Bantal kekabu miliki peminat setia - Utusan Malaysia

Bantal kekabu miliki peminat setia

Salmah (tengah) dan Zawiyah membuat kajian di kedai milik Nur Aini (kiri) di Kampung Charok Pasir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekiranya melalui jalan raya sepanjang ke Pantai Timur melalui Kampung Tupai sehingga pekan parit panjang, Sik, Kedah mata pasti dapat menikmati aneka bantal kekabu sepanjang perjalanan tersebut. Ada lapan kedai menjual beraneka bentuk bantal kekabu dengan harga berpatutan.

Uniknya perusahaan ini dijalankan oleh peniaga yang ada pertalian darah, malah boleh dikatakan perusahaan secara turun temurun. Kedudukan perusahaan bantal kekabu yang sangat strategik iaitu di tepi jalan raya utama, menjadikan perusahaan ini dapat bertahan sejak 20 tahun lepas dan akan terus kukuh berkembang dengan kewujudan kedai baharu di sepanjang laluan tersebut.

Kekabu sejenis tekstur ringan dan lembut, terhasil daripada buah kekabu yang merupakan pilihan untuk isian bantal sejak zaman berzaman. Produk kekabu popular sepanjang zaman lantaran keselesaan ditawarkan sebagai meneman tidur. Walaupun harganya agak tinggi berpanding bantal jenis lain namun ia masih mendapat sambutan dan dikomersialkan dek kerana keselesaan diperoleh semasa tidur.

Salah satu perusahaan bantal kekabu yang awal bertapak ialah perusahaan diusahakan Nur Aini Abdul Wahab atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Ani,44.
Kedainya terletak di Kampung Charok Pasir, sudah berusia 20 tahun.

Sebelum memulakan perniagaan sendiri, beliau membantu ibunya mengusahakan kedai menjual bantal kekabu secara kecil-kecilan.

Selepas berkahwin, beliau mengusahakan sendiri kedainya yang terletak tidak jauh dari kedai ibunya.

“Saya turut mempunyai bengkel untuk menghasilkan bantal dan sebuah kedai untuk menjual serta mempamerkan barang jualan,” katanya yang turut dibantu dua pekerja yang khusus melakukan kerja mengisi kekabu dalam sarung bantal. Selain bantal, bengkel ini juga membuat set tilam untuk bayi dan tilam untuk dewasa.

Kata Nur Aini sebanyak 100 kilogram kekabu sehari digunakan untuk menghasilkan bantal tersebut.

“Pengunjung boleh melihat sendiri proses penghasilan bantal di bengkel terletak di belakang kedai. Ini memberi peluang kepada mereka melihat dan merasai sendiri pengalaman menghasilkan bantal kekabu,” katanya.

Selain menjual bantal kekabu dan sarung bantal, Nur Aini turut menjual jeruk buah-buahan seperti buah kelubi, buah mempelam, buah betik, buah salak, buah setoi dan lain-lain.
Kedai Nur Aini adalah yang terbesar berbanding dengan kedai lain.

Dibantu dua orang pekerja untuk menguruskan kedai, Nur Aini turut mengadakan demostrasi cara-cara membuat jeruk dan memproses bantal.

Bagaimanapun, demonstrasi dibuat sekiranya ada permintaan.
Dari segi kemudahan asas, kawasan kedainya lapang dan sesuai untuk meletak kenderaan.

Premis itu bukan sahaja luas, malah selesa dari segi kebersihan dan keselamatan. Ada tandas disediakan untuk pengunjung yang datang membeli barang.

Mengenai modal perniagaan, kata Nur Aini, beliau menggunakan modal sendiri sejak 20 tahun lepas dan tidak pernah meminta bantuan daripada mana-mana pihak untuk mengembangkan perusahaannya.

“Saya boleh mendapat pulangan RM25,000 sebulan. Rata-rata pembeli datang dari luar Sik terutamanya dari Kelantan dan Terengganu yang melalui jalan raya tersebut. Suasana bertukar sesak terutamanya pada musim cuti sekolah dan perayaan,” katanya berterus terang.

Ujar Nur Aini, perusahaan bantal kekabu beliau tidak terjejas biarpun negara dilanda Covid-19 dua tahun lepas.

Malah, perusahaan beliau masih bertahan sehingga ke hari ini kerana beralih penjualan secara atas talian menggunakan media sosial iaitu Facebook dan WhatsApp.

Menariknya Nur Aini turut melantik ejen dari beberapa buah negeri termasuklah Melaka yang mana penghantaran dibuat secara pos kepada ejen berkenaan.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Nur Aini berkata, merancang membuka kedai makanan bersebelahan kedainya bagi mengembangkan lagi perusahaannya.

SAMBUTAN MENGGALAKKAN
Sementara itu ibu saudara Nur Aini, Sofiah Osman turut membuka perusahaan bantal kekabu April lalu.

Beliau sebelum ini mengusahakan kedai runcit agro bazar sejak 20 tahun lalu serta sebuah kedai hardware. (telah diserahkan kepada anak sulungnya).

Walaupun mempunyai dua perniagaan, Sofiah terus mengorak langkah dengan memulakan perusahaan bantal kekabu kerana melihat potensi besar ditawarkan produk kekabu.

“Saya menambah dua ruang kedai di sebelah kedai runcit sedia ada untuk menjual bantal kekabu.

“Semua modal sendiri. Saya tidak membuat pinjaman untuk membesarkan perniagaan. Saya bersyukur kerana mendapat pendapatan lumayan pada musim perayaan lalu,” katanya.
Buat masa ini, beliau dibantu anaknya untuk menguruskan kedai bantal kekabu.

Menelurusi perjalanan di Parit Panjang seterusnya penulis menemui perusahaan bantal kekabu Bantal Kekabu Ayu diusahakan Nor Idayu Mohd Nor dari Kg. Selamat A.
Beliau memulakan perusahaan bantal kekabu sejak enam tahun lepas.

Beliau adalah sepupu Nur Aini. Memiliki Diploma perakauan, beliau mempunyai dua buah kedai terletak bersebelahan yang dibantu dua pekerja.

Menariknya, kedainya turut mempunyai kemudahan tandas dan ruang solat serta CCTV bagi kerja pemantauan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×