Semarak Merdeka dengan berkayak - Utusan Malaysia

Semarak Merdeka dengan berkayak

Peserta ekspedisi kayak terdiri daripada anggota PDRM dan agensi kerajaan ketika selesai menyertai Program Ekspedisi Kayak Merdeka 2022 anjuran Polis di Raja Malaysia (PDRM) di jeti Tanjung Lipis, Kuala Lipis baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebanyak 40 buah kayak dan 97 orang menjayakan Program Ekspedisi Kayak Merdeka 2022 anjuran Polis di Raja Malaysia (PDRM) di Sungai Jelai, Lipis baru-baru ini bagi menyemarak Hari Kemerdekaan Ke-65.

Ekspedisi berkayak bermula di rumah rakit (D’Rakit) Kampung Batu Nering, Padang Tengku.

Peserta menyusuri Sungai Jelai hingga lokasi penamat di jeti Tanjung Lipis sejauh 13 kilometer.

Sepanjang eskpedisi terdapat laluan yang mencabar termasuk mengemudi (mendayung) kayak khususnya bagi kalangan peserta yang pertama kali, tetapi berasaskan semangat dan bantuan rakan, kesemuanya dapat diatasi dan selamat sampai ke lokasi penamat.

Ketua Polis Lipis yang juga ketua ekspedisi, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, program yang merupakan kerjasama membabitkan agensi di daerah itu bertujuan memupuk silaturahim antara Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dengan semua penjawat awam.

Katanya, ia turut menitip nilai jati diri, semangat patriotisme serta memupuk semangat kekeluargaan antara penjawat awam, berasaskan tema sambutan tahun ini Keluarga Malaysia: Teguh Bersama.

“Aktiviti berkayak selama hampir dua jam perjalanan dengan menaiki 40 buah kayak secara santai sambil mengibarkan Jalur Gemilang di sepanjang laluan Sungai Jelai ini dapat menyedarkan peserta dan masyarakat setempat mengenai nilai kecintaan terhadap negara yang sudah 65 tahun bebas daripada penjajahan,” katanya ditemui di lokasi penamat jeti Tanjong Jelai, Lipis baru-baru ini.

Program itu turut meningkatkan tahap kemahiran anggota PDRM mengendalikan kayak dan sikap berwaspada mengenai aspek keselamatan semasa melakukan aktiviti ekstrem di dalam air.

PROMOSI HIDUP SIHAT
Aktiviti itu juga signifikan dengan usaha kerajaan menggalakkan rakyat hidup sihat yang menjadi tunjang kekuatan kepada produktiviti sektor pekerjaan dan kesejahteraan keluarga.

Pengarah Hospital Lipis, Dr. Idiliya Ishahar berkata, jarak sejauh 13 kilometer amat sesuai untuk peserta yang sudah berusia dan wanita dapat berkayak dalam keadaan santai di samping memikmati keindahan alam sekitar Sungai Jelai.

“Aktiviti ini wajar diteruskan pada masa akan datang menerusi kegiatan hujung minggu, sebelah petang dan cuti hari kelepasan bagi tujuan menyihatkan tubuh badan,” katanya.

Sementara itu, Penguasa Bomba, Shahrul Nizam Nasir berkata, Ekspedisi Kayak Merdeka 2022 merupakan latihan tambahan bagi seramai enam orang anggota dari Balai Bomba Kuala Lipis khususnya, sebagai persediaan tugasan menyelamat dan mencari ketika berlaku kejadian kemalangan di air.

“Lebih penting, penyertaan program ini mampu menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan bersama PDRM dan kaki tangan kerajaan di daerah ini serta memupuk nilai kekeluargaan serta kerjasama,” ujarnya.

Aktiviti berkayak antara aktiviti rekreasi menyeronokkan.

Ia memerlukan kudrat, semangat dan pada masa yang sama menitikberatkan disiplin diri serta menjaga keselamatan ketika berada di air.

Pegawai Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Lipis, Norslinawati Min menjelaskan program Ekspedisi Kayak Merdeka melibatkan semua kaki tangan kerajaan dan pihak berkuasa beruniform mampu membugarkan kerjasama antara semua jabatan di Lipis selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Perpaduan dan kerjasama diserlahkan dengan kibaran Jalur Gemilang yang dipasang bersama semasa aktiviti ini. Ia membusung semangat patriotisme dalam kalangan peserta sempena sambutan Kemerdekaan Ke-65,” katanya.

Sejak 400 tahun lalu, Sungai Jelai menjadi laluan pedagang dari Sumatera, China, British dan kepulauan Melayu.

Mereka singgah di beberapa tempat serta mewujudkan penempatan dan waris keturunan mereka di daerah ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN