Rancang bawa keluarga ke tanah suci - Utusan Malaysia

Rancang bawa keluarga ke tanah suci

Juara Terpaling Juara musim pertama, Rahmad Mega (kanan) bergambar mesra dengan kaptennya, Hael Hussaini pada pentas akhir Terpaling Juara musim pertama Ahad lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas lapan minggu mencurah keringat, penyanyi berpengalaman, Rahmad Mega tersenyum puas dengan merangkul Juara program Terpaling Juara, diumumkan malam Ahad lalu.

Rahmad ketika ditemui selepas pertandingan itu meluahkan syukur atas kemenangan itu dan menyifatkan ia sebagai pengubat kehampaan selepas gagal dalam pertandingan nyanyian yang pernah disertainya sebelum ini.

“Kemenangan ini merawat kekecewaan saya. Tetapi dalam masa yang sama, ia juga menjadi penanda aras baharu kepada kerjaya saya sebagai penyanyi.

“Mungkin selepas ini orang akan kenal saya sebagai Rahmad Terpaling Juara. Selain bergerak bersama kumpulan (Mega), saya juga boleh bergerak secara solo,” katanya.

Kemenangan itu melayakkan Rahmad membawa pulang wang tunai RM100,000 dan trofi.

Tempat kedua dan ketiga dimenangi Aqmal Ramdan dan Hazami yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM50,000 dan RM30,000 bersama trofi.

Shaz Shaharum yang berada di tempat keempat, menerima RM10,000 berserta trofi.

Pentas akhir Terpaling Juara diserikan dengan kemunculan istimewa, Datuk Seri Siti Nurhaliza selaku juri jemputan. Siti turut membuat persembahan dengan mendendangkan lagu Wajah Kekasih, Ku Milikmu dan Balqis secara medley.

Program realiti berlangsung selama lapan minggu itu menampilkan Datuk Hattan dan Fauziah Latiff sebagai juri tetap, manakala Shiha Zikir dan Haziq Hussni bergandingan sebagai pengacara.

Mengulas mengenai kemenangan itu, Rahmad berterima kasih kepada peminat yang tidak putus-putus mengundi sehingga membawakan kepada kemenangannya.

Katanya, dia yakin usahanya mempromosikan program Terpaling Juara ketika memenuhi undangan nyanyian telah membuahkan hasil.

“Seperti yang dinyatakan Hattan, kemenangan saya dibantu oleh undian peminat. Alhamdulillah, saya bersyukur.

“Kelebihan artis senior adalah banyak memenuhi undangan nyanyian dan sepanjang menyertai pertandingan ini, saya gunakan kesempatan itu untuk promosikan program ini,” katanya.

Mengenai wang tunai dimenangi, kata Rahmad, beliau merancang untuk membawa keluarga ke tanah suci mengerjakan umrah.

“Bila sudah ada rezeki lebih, bolehlah saya bawa mereka sekali.

“Ia juga akan saya gunakan untuk melangsaikan hutang-hutang lama,” ujarnya.

Terdahulu, juri tetap, Hattan memaklumkan, setiap peserta pada pentas akhir memberikan saingan yang hebat.

Keputusan dibuat dengan seadilnya berdasarkan pemarkahan juri dan undian peminat.

“Pemarkahan setiap peserta sebenarnya tidak jauh beza. Markah mereka banyak dibantu oleh undian peminat.

“Semua peserta memberikan persembahan yang sangat baik dan saingan yang sengit antara satu sama lain,” katanya.

Pengalaman mendewasakan – Aqmal Ramdan
Aqmal Ramdan menyifatkan penglibatan dalam program Terpaling Juara sebagai pengalaman manis yang membentuk kemampuannya sebagai penyanyi.

Beliau bersyukur dibimbing oleh Naim Daniel selaku kapten yang banyak membantu dan memberi tunjuk ajar kepada dirinya.

Sementara itu, Naim kagum dengan kebolehan penyanyi tersebut yang mampu menjaga dan mengawal nyanyian dengan baik di atas pentas.

“Aqmal memberikan nyanyian yang bagus, sering on pitch ketika menyanyi. Itu kurniaan Allah kepada dia,” katanya.

Platform berharga menimba ilmu – Hazami
Hazami menganggap penyertaan dalam pertandingan tersebut sebagai satu platform berharga untuknya menimba ilmu.

“Saya berterima kasih kepada Akim dan Stacy yang banyak membantu dan membimbing saya.

“Saya melihat mereka berdua sebagai penyanyi yang hebat dan sistematik. Saya terima panduan dan tunjuk ajar orang muda seperti mereka sebab saya masih perlukan, sokongan dan kasih sayang.

“Saya sukakan ilmu. Pertandingan adalah cara saya mendapatkannya. Akim, Stacy, Naim dan Hael adalah generasi penyanyi yang sangat hebat dari segi idea. Bukan mudah untuk dapatkan ilmu daripada mereka,” katanya.

Kata Hazami, penyanyi senior perlu buang ego dan membuka minda untuk merelakan diri mereka belajar sesuatu yang baharu daripada penyanyi yang lebih muda.

Katanya, untuk kekal relevan dalam industri, dia perlukan ilmu dari penyanyi baharu.

“Saya pernah berada di tempat mereka satu ketika dahulu. Sekarang saya mahu tengok formula mereka, penyanyi generasi baru. Saya belajar dari setiap antara mereka, gabungkan semua.

“Mereka kata kepada saya, saya sepatutnya sudah selesa dengan kedudukan saya sekarang. Tapi saya katakan tidak, saya mahu relevan,” tegas Hazami.

Akur di tempat keempat, Shaz Shaharum berlapang dada dengan kedudukan yang diraih pada pentas akhir Terpaling Juara malam Ahad lalu.

“Jadi finalis sudah cukup memberikan kenangan manis kepada saya. Paling penting, saya seronok berduet dengan kapten, Hael Husaini. Alhamdulillah, ini rezeki saya dalam pertandingan ini. Tapi ia tidak terhenti di sini, saya akan teruskan,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN