JIKALAU ada yang berfikiran bahawa tugas dan peranan tentera hanya diperlukan ketika perang, ia tanggapan yang amat salah sama sekali.
Di sebalik dakwaan segelintir pihak kononnya tentera hanyalah makan dan tidur, perwira negara ini hakikatnya mempunyai misi lain termasuklah memberi bantuan kepada rakyat menerusi misi kemanusiaan.
Semua misi bantuan kemanusiaaan ini sudah bermula menerusi pelaksanaan program jiwa murni (PJM) ketika era menentang pengganas komunis pada era 1970-an lagi sehingga kini.
Walaupun program ini sudah bermula lebih 30 tahun lalu, PJM masih relevan bagi memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Justeru, Kementerian Pertahanan meneruskan aspirasi ini untuk membantu meringankan beban golongan asnaf selaras konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Ogos tahun lepas.

Sebanyak RM1.68 juta diluluskan Jawatankuasa Civil Military Cooperation (CIMIC) Kementerian Pertahanan (JK CIMIC KEMENTAH) bagi melaksanakan 107 PJM pada tahun 2021.
Projek ini telah bermula pada 16 Ogos lalu dan siap sepenuhnya pada 16 Nov tahun yang sama dengan dirasmikan oleh Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kepada seorang penerima PJM di Sembrong pada 30 Oktober 2021.
Dengan manfaat yang begitu baik kepada veteran ATM, PJM diteruskan lagi melibatkan pertambahan 218 projek melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM4 juta.
PJM ini telah memberikan manfaat kepada 13 veteran ATM.
Bagi memastikan semua PJM dapat dijayakan dengan baik, Tentera Darat mengatur gerak Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) untuk menyelaras dan melaksanakan keseluruhan projek bermula pada Mac 2022 dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember tahun ini.
Skop kerja RAJD sepanjang PJM dilaksanakan tertumpu kepada kerja baik pulih dan pembinaan infrastruktur baharu seperti rumah serta pusat komuniti.
Selain itu, RAJD turut bertanggungjawab membantu kerja senggaraan parit gajah di Sembrong, Johor Sembrong, Johor sepanjang 35km untuk menghalang haiwan tersebut merosakkan tanaman kelapa sawit penduduk sekitar.
Dalam pada itu, semua penetapan lokasi PJM KEMENTAH tahun ini berpandukan kemampuan dan penilaian pasukan RAJD di bawah Kawasan Tanggungjawab (KTJ) 2 Divisyen, 3 Divisyen dan 4 Divisyen.
Sebagai rekod, 116 buah projek disenaraikan di KTJ 2 Divisyen melibatkan negeri Perlis (5), Kedah (40), Pulau Pinang (24), Kelantan (41) dan Terengganu (6).
Daripada jumlah tersebut 52 PJM telah siap, tujuh sedang dilaksanakan dan 57 dalam rancangan.
Manakala di bawah KTJ 3 Divisyen pula, 44 buah projek tersenarai dengan melibatkan negeri Pahang (28) dan Johor (16). 37 PJM telah siap dan tujuh (7) sedang dilaksanakan.
Dibawah tanggungjawab KTJ 4 Divisyen pula, sebanyak 58 buah projek pula disenaraikan dengan melibatkan Kuala Lumpur (9), Selangor (16) dan Perak (33).
Daripada jumlah tersebut 19 PJM telah siap, 7 sedang dilaksanakan dan 32 dalam rancangan.
Keseluruhan PJM yang berakhir pada 30 September 2022, peratus kemajuan keseluruhan 52.7 peratus iaitu 108 telah siap berbanding 104 yang diunjurkan pada bulan September 2022, 21 sedang dilaksanakan dan 89 dalam rancangan.
Pelaksanaan ini amat bertepatan dengan visi konsep aspirasi Keluarga Malaysia yang mencerminkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
Sementara itu, biarpun lebih separuh daripada keseluruhan projek telah siap, Tentera Darat tidak terkecuali berdepan cabaran.
Antara cabaran ditempuhi ialah pembahagian tugas lain melibatkan tentera dan awam di bawah formasi naungan masing-masing selain bantuan kejuruteraan kepada operasi lain Operasi Murni (Op Murni).
Namun, sasaran tempoh masa pelaksanaan tetap berjaya dicapai hasil kerjasama antara Tentera Darat dengan pelbagai agensi dan individu serta pemimpin setempat.
Tentera Darat Malaysia akan memastikan pelaksanaan dan rancangan PJM KEMENTAH berjalan dengan lancar seterusnya dapat memberikan manfaat kepada golongan asnaf yang telah dikenalpasti.










