MUKADIMAH
TEKA-TEKI pembubaran Parlimen sudah pun terjawab dan kini semua mata tertumpu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengetahui perjalanan seterusnya bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan diadakan tidak lama lagi.
Namun, beberapa persoalan berkaitan perjalanan proses demokrasi ini timbul lebih-lebih lagi ada yang melihat PRU15 dilaksanakan dalam keadaan luar biasa.
Malah, cakap-cakap politik turut menyifatkan PRU15 menjadi ibu segala pilihan raya yang akan menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan ROSALINDA MD. SAID menemuramah bekas Pengerusi SPR, TAN SRI AB. RASHID AB. RAHMAN bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut membantu, jurugambar, FAUZI BAHARUDIN.
PRU LUAR BIASA
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana SPR mahu menguruskan PRU yang dijangka diadakan dalam keadaan luar biasa termasuk dikaitkan dengan banjir?
AB RASHID: Pada satu sudut keputusan membubarkan Parlimen ini dilihat amat baik. Sebagai orang yang sudah lama berkecimpung dalam bidang ini, saya melihat kerajaan yang ada ini tidak sah daripada segi demokrasi, stolen government (kerajaan yang dicuri). Tiada keabsahan.
Malah, dari segi kedudukannya, ia dianggap sebagai negara yang mempunyai masalah politik yang perlu diselesaikan segera. Kebanyakannya dalam sistem demokrasi yang subur dan matang, kerajaan yang jatuh sebegitu (langkah Sheraton) ia tidak diambil alih oleh kerajaan lain sebaliknya akan diadakan pilihan raya supaya rakyat yang memberi mandat.
Dalam pada itu, daripada sudut lain iaitu cuaca pula, ia tiada dalam buku pilihan raya cuma adalah baik sekiranya faktor persekitaran dikaji selain faktor lain seperti keselamatan.
Zaman dulu orang tidak beri penekanan sangat, hanya sekali dua sahaja. Saya faham memang tidak bagus sekiranya keadaan tidak terkawal dan diadakan dalam keadaan luar jangka.
Apa yang saya harapkan cuaca baik dan berjalan lancar agar Malaysia ditadbir kerajaan yang sah dan diberi mandat. Ini penting kerana apabila dunia iktiraf kerajaan Malaysia, pelaburan pun masuk terutama dari luar negara.
Sebelum ini Tan Sri ada cadangkan agar PRU15 diadakan pada 11 atau 10 November. Adakah tarikh yang dicadangkan itu masih sesuai?
Semasa saya beri cadangan itu, SPR belum umumkan untuk bermesyuarat pada 20 Oktober. Mungkin writ akan dikeluarkan dua tiga hari selepas mesyuarat. Seandainya sehari dua SPR terus buat mesyuarat sebaik pengumuman pembubaran Parlimen tempoh hari, saya fikir sempatlah.
Mengapa SPR tidak laksanakan terus mesyuarat beberapa hari sebaik pembubaran Parlimen diumumkan sebelum ini? Adakah ia sesuatu yang boleh dilaksanakan?
Saya ingat SPR pun ada masalah. Kerana pertama kali pendaftaran automatik dan tidak semena-mena bilangan pengundi bertambah 7.5 juta pengundi.
Pertambahan pula dilakukan secara automatik. Jadi perlu disusun pengundi ikut daerah pengundi dan perlu disediakan saluran mengundi.
Saya fikir saluran mengundi dijangka bertambah 30 peratus daripada sedia ada. Sebab setiap satu saluran ada hadnya iaitu 700 paling tinggi.
Jumlah tersebut tidak boleh pergi lebih daripada itu. Maknanya sekarang saluran mengundi ini dijangka bertambah.
Saya simpati dengan SPR sebab perkara ini datang secara mendadak dan memberi kesan perancangan pilihan raya. Sebab itu, saya tegaskan sebelum ini bahawa pentingnya satu sistem alamat yang lengkap untuk semua warganegara Malaysia bagi menentukan kedudukan sebenar pengundi, sekaligus menambahbaik Daftar Pemilih SPR.
Kalau mengikut prinsip demokrasi, undian pilihan raya sepatutnya mengikut alamat terkini berbanding mengikut alamat pada kad pengenalan kerana ia adalah tempat tinggal dan lokaliti pekerjaan seseorang pemilih.
Di Eropah dan United Kingdom (UK) alamat mereka sangat penting kerana semua manfaat pekerjaan, sosial ditentukan berdasarkan alamat terkini mereka. Negara kita patut melakukan perkara sama. Ia dipanggil sistem GeoPlace.
Saya tidak faham kenapa sistem ini tidak diguna pakai sebab ia tidak melibatkan kos yang banyak.
Saya sudah kaji perkara ini dan kita boleh beri pada kerajaan tempatan. Kita ada tiga jenis pentadbiran kerajaan tempatan iaitu bandar raya, perbandaran dan luar bandar. Jadi ketiga-tiga ini boleh diberi latihan dan dalam tempoh setahun boleh selesai.
Sekiranya ada yang tidak menukar alamat, mereka tidak akan mendapat manfaat di satu-satu kawasan. Malah dengan cara begini juga akan dapat selesaikan masalah lari cukai pendapatan.
Keselamatan pengundi
Adakah wajar SPR membentangkan pelan kontigensi kepada rakyat sebagai jaminan bahawa proses pilihan raya akan dilaksanakan dalam keadaan selamat biarpun berlaku bencana termasuk banjir?
Banjir mungkin tidak melibatkan keseluruhan kawasan namun ia akan menyebabkan keputusan pilihan raya tertangguh.
Tidak semua peti undi boleh dikumpul dan dikira. SPR ada undang-undangnya. Mereka boleh pinda untuk mengumumkan pemenangnya dan ini secara tidak langsung akan menyebabkan urusan pilihan raya tertangguh.
Malah kos juga akan naik. Itu pun satu masalah lagi dan ia perlu diselesaikan SPR.
Kerana saluran baru banyak dibuka latihan mesti dijalankan. SPR tiada kakitangan sendiri yang ramai. Ambil orang luar yang ramai.
Bagaimana Tan Sri melihat tindakan sesetengah negeri yang enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan adakah tempoh matang DUN dan Parlimen diselaraskan dalam PRU16?
Apa yang berlaku ini masalah baharu dan telah melalui enam PRU dan banyak pilihan raya negeri (PRN). Melainkan Sabah dan Sarawak, memang tarikh lain-lain. Jadi kos sekali sahaja. Jadi kos akan naik.
Sekarang kos pun RM1.2 bilion. Untuk selaraskan tempoh matang DUN pun tiada masalah. Boleh bubar pada bila-bila masa.
Malah DUN Melaka dan Johor pun boleh bubar kalau mereka mahu. Cuma perlu ada sebab kalau hendak bubar. Kalau hendak selaraskan boleh dan saya boleh buat sewaktu PRN Sabah.
Sepanjang bertugas dalam SPR, apakah pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan PRU yang paling mencabar?
PRU paling mencabar bagi saya sewaktu PRN Sabah pada 1984. Rasa tertekan sebab ada pelbagai dugaan termasuk bom. Saya juga terpaksa keluar masuk istana. Masa itu saya Setiausaha SPR.
Selain itu, di Sarawak ada satu dua tempat banjir sewaktu pilihan raya dijalankan. Tetapi ia tidak menjejaskan keadaan keseluruhan.
Dulu saya rasa senang sikit sebab politik tidak begitu hebat macam sekarang. Belum pun PRU kita sudah tahu kerajaan mana yang akan ditubuhkan. Paling tidak pun kita hendak tahu banyak mana sesebuah parti itu hilang kerusi.
JANGKAAN
Tan Sri pernah terlibat dalam arena politik sebelum ini. Apakah jangkaan Tan Sri untuk parti yang bertanding dalam PRU15 nanti ?
Bilangan kerusi di bandar dan pinggir bandar ada 45 peratus daripada jumlah keseluruhan. Pada saya Pakatan Harapan (PH) akan dapat 40 peratus.
Akan tetapi, PH tidak akan dapat undi di kawasan luar bandar sebab pemikiran yang berbeza antara penduduk di kedua-dua kawasan. Malah cara menilai dan berkempen untuk penduduk di kawasan bandar dan luar bandar juga berbeza. Di luar bandar senang untuk beli undi. Mereka tidak fikir banyak. Bagi saya ia bukan sahaja memberi kesan buruk kepada diri sendiri, tetapi kepada negara.
Sekiranya undi orang Melayu berpecah dan PH dapat bilangan undi yang baik, mereka boleh menang. Cuma PH tidak boleh bersendirian juga sebab kita mengikut sistem ‘first past the post, iaitu pemenang suatu pemilihan ialah calon yang mendapat undi paling banyak dan melebihi mana-mana calon lain.
Kalau kita menggunakan sistem ‘proportional representative’ (perwakilan berkadar), keputusan adalah berdasarkan kepada agihan undi yang diperoleh oleh setiap parti. Kalau kata PH dapat 40 peratus undi keseluruhan, maka PH dapat 40 kerusi.
Ia terjemah peratusan undi kepada kerusi. Ia tiada wakil rakyat yang wakil satu-satu kerusi. Ia mengikut senarai parti. Parti buat senarai ikut senioriti. Kawasan pilihan raya itu ada. Mereka ada pejabat di setiap kawasan berdasarkan parti.
Saya Pengerusi Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), ini yang kita cadangkan dahulu. Tapi untuk negeri saya tidak fikir ia sesuai sebab mereka masih mahukan wakil rakyat.
Pilihan raya terdahulu PKR pernah dapat peratusan undi lebih 50 peratus dan BN dapat kurang sedikit, tapi mereka (BN) menang.
Kebanyakan negara di Eropah menggunakan sistem perwakilan berkadar. Kalau pakai sistem ini, undi tidak sia-sia.
Sistem yang Malaysia gunakan menyebabkan undi bagi mereka yang tidak menang hilang begitu sahaja. Tiada nilai undi. Kalau gunakan sistem perwakilan berkadar ada nilainya walaupun untuk mereka yang kalah. Kalau dapat lima peratus pun, parti boleh dapat lima kerusi. Ini lebih adil sebab setiap undi ada nilainya.
BANJIR ALASAN REMEH TEMEH
Dengan keadaan politik pada masa sekarang, adakah undi rosak meningkat disebabkan tanda protes?
Mengapa perlu kecewa? Orang tidak faham kedudukan kerajaan sekarang tidak sah. Kerajaan yang sah mesti dipilih.
Sepatutnya bukan bimbangkan banjir. Ini (banjir) semua remeh temeh. Mereka ingat ini kerajaan biasa ke?
Awak lihat kerajaan yang ada ini. Apa yang mereka buat? Adakah mereka selesaikan masalah rasuah? Isu ekonomi dan kadar tukaran mata wang ringgit yang terus jatuh?
Mereka lebih sibuk mahu selesaikan isu telur ayam, sayur dan sebagainya. Saya yakin negara kita akan makmur satu masa nanti dan tidak akan bankrap. Paling penting kerajaan mesti stabil.
Oleh kerana Akta Pendanaan Politik belum ada, bagaimana tentang perbelanjaan pilihan raya untuk calon, adakah ada had yang ditentukan?
Kita sememangnya mahu melaksanakan undang-undang berkaitan pendanaan politik tapi belum diterima. Semua orang tidak mahu dikawal perbelanjaan mereka sama ada untuk calon atau parti.
Pembangkang pun ‘tak’ berapa nak. Mereka tidak mahu kita ketahui bagaimana duit masuk dan bagaimana duit dibelanjakan.
Siapa yang nak diauditkan atau siapa yang perlu dikawal, SPR memang tiada kuasa dan kapasiti.
Jadi, kita cadangkan supaya perkara ini diubah. Parti boleh berbelanja tapi calon tidak boleh. Mereka kena isytiharkan dari mana punca dana, di mana mereka simpan dan sebagainya.
Cuma setakat ini, perbelanjaan masa pilihan raya adalah RM150,000 bagi setiap kerusi negeri dan RM200,000 bagi kerusi Parlimen.
PERATUSAN MENGUNDI
Adakah peratusan keluar mengundi akan meningkat selepas SPR lanjutkan tempoh mengundi iaitu sehingga pukul 6 petang?
Ada kesannya. Tapi saya tak tahu berapa peratus selepas SPR lanjutkan tempoh tersebut. Mungkin untuk yang bekerja shift dan balik lewat sedikit memberi manfaat. Sekurang-kurangnya ia menunjukkan SPR sensitif dengan perkara ini.
Adakah terdapat kemungkinan hari penamaan calon atau hari mengundi berlaku pada hari bekerja?
Ada kemungkinan untuk penamaan calon atau hari mengundi berlaku pada hari biasa. Saya tidak rasa ia memberi kesan dan kerajaan boleh umumkan cuti sehari. Malah sekolah pun boleh ditutup sehari. Seingat saya, ketika zaman saya pun pernah berlaku dan kerajaan isytiharkan cuti pada hari berkenaan.
TEMPOH BERKEMPEN YANG SESUAI
Pada pandangan Tan Sri berapa lama tempoh berkempen yang paling sesuai?
Minimum 11 hari atau 12 hari. Zaman saya tujuh hari pun ada. Kalau terlalu panjang pun saya pasti banyak parti yang tidak mahu sebab sudah pasti akan menelan kos yang tinggi untuk bayar belanja sepanjang berkempen.
Lagipun tempoh yang terlalu lama akan memberi risiko kepada pergaduhan lebih-lebih lagi dengan kepelbagaian kaum di negara ini.
Adakah pendaftaran automotik pengundi akan memberi kesan kepada peratusan keluar mengundi ?
Saya cuma risau sekiranya mereka tidak keluar mengundi dan memberi kesan kepada perutusan keluar mengundi. Apabila peratusan rendah, ia tidak bagus kerana dalam PRU ia mencerminkan kekuatan pihak-pihak yang dipilih. – MINGGUAN MALAYSIA










