangkan oleh 13 buah negara terlibat antaranya Brunei, Kanada dan Vietnam.

Baginda turut menyentuh mengenai peranan kerabat Diraja dalam memelihara tradisi dan warisan, sama ada makanan, seni, kraf dan persembahan tidak boleh dinafikan selagi wujudnya monarki, kekayaan warisan negara tetap kekal utuh.

Baginda bertitah mengenai keperluan memainkan peranan dan menjadi tanggungjawab meneruskan legasi ditinggalkan nenek moyang yang sudah tentunya berharap ia dapat diteruskan dan tidak membiarkannya mati.

“Beta mempunyai visi, yang sepatutnya menjadi visi semua orang, untuk meninggalkan kraf tradisional kami yang berharga sebagai warisan untuk generasi akan datang. Itulah harapan beta.

“Sebagai penjaga budaya, beta mengambil tanggungjawab sentiasa meletakkan kepentingan untuk memelihara, menghidupkan semula dan meninggalkan warisan yang bukan sahaja mengenai tekstil tetapi budaya dan warisan secara keseluruhannya,” titah baginda.

Simposium dianjurkan dua tahun sekali ini turut menampilkan pameran tekstil termasuk koleksi tenun peribadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta demonstrasi pembuatan kraf seperti Tenun Pahang Diraja, songket, anyaman mengkuang dan ukiran kayu serta jualan pelbagai kraf.

Simposium Tekstil Tradisional ASEAN bermula sejak tahun 2005 yang mana Indonesia merupakan penganjur pertama dan diteruskan lagi di Filipina pada 2009, Malaysia (2011), Vietnam (2013), Thailand (2015), Brunei (2017) dan kali terakhir di Indonesia (2019).

Yayasan Tenun Pahang Diraja ditubuhkan pada 29 September 2017 bertujuan memajukan Tenun Pahang Diraja sebagai perusahaan kraf warisan yang boleh meningkatkan taraf hidup rakyat dengan mewujudkan peluang pekerjaan untuk penggiat seni dan penenun.

Yayasan berkenaan berada di bawah naungan Al-Sultan Abdullah, manakala Tunku Azizah merupakan Pengasas Bersama dan juga Penerusi yayasan berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN