Kenapa diet selalu gagal? - Utusan Malaysia

Kenapa diet selalu gagal?

Nurfarhana Diana Mohd. Nor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Diet. Itu merupakan antara perkataan yang mudah disebut tetapi amat sukar dilakukan.Sebenarnya, untuk memulakan diet memerlukan ilmu dan pengetahuan yang betul supaya tidak terkandas di tengah jalan. Seri dapatkan Pakar Pemakanan, Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Nurfarhana Diana Mohd. Nor bagi mengupas isu berkenaan.

SERI: Perkara pertama perlu dibuat sebelum memulakan diet untuk sihat dan kurus?

Seseorang yang ingin menurunkan berat badan perlu mempunyai matlamat dan tujuan betul iaitu mahukan kesihatan yang baik dan mengelakkan diri daripada mendapat penyakit kronik pada masa akan datang. Apabila ada matlamat yang betul, proses penurunan berat badan jadi lebih konsisten dan dapat mengekalkan berat badan ideal pada jangka masa panjang.

Berbeza jika seseorang itu menurunkan berat badan kerana ingin kelihatan cantik dan bergaya di hari istimewa (contoh: hari perkahwinan), kebiasaannya penurunan berat badan tidak dapat berkekalan lama dan selepas hari istimewa itu berlalu, tidak mustahil berat badan pun kembali meningkat.

Tetapkan sasaran realistik supaya tidak rasa terbeban sepanjang proses penurunan berat badan. Penurunan berat sebanyak dua hingga empat kilogram (kg) sebulan sudah memadai dan tidak membebankan.

Diet berkesan tanpa menyeksa diri?

Pakar pemakanan akan menyarankan pengambilan jumlah kalori kurang daripada keperluan kalori bagi membolehkan penurunan berat badan berlaku. Bagi memastikan penurunan berat badan yang sihat, seseorang itu perlu mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang dengan memastikan menu yang dirancang mempunyai kesemua kumpulan makanan berdasarkan piramid makanan Malaysia.

Pilih makanan menggunakan cara masak seperti rebus, kukus, bakar, panggang dan goreng ringkas. Minum air enam hingga lapan gelas sehari mengikut keperluan. Elakkan daripada minum air manis kerana ia memberi tambahan kalori yang tidak diperlukan.

Wajibkah diet disertai dengan senaman?

Ya kerana lebih efektif lantaran badan dapat membakar kalori berlebihan.

Punca diet gagal?

Salah faham tentang cara pemakanan yang betul. Contohnya, jika seseorang itu mengamalkan diet terlampau rendah kalori atau diet tanpa karbohidrat tanpa mendapat nasihat daripada pakar pemakanan, sudah tentu amalan pemakanan seperti ini tidak dapat bertahan lama kerana ia seakan-akan menyeksa diri sendiri.

Ilmu pemakanan amat penting bagi seseorang yang ingin menurunkan berat badan dan dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan supaya proses penurunan berat badan berjaya dan tidak sia-sia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×