PENGARUH budaya menjadikan suami beranggapan tugas di rumah adalah tanggungjawab isteri. Sedangkan zaman telah berubah yang mana peranan suami dan isteri juga turut berubah.
Kedua-duanya mempunyai sumbangan yang besar kepada ekonomi keluarga hasil daripada pendapatan masing-masing.
Sehubungan itu, Perunding Motivasi Keluarga, Zaid Mohamad berpandangan adalah tidak wajar sekiranya hanya suami yang mempunyai ruang untuk bersantai seperti melepak, menonton bola dengan kawan-kawan dan sebagainya.
Kata beliau, isteri juga memerlukan masa atau me time untuk berehat dengan cara tersendiri. Ini sangat penting untuk mencari keseimbangan antara kerjaya dan keluarga.
“Me time individu berbeza. Ada yang memerlukan dua hingga tiga kali seminggu, ada yang hanya cukup dengan berehat seketika tatkala tugasan di rumah selesai. Ia sangat penting demi kesihatan mental, emosi dan fizikal.
“Paling utama masa rehat itu berkualiti dan tidak terganggu. Suami boleh membantu dengan mengambil alih tugasan di rumah seperti bermain dengan anak-anak atau,” katanya.
Tambah beliau, jika tiada waktu rehat, dibimbangi isteri akan terlalu penat sehingga mempengaruhi emosi mereka.
“Pernah berlaku kes yang mana seorang ibu melepaskan emosi negatif tersebut kepada anak-anak sehingga menimbulkan kecederaan. Tidak adil untuk menyalahkan si ibu semata-mata, kerana di manakah si ayah tatkala ibu sangat memerlukan rehat untuk mengembalikan kembali tenaga dan emosi positif?,” katanya.
GEMBIRAKAN ISTERI
Zaid menambah, suami perlu sedar bahawa isteri yang gembira beri manfaat pada keluarga.
“Jika ibu berada dalam mood negatif, ia akan merosakkan emosi keluarga. Mood negatif mudah berjangkit dan akhirnya seisi rumah mula menjerit-jerit atau bergaduh sesama sendiri,” katanya.
Berkongsi pengalaman, kata Zaid isterinya kelihatan ceria setiap kali pulang selepas bertemu dengan rakan-rakannya.
“Isteri membawa kegembiraan tersebut ke dalam rumah pula. Saranan saya, suami bukan sahaja perlu membenarkan isteri berehat seketika. Jika mampu, berikan dia sedikit wang untuk berbelanja dengan rakan-rakan. Anggaplah ia satu pelaburan yang membawa pulangan kebahagiaan yang jauh lebih besar daripada nilai wang ringgit tersebut,” katanya.










