Pilih wakil rakyat beri khidmat - Utusan Malaysia

Pilih wakil rakyat beri khidmat

Para pengundi dinasihati memilih calon Pilihan Raya Umum Ke-15 yang boleh memberi khidmat kepada rakyat bukannya hanya menabur janji manis semasa berkempen. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Perhatikan bas yang membawa orangnya. Jika si pemandu bas atau kebanyakan penumpangnya berbau busuk dan hancing, gunakan firasat anda! Elakkan menghampiri bas tersebut kerana bau busuk isi bas boleh menjerumuskan kita ke dalam gaung bahaya untuk lima tahun akan datang.”

Kita perlu bijak menggunakan deria dan akal kurniaan Allah. Jangan simpan akal di rumah ketika keluar mengundi. Jangan mudah terpedaya dengan sesetengah calon yang menawarkan berbagai janji manis ketika keluar berkempen tetapi bertukar menjadi dubuk liar setelah memenangi kerusi yang ditandingi.

Lalu kerusi itu dijadikan tangga untuk memanjat mencapai buah atau lauk yang sudah sekian lama diidami walaupun ia “bukan milik peribadinya”. Tambah parah apabila si calon dan konconya gemuk membaham isi sedangkan sisa tulang dibuang kepada rakyat bawahan.

Rencana ini akan mengutarakan panduan mencapai firasat yang benar dalam memilih calon atau ‘kenderaan’ yang membawa kita menempoh kehidupan berpolitik di Malaysia dalam tempoh lima tahun ke depan.

Ketika berbicara mengenai firasat, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Beringatlah kamu dengan firasat (pandangan hati) orang beriman, kerana dia melihat (sesuatu) dengan (sinaran) cahaya (kurniaan) Allah. Baginda kemudiannya membaca ayat surah al-Hijr ayat 75. Sesungguhnya balasan azab yang demikian itu, mengandungi tanda bagi orang yang memerhati dan memikirkan (sesuatu secara mendalam atau mempunyai firasat tepat dalam menilai). (Sunan al-Tirmidzi, 399)

Mengulas makna firasat dalam hadis di atas, para ulama menjelaskan firasat terhasil apabila pandangan roh manusia yang suci bersambung dengan tanggapan akal, lalu ia dilihat oleh dua mata fizikal.

Apabila akal dan roh bebas daripada kekangan nafsu, maka pandangan keduanya mampu bersatu dan melihat sesuatu secara tepat.

Manusia biasa gagal melihat secara tepat hakikat sesuatu perkara kerana pandangan rohnya terhalang oleh gelojak nafsu, lalu akal dan mata zahir tidak dapat berhubung dengan pandangan batin yang dilihat oleh roh. (Tuhfat al-Ahwazi Syarh Sunan al-Tirmidzi)

Ayat di atas (al-Hijr: 75) sebenarnya menyimpulkan kisah kemusnahan kaum Nabi Lut a.s yang mengamalkan seks songsang. Setelah mereka dimusnahkan, Allah mahu kita semua melihat kesannya dengan pemerhatian mendalam.

Dalam aplikasi politik Malaysia, renungilah secara mendalam siapa dan parti mana yang pernah memberi kesejahteraan atau kesengsaraan kepada rakyat. Itulah renungan yang membuahkan firasat yang tepat.

Ringkasnya, firasat adalah pandangan mendalam berdasarkan pemerhatian, pengalaman dan suluhan cahaya petunjuk Allah dalam menilai sesuatu perkara secara lebih tepat. Ia boleh berlaku kepada orang beriman dan juga orang bukan Islam yang punyai ilmu dan pengalaman yang luas seperti Aziz Mesir yang membeli Nabi Yusuf.

Ketika mengulas berkenaan firasat, sahabat tersohor nabi, Abdullah bin Mas’ud r.a berkata yang bermaksud: Manusia yang benar firasatnya ada tiga iaitu; (1) Aziz Mesir ketika dia nampak kualiti Yusuf dan meminta isterinya memuliakan keadaan Yusuf pada firman Allah: Dan (setelah Yusuf dijual di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: “Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga dia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak”. (Yusuf :21),
(2) Abu Bakar apabila melihat Umar selayaknya menjadi khalifah selepasnya dan,
(3) Perempuan dalam kisah nabi Musa (al-Qasas: 26) (Tafsir al-Tabari).

Siapa perempuan di hujung riwayat di atas? Beliau adalah anak perempuan lelaki Madyan yang menerima Musa sebagai tetamu. Kisahnya ketika menjadi pelarian di Madyan setelah membunuh orang Qibti Mesir secara tidak sengaja, Nabi Musa membantu dua perempuan Madyan mengambil air. Setelah itu baginda dijemput ayah perempuan itu sebagai tetamu.

Pada masa itulah perempuan ini mencadangkan yang bermaksud: Seorang di antara dua perempuan itu berkata: Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang akan ayag ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah. (al-Qasas: 26)

Si ayah sangsi bagaimana anak perempuannya boleh menobatkan dua kualiti tersebut pada Nabi Musa sedangkan mereka baru sahaja bertemu. Ini jawapan anaknya yang menunjukkan ketepatan firasatnya yang berpunca daripada kebijaksanaan analisisnya yang bermaksud: Perempuan itu berkata “Beliau (seorang diri) mengangkat (batu penutup perigi Madyan) yang tak mampu diangkat melainkan dengan kekuatan 10 lelaki. Tambahan pula apabila aku berjalan di hadapannya (ketika menjemputnya ke rumah kita), beliau berkata: Saudari berjalanlah di belakangku. Apabila aku menyimpang dari jalan ke rumahmu, lontarkan batu kepadaku supaya aku tahu mana jalannya. (Tafsir Ibn Kathir)

Kuat dan Amanah!
Dalam konteks PRU dan pentadbiran negara, kita perlu memilih calon yang mampu melaksanakan tugas yang diberi serta penuh integriti. Kemampuan dan integriti pada calon pilihan boleh dilihat berdasarkan rekod kerjanya. Jika calonnya mampu melaksanakan manifesto dan bebas pertuduhan rasuah, itu indikasi awal bagi membantu anda mencapai firasat yang benar dalam memilih calon.

Sudut lain bagi perkataan mampu adalah calon juga perlu ‘mampu menerima nasihat’ pahit dan manis daripada pakar dalam portfolio yang bakal dipegang jika terlantik. Jangan hanya ‘mampu’ mendengar nasihat manis berperisa ampu tapi tak ‘mampu’ mendengar teguran pahit.

Percayalah, yang manis biasanya memudaratkan seperti penyakit kencing manis dan yang pahitnya boleh menjadi ubat. Ubat kepada calon dan rakyat yang memilihnya.

Panjatkan doa kepada Allah agar diberi ketepatan firasat memilih calon. Antara doa dicadangkan adalah doa yang dibaca oleh Nabi SAW dalam solat malam.

Berikut adalah doanya: Ya Allah! Tuhan4 kepada Malaikat Jibril, Mikail dan Israfil. Pencipta langit dan bumi, Maha Mengetahui yang tersembunyi dan yang nyata. Engkau memutuskan (dengan hukuman yang adil dan benar) antara para hamba-Mu dalam perkara yang mereka perselisihkan. Berilah Aku petunjuk pada perkara yang diperselisihkan tentang kebenaran dengan Izin-Mu. (Ini kerana) Engkau boleh memberi petunjuk kepada sesiapa sahaja yang Engkau mahu ke jalan yang lurus (benar). (Sahih Muslim, 1289).

Panduan ringkas dan doa ini diharap mampu memberi kita ketepatan firasat memilih wakil rakyat yang benar-benar akan memberi ‘khidmat’ bukan ‘khianat’.
————

Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz), Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN