Nyamuk Aedes tahan lasak, kadar survival tinggi - Utusan Malaysia

Nyamuk Aedes tahan lasak, kadar survival tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIFAT nyamuk Aedes yang membawa penyakit denggi sangat bijak dan tahan lasak menyebabkan penularan virus denggi sukar di kawal.

Lebih memburukkan keadaan adalah sikap orang ramai yang sambil lewa dalam menangani penularan penyakit ini seperti tidak menjaga kebersihan alam sekitar sehingga menggalakkan lagi pembiakan nyamuk ini.

Ini termasuk pengurusan sampah-sarap yang tidak teratur, penyelengaraan dan rekabentuk bangunan yang tidak praktikal, menyebabkan air mudah bertakung dan menggalakkan pembiakan nyamuk aedes.

Pengarah Institut Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (IRDI), Prof. Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman, berkata dinamik penularan denggi sangat kompleks menyebabkan ia sukar dikawal.

“Terdapat empat elemen yang saling berkait dalam penularan denggi yang sukar dikawal iaitu nyamuk Aedes, perumahan yang dijangkiti, virus denggi dan ekosistem manusia serta nyamuk Aedes tersebut.

“Nyamuk Aedes adalah pembawa yang sangat berkesan atau super-efisien. Telurnya tahan kekeringan yang lama. Walaupun keadaan kering di musim kemarau, telurnya tidak musnah dan akan menetas apa bila hujan walaupun selepas berbulan kemudian,” katanya kepada Utusan Malaysia.

BERTELUR MERATA
Tambah beliau, nyamuk aedes juga tidak bertelur dalam satu bekas yang sama bagi memastikan kadar kelangsungan hidup atau survival yang tinggi.

Sebaliknya ia akan bertelur di merata tempat.

Nyamuk ini juga bijak kerana akan bertelur di tempat yang sukar dicapai. Ia tidak memerlukan air yang banyak untuk bertelur tetapi memadai dengan sesudu air seperti dalam rekahan bangunan, saluran hujan yang tersumbat atau kelopak pokok yang menakung air.

“Nyamuk aedes tertarik kepada darah manusia sahaja. Walaupun usaha dilaksanakan seperti menyembur racun serangga tetapi tiada bukti saintifik yang kukuh bahawa semburan racun serangga berkesan dalam mengawal denggi.

“Tiada ubat yang boleh membunuh virus denggi. Oleh itu perumah yang sedia dijangkiti akan secara berterusan menjadi punca jangkitan kepada orang ramai menerusi pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada minggu ke 42, berlaku peningkatan 137 kes atau 9.3 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Sejumlah 1,614 kes demam denggi dilaporkan berbanding 1,477 kes pada ME 41/22 dengan satu kematian akibat komplikasi dicatatkan.

Kumulatif kes demam denggi dilaporkan sehingga kini adalah 48,109 kes berbanding 21,308 kes bagi tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 26,801 kes atau 125.8 peratus.

Sebanyak 29 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 16 kematian bagi tempoh sama pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 13 kematian (81.3 peratus).

Sebanyak 51 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 53 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 30 lokaliti di Selangor, 11 lokaliti di Sabah, lapan lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala satu lokaliti masing-masing di Kedah serta Melaka.

Survelan chikungunya merekodkan sebanyak tujuh kes pada minggu ke-42 dengan tiga kes di Pulau Pinang, dua kes di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta satu kes dari Selangor dan Melaka.

Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah sebanyak 669 kes.

Bagi survelan zika, sebanyak 1,619 sampel darah dan 16 sampel urin telah disaring dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Keadaan hujan diselang seli dengan cuaca panas ketika ini merupakan keadaan kondusif untuk nyamuk Aedes membiak.

Orang ramai dinasihati memeriksa dan memusnahkan tempat berpotensi menjadi pembiakan nyamuk Aedes di dalam dan di luar rumah sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu selain memastikan kawasan berhampiran kediaman seperti lorong belakang rumah, kawasan kebun tanaman, tanah lot kosong dan taman rekreasi bebas dari bekas-bekas berpotensi untuk menjadi tempat pembiakan Aedes.

‘Bahaya dijangkiti lebih daripada sekali’
Tidak ramai yang tahu sebenarnya manusia berhadapan bukan dengan satu penyakit denggi tetapi empat penyakit denggi yang berbeza dan sukar ditangani.

Dr. Lokman Hakim berkata, empat jenis virus yang boleh menyebabkan demam denggi adalah DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4.

Jangkitan oleh salah satu jenis virus akan memberikan imuniti terhadap virus jenis itu sahaja. Justeru, individu tinggal di kawasan jangkitan denggi, mereka boleh di jangkiti lebih dari sekali seumur hidupnya.

“Terdapat empat serotaip virus denggi yang menjangkiti manusia dan setiap satu adalah jangkitan yang berbeza secara serologi. Bererti, kita bukan berhadapan dengan satu penyakit denggi tetapi empat penyakit denggi.

“Jangkitan dengan satu serotaip denggi tidak melindungi kita (imun) dari tiga serotaip lain. Lebih kritikal, jangkitan kedua, ketiga dan keempat dengan serotaip yang berbeza berisiko mendapat jangkitan denggi serius seperti denggi berdarah,” katanya.

Katanya lagi, kewujudan empat serotaip berkenaan menyebabkan kesukaran untuk pembangunan vaksin denggi buat masa ini seperti yang diwar-warkan sebelum ini.

Namun katanya lagi, sudah terdapat vaksin denggi yang baru (keluaran Takeda) di mana data saintifik menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

“Bagi perumah manusia pula, tiada kaedah sesuai melindungi daripada digigit nyamuk aedes. Kelambu tidak sesuai digunakan kerana aedes mengigit hanya pada waktu seseorang itu aktif iaitu pada awal pagi dan petang.

“Justeru orang ramai perlu mengutamakan kebersihan persekitaran kediaman dan lokasi yang dikunjungi. Pastikan sampah diuruskan dengan baik dan tiada air yang bertakung sama ada di dalam atau luar rumah bagi mencegah pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Selain itu, orang ramai digalakkan menggunakan pakaian yang menutup anggota badan serta menggunakan bahan repelan nyamuk bagi mencegah gigitan nyamuk aedes.

“Segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami sebarang gejala seperti demam tinggi, sakit anggota badan atau sendi, sakit kepala, sakit mata atau sakit pada bahagian perut,” katanya.

Rekabentuk rumah jadi punca pembiakan nyamuk Aedes
Pengalaman dimasukkan ke wad 10 tahun lalu akibat dijangkiti denggi serentak dengan anak yang berusia 14 tahun, masih segar dalam ingatan Kamal Ariffin Kamarulzaman.

Ketika itu, Kamal Ariffin,56, berkata dia dan anaknya, Mohd. Nabil dan beberapa jiran menjadi mangsa denggi selepas wabak denggi menyerang kawasan perumahan mereka di Gombak.

“Saya dimasukkan ke dalam wad selama 10 hari di sebuah hospital swasta manakala anak juga berada di wad sama tetapi dia dibenarkan pulang selepas menjalani rawatan selama tujuh hari saja.

“Saya dimasukkan air drip sebanyak 40 botol sepanjang berada di dalam wad manakala anak pula menerima 20 botol air drip,” katanya yang bekerja sebagai Eksekutif Perhubungan Perusahaan.

Katanya, akibat dijangkiti denggi, dia mengalami sakit pada bahagian sendi-sendi dan terasa menyucuk- nyucuk seperti terkena jarum. Sakit itu menyebabkan dia sakit kepala serta demam.

Tambahnya, apa yang membimbangkan setiap tahun ada saja kes denggi dikesan di kawasan kediamannya itu. Malah, berdasarkan Jabatan Kesihatan Gombak, perumahan didiaminya itu pernah mencatatkan rekod denggi paling tinggi di Malaysia.

“Masalah rekabentuk bangunan perumahan ini menyebabkan nyamuk aedes mudah membiak di bahagian atas bumbung yang mempunyai tempat takungan air hujan.

“Jadi, memang mudah nyamuk bertelur dan membiakkan jentik-jentik. Bagi mencegah dijangkiti denggi sekali lagi, saya pastikan persekitaran rumah bersih dan tiada takungan air,” katanya yang bersyukur tidak mengalami jangkitan berulang setakat ini.

Katanya biarpun mengetahui punca pembiakan nyamuk aedes di situ, pihak pengurusan belum dapat membaikinya kerana kekangan peruntukan berikutan kos pembiakan yang agak tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN