Pernita bela wanita teraniaya - Utusan Malaysia

Pernita bela wanita teraniaya

Noor Harnanie Buang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebelum ini media sering melaporkan kehilangan dan pengurangan punca pendapatan selain tekanan duduk rumah menjadi penyumbang kepada peningkatan keganasan serta penderaan terhadap wanita di negara ini sejak penularan pandemik Covid-19.

Justeru, penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Wanita Bumiputera Kuala Lumpur dan Selangor (Pernita) bertujuan membantu wanita-wanita teraniaya keluar daripada permasalahan rumahtangga dengan menyuntik kemahiran keusahawanan dalam diri mereka.

Menurut Presidennya, Noor Harnanie Buang, banyak kes dilaporkan membabitkan ramai wanita menjadi mangsa penderaan secara fizikal, mental dan emosi.

Kebanyakannya tidak tahu apa hak mereka dan bagaimana mendapatkan pembelaan sewajarnya daripada institusi perundangan.

“Masih ramai dalam kalangan wanita tidak membawa perkara ini ke muka pengadilan disebabkan tidak mampu membayar yuran guaman profesional yang mencecah ribuan ringgit bagi setiap kes yang dibuka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Wanita menjadi mangsa bukan sahaja penderaan fizikal, sebaliknya mental sepanjang pandemik Covid-19.

“Kami selalu menerima aduan daripada suri rumah yang tertekan dengan perubahan sikap suami kerana kehilangan kerja.

“Bahkan ada suami yang mengabaikan keluarga. Akibat tertekan, berlakunya penderaan dan wanita turut berdepan tekanan emosi.

“Apabila situasi ini berlaku, maka berlaku penceraian. Sebagai ibu tunggal, sudah tentu mereka memerlukan pendapatan untuk diri dan anak-anak.

“Selain memberi maklumat peluang kerja dan perniagaan, kami turut membantu golongan ini untuk meningkatkan kemahiran diri melalui penganjuran bengkel keusahawanan,” katanya.

Tambahnya, wanita kreatif berniaga berikutan golongan ini sinonim dengan karakter peniaga, pandai memujuk, malah lebih peka terhadap aliran terkini terutama pada musim perayaan.

DALAM TALIAN
Pernita turut membantu usahawan dan bakal usahawan untuk sentiasa mendapat maklumat disediakan oleh kerajaan untuk membantu mereka.

Aliran perniagaan kini katanya, bukan hanya tertumpu pada aktiviti perniagaan langsung tetapi banyak dimanfaatkan perniagaan atas talian seperti laman Facebook dan Instagram.

“Kami turut melaksanakan program pemerkasaan wanita terutamanya menggalakkan kaum hawa menceburkan diri dalam bidang keusahawanan digital,” katanya.

Noor Harnanie berkata, ramai wanita terutamanya ibu tunggal mahu mencari pendapatan sampingan menerusi platform keusahawanan digital namun kurang pengetahuan berhubung bidang berkenaan.

Jadi pihaknya cuba memberikan pendedahan sewajarnya termasuk teknik yang betul dalam pemasaran digital.

“Platform perniagaan ini mempunyai potensi yang besar jika mampu dimanfaatkan sepenuhnya.

“Kami mengharapkan usaha murni ini dapat membantu golongan wanita sekali gus memperkasakan wanita terutamanya dalam bidang ekonomi supaya lebih berdikari,” katanya.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Pernita, Siti Halijah berpendapat, NGO memainkan peranan besar terutama dalam sektor yang tidak dapat dipenuhi dengan perkhidmatan kerajaan.

“Ia disebut sebagai sektor ketiga yang membantu menyelesaikan masalah negara dan menangani pelbagai keperluan sosial termasuk isu kemiskinan dan pengangguran ke arah kesejahteraan rakyat.

“Kami membuka peluang mewujudkan organisasi masyarakat tersendiri yang mencerminkan kepelbagaian sesebuah masyarakat.

“NGO ditubuh dan diurus oleh individu yang bekerja secara kolektif dan sukarela.

“Kami ingin mempromosi nilai sosial dan matlamat sivik kepada mereka yang merangkumi bidang alam sekitar, kesihatan, pembasmian kemiskinan, budaya dan sastera, pendidikan dan sebagainya,” katanya.

Baginya banyak kebaikan yang diperoleh sekiranya melibatkan diri atau menganjurkan kerja-kerja amal untuk membantu mereka yang dalam kesusahan.

“Setiap di antara kita seharusnya mencari peluang menyertai aktiviti seperti ini sekurang-kurangnya sekali untuk merasai pengalaman dan tidak buta hati.

“Golongan berkuasa dan barisan pemimpin masyarakat sepatutnya menghabiskan lebih masa dalam aktiviti seperti ini agar masyarakat yang lebih baik dapat dilahirkan.

“Ahli falsafah tersohor, Samuel Johnson pernah mengungkapkan: Masa depan dibeli oleh masa sekarang.

“Ungkapan tersebut jelas mengatakan bahawa jika kita ingin mendapatkan manfaat kerja amal atau sukarela, kita perlu bertindak sekarang agar masa hadapan kita dan generasi akan datang terjamin.

“Seterusnya dapat menjadi contoh atau model kepada masyarakat antarabangsa dalam menjadi prihatin serta penyayang antara satu sama lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×