Perkembangan kemahiran bayi dan kanak-kanak berlaku secara aktif sejak dari dalam kandungan, malah berterusan dan pesat selepas kelahiran.
Umumnya proses perkembangan sesuatu kemahiran itu berlaku dalam satu tempoh tertentu yang lazimnya akan dialami oleh hampir kebanyakan bayi dan kanak-kanak yang sama usia.
Contohnya, kebanyakan bayi boleh menegakkan kepala dan lehernya apabila diletakkan dalam posisi menegak bila mencapai usia 3 bulan ke atas dan mampu mengekalkan posisi kepala ini untuk satu tempoh masa. Kebanyakannya juga sudah mula belajar kemahiran berdiri dan berjalan pada usia antara 10 bulan sehingga 1.5 tahun.
Namun terdapat segelintir yang menunjukkan kelewatan dalam mencapai kemahiran tersebut melebihi dari tempoh usia lazimnya.
Adakah ibu bapa perlu risau jika berlaku kelewatan perkembangan kemahiran anak-anak mereka?
Ya. Ibu bapa mesti mengetahui dan faham berkenaan proses perkembangan kemahiran kanak-kanak.
Mereka perlu tahu apa yang mesti dipantau dan dijangkakan dalam proses perkembangan kemahiran anak-anak mereka pada tahap usia tertentu, agar ibu bapa dapat membuat persediaan secukupnya dan mungkin juga mengambil tindakan sewajarnya.
Pemahaman terhadap proses perkembangan kemahiran boleh didapati dalam buku rekod kesihatan bayi dan kanak-kanak yang dibekalkan premis kesihatan kepada setiap bayi yang lahir.
Lihat carta perkembangan kemahiran bayi dan kanak-kanak yang sepatutnya sudah dicapai pada usia tertentu.
Selain vaksinasi, maklumat penting lainnya seperti pemakanan yang sihat, penjagaan kesihatan dan keselamatan bayi dan kanak-kanak juga boleh didapati di dalam buku rekod berkenaan.
Buku ini seharusnya dimanafaatkan sepenuhnya dalam memantau proses perkembangan kemahiran anak-anak dari saat kelahiran sehingga usia 6 tahun.
Beberapa aspek perlu diperhatikan dalam memantau proses perkembangan bayi dan ia dibahagikan kepada empat aspek:
* Perkembangan motor kasar.
* Perkembangan motor halus dan koordinasi tangan.
* Perkembangan komunikasi dan sosialisasi.
* Perkembangan kognitif.
Amnya semua aspek kemahiran berkembang seiringan antara satu sama lain, namun terdapat juga kemahiran yang perlu wujud dan dikuasai dengan baik sebelum kemahiran berkaitan yang lainnya dapat berkembang dan dipelajari kanak-kanak.
KEMAMPUAN KOGNITIF
Contohnya bagi membolehkan seseorang kanak-kanak itu mampu makan dengan sempurna dan berdikari sepenuhnya, seseorang kanak-kanak itu perlu mempelajari kemahiran mengawal kepala dan lehernya dalam posisi menegak dengan baik sebelum boleh belajar duduk dan menyuap.
Kemampuan itu termasuk di bawah aspek kemahiran motor kasar, manakala kemahiran memegang dengan jari dan menyuap makanan ke mulut pula merupakan aspek perkembangan kemahiran motor halus dan koordinasi tangan.
Seiringan dengan itu, aspek perkembangan kemahiran kognitif turut memainkan peranan penting dalam memastikan kanak-kanak mampu membezakan antara makanan yang boleh dimakan dengan benda yang tidak boleh dimakan, atau dalam memastikan sesuatu makanan itu masih terlalu panas untuk dimakan atau sebaliknya.
Aspek perkembangan komunikasi dan pergaulan sosial kanak-kanak dapat dikembangkan sekiranya aktiviti makan tersebut dilakukan bersama-sama ahli keluarga atau kanak-kanak sebaya. Ia memberi peluang untuk mereka saling berinteraksi dan bersosialisasi dengan duduk makan di meja yang sama ketika makan.
Ini jelas menunjukkan bahawa keupayaan untuk makan dengan berdikari adalah satu aktiviti mudah, namun memerlukan kemampuan kemahiran dan interaksi yang baik antara keempat-empat aspek perkembangan kemahiran seseorang kanak-kanak.
Kesemua aspek perkembangan tersebut saling menyokong dan mempengaruhi kemampuan mereka, untuk mampu berdikari dengan sempurna dalam pergaulan dan aktiviti harian. Ini jelas menunjukkan sesuatu kemampuan kemahiran itu mempengaruhi perkembangan kemahiran yang lain.
Justeru, ibu bapa harus peka dan mengambil peduli perkembangan anak mereka berlaku dengan sepatutnya dan pada tahap sesuai dengan umurnya.
BERI PERHATIAN
Sebarang proses perkembangan yang lewat dari sepatutnya atau terkeluar dari landasan tahap umur sesuai, haruslah diberikan perhatian sewajarnya bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut dari pegawai perubatan.
Ini bagi memastikan sekiranya terdapat perkara yang perlu diberikan perhatian khusus, maka penilaian dan intervensi awal akan dapat dimulakan ke atas kanak-kanak tersebut.
Intervensi awal amat penting bagi memastikan perkembangan kemahiran kanak-kanak dapat dilatih sewajarnya dan secara langsung akan dapat mengurangkan risiko kelewatan kemahiran tersebut.
Pemeriksaan lanjut penting bagi memastikan kelewatan perkembangan kemahiran dialami bukan merupakan risiko kepada sesuatu kondisi lain yang mungkin lebih memudaratkan kesihatan serta menjejaskan proses perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak tersebut.
Kepekaan terhadap tahap perkembangan kemahiran anak-anak adalah amat penting dan sangat perlu diambil peduli oleh ibu bapa.
———–
Masne Kadar dari Program Terapi Carakerja, Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.










