Memang perkara normal apabila wanita di awal kehamilan mengalami alahan seperti loya dan muntah-muntah yang turut dikenali sebagai morning sickness. Ia berlaku disebabkan perubahan hormon semasa hamil dan boleh terjadi pagi atau malam.
Bagaimanapun, keadaan ini boleh mengganggu kehidupan seharian ibu hamil sekiranya rasa loya dan muntah berterusan atau semakin teruk.
Dianggarkan 50 hingga 90 peratus wanita hamil mengalami alahan terutama berkaitan loya dan muntah di awal kehamilan, dan akan beransur hilang apabila kandungan semakin membesar.
Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Nuguelis Razali berkata, selalunya loya dan muntah bertambah baik dengan sendiri dan ibu akan pulih antara 16 sehingga 20 minggu kehamilan.
“Bagaimanapun sesetengah bakal ibu boleh mengalami alahan teruk dan tidak terkawal sehingga menjejaskan kesihatan mereka. Alahan yang teruk atau hiperemesis gravidarum berlaku apabila wanita hamil mengalami muntah-muntah.
“Alahan teruk boleh meninggalkan kesan serius ke atas ibu termasuk mengalami penurunan berat badan sehingga lima peratus, dehidrasi dan ketidakseimbangan elektrolit seperti kekurangan natrium dan potassium akibat muntah berpanjangan,” katanya Seri.
Dehidrasi dapat dikesan sekiranya ibu hamil kurang membuang air kecil dan air kencing sedikit dan pekat warnanya. Situasi berkenaan boleh menyebabkan bakal ibu mengalami pening kepala.
Muntah teruk juga boleh menyebabkan bakal ibu hilang selera untuk makan dan minum seperti biasa, seterusnya ini menyebabkan mereka mengalami kekurangan zat pemakanan.
Alah menjejaskan bayi?
Alahan biasanya tidak akan meninggalkan kesan serius ke atas bayi dalam kandungan seperti menyebabkan kecacatan mahupun keguguran.
Namun sekiranya alahan yang teruk berlanjutan sepanjang tempoh masa mengandung, ini dikhuatiri boleh menyebabkan bayi yang lahir kecil dengan berat badannya kurang normal.
“Loya dan muntah yang tidak teruk, boleh dirawat dengan ubat pil tahan muntah dan pil vitamin B6. Bakal ibu dinasihatkan untuk memastikan minum air secukupnya iaitu sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.
“Sekiranya mengalami muntah yang teruk sehingga menjejaskan kesihatan, ibu mungkin perlu dimasukan ke hospital untuk diberi ubat tahan muntah secara intravena atau melalui salur darah. Dehidrasi juga perlu dirawat dengan pemberian cecair secara intravena,” katanya.
Cara atasi alahan
Bakal ibu yang mengalami alahan, perlu makan dalam jumlah sedikit tetapi kerap.
Elakkan makan makanan yang berminyak dan pedas kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan. Minuman seperti jus sitrus, susu, kopi dan teh yang mengandungi kafein juga boleh memburukkan lagi muntah.
“Bagi menghilangkan rasa loya pada tekak, boleh tambah halia dalam makanan atau minuman. Tambah pengambilan air sebanyak yang boleh dan boleh minum air seperti 100 plus untuk mendapatkan tenaga tetapi dalam jumlah yang terkawal,” kata Dr. Nuguelis.
Beliau turut menasihatikan bakal ibu supaya makan buah-buahan tinggi kandungan air seperti tembikai kerana ia mengekalkan keseimbangan elektrolit dalam badan.
Pisang elok dimakan kerana ia tinggi kandungan karbohidrat dan boleh mencegah anemia atau kekurangan darah serta berupaya mengekalkan kesihatan usus.
Buah-buahan lain yang boleh dicuba untuk mengatasi loya dan muntah seperti oren boleh mengekalkan hidrasi dan kaya dengan vitamin C.
Bagi perkembangan otak bayi dalam kandungan yang lebih sihat, ibu digalakkan juga makan buah avocado. Ia kaya dengan vitamin K, vitamin B, fibre, magnesium and potassium.
Buah epal turut membantu menghilangkan loya selain mengandungi serat, vitamin dan potassium yang tinggi.










