SESUAI dengan judul lagu yang cukup dekat dengannya, siapa sangka siapa menduga, selepas 25 tahun menanti keajaiban, akhirnya trofi Anugerah Industri Muzik (AIM) berada dalam genggamannya.
Mungkin bagi segelintir pihak, apalah yang ada pada kejayaan itu jika mahu dibandingkan dengan perjalanan yang telah ditempuhi penyanyi bersuara emas, Liza Hanim. Namun hakikatnya, trofi itu adalah satu pembuktian.
Bukti bahawa dia selayaknya berada dalam barisan penyanyi wanita yang cukup dikagumi.
Bukti perjuangan selama suku abad itu bukan sia-sia. Bukti industri seni suara menghargai bakat dan kehebatannya.
“Bukan tempoh yang singkat kalau kita mahu patah kembali. Perjuangan yang bagi saya, cukup jauh dan banyak likunya. Tetapi, itu semua menjadikan saya seorang anak seni yang ada harganya.
“Betul, memang mengambil masa bukan sedikit untuk pegang trofi ini. Tetapi, ini juga membuktikan, jika kita bersabar dan berusaha, Tuhan akan memberi apa yang terbaik untuk kita.
Alhamdulillah,” katanya.
Liza mengungguli kategori Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu bersama Shila Amzah menerusi lagu Bahagiakan Dia. Lagu ciptaan Aliff Iskandar dan Que Afiq itu turut merangkul anugerah Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem atau Drama.
KONSERT SOLO
Lantas, kejayaan apa lagi yang mahu diraih penyanyi berusia 42 tahun ini? Apa impian tertangguh yang masih belum terlaksana?
Perlahan dia membuka cerita; “Sebuah konsert yang menghimpunkan lagu-lagu saya sejak awal pembabitan sehingga sekarang. Mungkin cukup satu konsert.”
“Ya, satu konsert solo berskala besar yang cukup diidamkan. Bukan tiada perancangan ke arah merealisasikan impian itu, tetapi kesukaran mencari penaja membuatkan pelaksanaannya tertangguh seketika.
“Memang ada yang cuba berbincang, tetapi kita harus betul-betul merancang. Tidak boleh setuju sahaja tanpa berfikir jauh. Kita kena realistik. Zaman sekarang, untuk menaja sebuah konsert berskala besar bukan mudah,” katanya.
Bakal membuat persembahan solo pada 19 November depan menerusi sebuah konsert amal, Liza berfikiran positif dan menganggap majlis itu sebagai pemanas badan untuk dia bersedia mengadakan konsert besar kelak.
BEBAS KONTROVERSI
Mengimbas kembali perjalanan seninya, bagi penyanyi Gelisah Mimpi ini, dia bersyukur diari seninya terhindar daripada sebarang kontroversi yang memalit lumpur pada namanya serta keluarga tercinta.
“Bila difikirkan kembali, saya telah melakukan perkara betul untuk sedaya upaya mengelakkan diri daripada terpalit kontroversi. Sekurang-kurangnya, bila kita sudah berhijrah ke arah kebaikan dan mempunyai anak-anak, mereka tahu bagaimana saya menjaga nama.
“Alhamdulillah, sepanjang dalam industri seni, saya tidak buat kesilapan yang memalukan diri. Saya sedar, cerita-cerita sensasi akan kekal dalam diari seni. Jadi, seboleh-bolehnya saya mengelak sebarang kontroversi,” katanya.
Mengenali penyanyi yang pernah membintangi filem KL Menjerit ini, dia bukan seorang yang mudah melatah dan cukup tenang menjawab sebarang persoalan, khususnya daripada rakan media.
Malah, dia juga enggan melayan sebarang provokasi yang sengaja dicipta segelintir netizen, terutama apabila ada yang sengaja membandingkan cara nyanyiannya dengan artis lain.
“Kita sekarang sudah sampai ke peringkat, apa orang nak cakap, cakaplah. Saya pernah kena lebih teruk, jadi tidak ada hal. Saya okey saja kerana ada yang masih gembira melihat persembahan itu. Mulut orang kita tak boleh control.
“Bagi saya, apabila orang bercakap mengenainya, itu menunjukkan persembahan kita mendapat perhatian. Itu sudah cukup. Sekarang, saya sudah sampai tahap hanya melihat ke arah positif. Tidak larat lagi mahu fikir benda yang negatif,” katanya.
Tambah pemilik nama Haliza Hanim Abd Halim ini, dia sentiasa mengamalkan sikap tenang dan santai dalam menghadapi apa juga kritikan serta kecaman yang sengaja dicipta untuk menjatuhkan seseorang.
“Saya memang malas melayan semua ini. Apa yang saya tahu, hanya jauhari yang mengenal manikam. Saya mahu tenang-tenang saja.
“Nasihat saya kepada bakat baharu yang berdepan pelbagai komen netizen, jangan hiraukan sangat. Fokus memperbaiki diri sendiri untuk jadi yang lebih baik pada masa akan datang.
“Mungkin ia akan ambil masa lama sedikit, tetapi percayalah akan tiba waktu itu,” katanya.










