PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) diminta segera bertindak berhubung pendedahan kepincangan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan selepas ia dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam.
Beliau berkata, kerajaan memandang serius isu projek LCS yang sedang dalam siasatan SPRM.
“Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menggesa SPRM menyegerakan siasatan dan sekiranya terdapat bukti kukuh, (Jabatan) Peguam Negara hendaklah membuat pendakwaan dan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
“Saya telah memanggil Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki selepas Mesyuarat Jemaah Menteri untuk segera bertindak selaras dengan keputusan mesyuarat,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, mesyuarat semalam juga membuat keputusan agar Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.
Projek LCS
Malah, kata beliau, Jemaah Menteri juga mencadangkan supaya Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikan, namun proses itu perlu mendapat nasihat dan pandangan Peguam Negara serta Ketua Audit Negara terlebih dahulu.
“Keputusan Jemaah Menteri hari ini (semalam) tidak akan mengganggu Proses Mobilisasi di bawah Pelan Pemulihan LCS yang diputuskan Jemaah Menteri pada 20 April 2022.
“Kerajaan komited untuk meneruskan projek ini atas kepentingan pertahanan negara selaras dengan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Saya bagi pihak kerajaan, memberi jaminan bahawa siasatan berhubung isu ini dijalankan dengan telus dan kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun yang terlibat,” kata Perdana Menteri.
Sementara itu, Ahli Dewan Negara, Muhammad Zahid Md. Arip memohon Dewan Negara meluluskan usul agar isu kepincangan projek kapal tempur TLDM dibahaskan sebelum sidang terakhir, 16 Ogos depan.
Menurut beliau, perbahasan itu juga dijangka dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk menjawab semua persoalan berbangkit.
Cadangan
“Cadangan (usul) ini telah diluluskan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan akan dibahaskan pada persidangan sebelum sidang Dewan Negara berakhir pada hari Selasa 16 Ogos 2022.
“Sesi perbahasan ini akan menjadi pentas terbaik bagi kerajaan, khususnya Kementerian Pertahanan, melalui menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang tampil menjawab semua perkara berbangkit.
“Ini kerana beliau telah dua kali memikul tanggungjawab sebagai menteri pertahanan, ketika kontrak LCS ditandatangani pada 2014 dan sekarang,” katanya pada sidang media di Parlimen semalam.
Isu LCS hangar apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 4 Ogos lalu tampil menyenaraikan sembilan rumusan punca kepincangan projek pembinaan enam tempur tersebut.
Mengikut laporan PAC, antara kepincangan tersebut ialah kerajaan gagal mengesan masalah kewangan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) berhubung perolehan LCS semasa melakukan penilaian terhadap syarikat berkenaan.
Laporan PAC juga mendedahkan, kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS pun yang disiapkan.
Susulan itu, PAC turut mengemukakan tujuh syor penambahbaikan, yang antaranya menyarankan Kementerian Pertahanan melihat semula opsyen dan menetapkan hala tuju terbaik bagi projek LCS dan memastikan wang awam dibelanjakan secara bertanggungjawab.
Projek perolehan LCS diberi kepada BNS pada 2011 bagi membina enam kapal tempur untuk kegunaan TLDM, dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah Menteri Pertahanan ketika itu, manakala Datuk Seri Najib Tun Razak adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.- UTUSAN









