Kehadiran penyanyi Korea Selatan, Rain ke Malaysia tempoh hari seakan-akan tidak begitu meluas dihebohkan.
Bukan tidak ada yang menguar-uarkan, tetapi impaknya tidak begitu ‘kelihatan’ meskipun, menerusi laporan media dia diberitakan terlibat dalam konsert percuma kepada peminatnya di sini.
Pun begitu seperkara yang umum perlu tahu, penganjuran konsert bukan memfokus kepada persembahannya secara solo.
Sebaliknya, konsert yang diberi nama Betadia Night itu adalah konsert percuma anjuran syarikat insuran digital itu yang turut menampilkan penyanyi lain iaitu Andrew Tan dan Jess Lee.
Mungkin, jika Rain mengadakan konsert solo, peminatnya akan lebih ramai membanjiri Arena Axiata, Bukit Jalil, tempoh hari.
Pun begitu, konsert berkenaan tetap menyajikan persembahan memukau.
Barangkali, dia juga mahu menghargai peminat yang hadir, sementelah ada yang sanggup meredah hujan lebat demi menyaksikan konsert artis kesayangan mereka beraksi.
Menyajikan persembahan bertenaga, Rain memukau peminat dengan lima lagu popularnya, membuatkan penonton mula histeria saat dia melangkah ke pentas utama.
Antaranya Gang, How To Avoid The Sun, La Song, Hip Song dan Rainism.
Satu mengenai penyanyi dengan nama sebenar, Jung Ji Hoon ini, dia cukup dikenali sebagai antara penyanyi yang mahir menari dan memiliki gerak gaya yang unik ketika membuat persembahan.
Hampir terlupa bahawa usianya pada tahun ini mencecah angka 40, namun, rupa parasnya tampak masih muda, selain fit untuk rancak menari seperti sebelum ini.
Mungkin inilah yang dikatakan sebagai aura penyanyi popular. Walaupun artis Korea Selatan semakin ramai tumbuh bak cendawan, Rain tetap berada pada kedudukannya yang tersendiri.
Untuk pengetahuan, pada malam itu, Rain sepatutnya mengambil alih pentas persembahan pada slot terakhir selepas Andrew dan Jess.
Namun, perubahan berlaku pada saat akhir dan Rain memilih untuk melunaskan tugasnya pada slot pembukaan.
Difahamkan, Rain perlu bergegas pulang ke Korea Selatan sejurus selepas persembahan atas sebab yang tidak dimaklumkan.
Meskipun hangat yang dirasakan agak singkat, rindu peminat yang sudah lama menanti kunjungan Rain ke sini seakan sudah terubat.
Apatah lagi, kali terakhir penyanyi ini berkunjung ke Malaysia untuk melakukan persembahan sekitar lima tahun lalu.
Rain memulakan kerjaya seni muzik pada 2002, manakala dalam bidang lakonan pula sekitar 2003.
Sepanjang kerjaya muziknya, dia telah menghasilkan tujuh buah album termasuk 19 single.
Sementara itu, antara drama lakonannya yang menjadi kegilaan ramai ialah dan A Love To Kill.
Rain juga banyak membintangi filem, antaranya I’m a Cyborg, But That’s OK, Speed Racer dan Ninja Assasins.











