Tuhan masih beri kesempatan untuk bernafas - Sheeda - Utusan Malaysia

Tuhan masih beri kesempatan untuk bernafas – Sheeda

Sheeda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dangdut, Sheeda meluahkan rasa syukur kerana masih diberi kesempatan untuk bernafas biarpun dia berdepan dengan situasi mencemaskan apabila terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan semalam.

Dalam kejadian yang berlaku di Jalan Kampung Baru Air Hitam, Jempol, Negeri Sembilan itu, Sheeda berkata, dalam keadaan panik, dia sempat menekan brek sekuat hati dan menarik brek tangan sehingga keretanya berhenti di tepi longkang besar.

“Maaf, saya terpaksa mendiamkan diri sebab trauma dan panik. Kejadian itu benar-benar memberi kesan bukan sahaja fizikal tetapi mental saya. Bayangkan, kalau saya tak tarik handbreak, mungkin kereta sudah terjunam dalam longkang besar di tepi jalan.

“Masa kejadian, keluar kereta kaki saya menggigil. Tekak rasa haus sangat. Terkejut sebab dalam beberapa saat, ada sebuah kereta menghentam bahagian sebelah penumpang. Alhamdulillah, kami tidak mengalami sebarang kecederaan teruk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam kejadian itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kemalangan tersebut berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipandu Sheeda sedang bergerak dari Kampung Baru Air Hitam menuju ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat sebuah kenderaan iaitu kereta jenis Proton Wira dari arah simpang sebelah kiri keluar dan melanggar di bahagian hadapan sebelah kiri kenderaan Perodua Myvi tersebut.

Sementara itu, Sheeda berkata, dia masih lagi trauma untuk memandu kereta terutama di jalan besar dan dalam proses pemulihan serta rawatan apabila dia mengalami lebam di bahagian peha, lengan dan dada.

“Saya ketika itu bersama adik angkat, Ain. Kami berdua mengalami sakit-sakit badan akibat hentaman dan mungkin rasa terkejut. Pagi tadi baru saya perasan ada lebam di bahagian tertentu.

“Alhamdulillah, Allah masih beri kesempatan untuk bernafas lagi. Saya sujud syukur sebab kalau diingat kejadian itu, memang betul-betul trauma,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya