NAMA Barbara Hillary antara individu tidak asing lagi dalam dunia pengembaraan. Walaupun usianya mencecah umur emas, Barbara menjadi wanita kulit hitam pertama merentasi Kutub Utara dan Selatan.
Pada 2007, Barbara yang ketika itu berusia 75 tahun, berjaya menjejak kaki ke Kutub Utara.
Empat tahun kemudian, beliau melakukan satu lagi pencapaian iaitu merentasi Kutub Selatan.
Memetik laporan New York Times, Barbara meninggal dunia pada usia 88 tahun.
Selepas pulih daripada kanser, Barbara tergerak hati untuk bergiat aktif melalui pengembaraan.
Namun, apabila mendapat tahu tiada wanita kulit hitam pernah sampai ke Kutub Utara dan Selatan, Barbara bertekad menjadi wanita pertama yang melakukannya.
Barbara mempunyai pencapaian seumur hidup yang luar biasa malah dia juga merupakan seorang wanita yang bijak dan cerdik.
Namanya akan terus tercatit dalam sejarah dan sudah tentu dia akan sentiasa dirindui.
Diharapkan wanita muda masa kini dapat meneruskan semangat ditinggalkan Barbara.
Berikut kisah perjalanan hidup Barbara termasuk pengalaman semasa misi merentas kutub Utara dan Selatan.
ASAL USUL
Dilahirkan pada 12 Jun 1931 di New York City, Barbara tinggal bersama ibunya, Viola Jones Hillary di Harlem, Upper Manhattan.
Bapanya meninggal dunia semasa dia berusia dua tahun.
Sejak kecil, Barbara dan adiknya, Dorothy Hillary hidup dalam serba kekurangan kerana miskin.
Ibunya terpaksa bekerja sebagai pembantu rumah untuk menyara keluarga.
Begitupun, Viola tidak pernah mengeluh, sebaliknya berusaha keras untuk menyara dua orang anaknya agar memperoleh pendidikan lebih baik.
PENDIDIKAN & KERJAYA
Barbara melanjutkan pengajian dalam bidang sains sosial di Universiti New School di New York.
Dia memperoleh ijazah sarjana muda dan sarjana dalam jurusan gerontologi.
Selepas menamatkan pendidikan tinggi, Barbara menceburi kerjaya jururawat.
Dia memberi tumpuan pada latihan kakitangan berkaitan aspek penuaan pesakit dan perkhidmatan di rumah jagaan serta kemudahan yang seumpamanya.
Barbara bekerja sebagai jururawat selama 55 tahun sebelum bersara.
Dia juga merupakan pengasas dan Ketua Pengarang The Peninsula, sebuah majalah yang menampilkan pelbagai isu perkauman dan memupuk semangat perpaduan di Queens, New York.
Majalah itu adalah yang pertama seumpamanya di kawasan berkenaan.
HOBI
Apabila kelapangan, Barbara banyak menghabiskan masanya membaca buku.
Minat membaca bermula sejak Barbara kecil lagi.
Malah, tidak seperti kanak-kanak lain yang leka menonton televisyen dan bermain di luar rumah, buku adalah teman sejati Barbara.
Salah satu buku kegemarannya adalah novel kisah pengembaraan berjudul Robinson Crusoe yang ditulis oleh Daniel Defoe.
HIDAP KANSER
Ketika berusia 67 tahun, Barbara dilaporkan pulih daripada kanser paru-paru.
Barbara menghidap kanser paru-paru yang memerlukan pembedahan membuang ketumbuhan.
Pembedahan itu mengakibatkan tahap kemampuan pernafasan Barbara hilang sebanyak 25 peratus.
Ia merupakan diagnosis kanser kedua setelah menghidap barah payudara pada usia 20-an dan sembuh selepas menjalani rawatan.
Pada awal 2019, Barbara jatuh sakit akibat cecair terkumpul di injap jantungnya.
Walaupun sakit, Barbara masih mampu mengembara ke Mongolia untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesan perubahan iklim terhadap penduduk di negara itu.
Dia dimasukkan ke hospital selepas kesihatannya semakin merosot selama beberapa bulan.
Barbara kemudian meninggal dunia pada 23 November 2019 di Far Rockaway, New York.
PERJALANAN KE KUTUB UTARA DAN SELATAN
Selepas bersara daripada kerjaya jururawat, Barbara mula berminat dalam perjalanan Artik.
Ketika mengunjungi Manitoba di Kanada untuk mengambil gambar beruang kutub, dia jatuh cinta dengan keindahan pemandangan Kutub Utara.
Apabila mendapat tahu tiada wanita kulit hitam pernah sampai ke Kutub Utara, Barbara bertekad untuk menjadi wanita pertama yang melakukannya.
Ekspedisi Kutub Utara pada masa itu menelan kos perbelanjaan sekitar AS$20,000 (RM89,013) dan membabitkan penjelajahan berski yang tidak pernah dilakukannya.
Bagi mengumpul dana, dia berjumpa serta menghantar surat kepada pelbagai penaja selain turut menerima derma.
Barbara akhirnya berjaya mengumpulkan lebih AS$25,000 (RM111,267) untuk membiayai ekspedisi ke Kutub Utara.
Dia melakukan persiapan rapi untuk ekspedisi itu antaranya latihan ski merentas desa, mengupah jurulatih peribadi dan bersenam dengan menarik beban.
Pada 23 April 2007, Barbara bukan sahaja menjadi antara warga tua yang menjejak kaki di Kutub Utara pada usia 75 tahun malah merupakan wanita kulit hitam pertama yang melakukannya.
Lima tahun kemudian, Barbara sekali lagi melakar sejarah dengan menjadi wanita Afrika-Amerika pertama merentasi Kutub Selatan pada 6 Januari 2011 pada usia 79 tahun.
Susulan ekspedisinya, Barbara menjadi penceramah motivasi yang memberi inspirasi kepada ramai individu.
Beliau muncul dalam wawancara NBC News dan CNN selain memberi ucapan motivasi di pelbagai organisasi seperti Pertubuhan Kebangsaan untuk Wanita (NOW).
HADIAH UNTUK IBU
Barbara mendedikasi kejayaan misi Kutub Utara kepada ibunya, Viola yang bekerja keras membesarkan dua beradik itu untuk memperoleh masa depan yang lebih baik.
AKTIVISME & ANUGERAH
Barbara juga aktif dalam kerja-kerja aktivisme dalam komunitinya.
Dia merupakan pengasas Arverne Action Association, Inc., sebuah pertubuhan berusaha meningkatkan kehidupan penduduk di Arverne, New York serta Rockaway Peninsula Community.
Selepas menjelajah Kutub Utara dan Selatan, Barbara berminat isu mengenai kesan perubahan iklim pada lapisan ais kutub dan memberikan ceramah berkaitan topik itu.
Barbara meraih pelbagai anugerah dan penghormatan selepas merentas Kutub Utara dan Selatan.
Antaranya, pada 2007, Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) meluluskan resolusi mengiktiraf dan menghormati pencapaiannya merentas Kutub Utara.
Pada 2008, beliau menerima Anugerah Wanita Unggul atas keberanian dan kecekalannya daripada Pertubuhan Kebangsaan Wanita.
Barbara juga dilantik ke National Women’s Hall of Fame. – AGENSI









