Ogos bulan Merdeka.
Tinggal beberapa hari sahaja lagi 31 Ogos bakal menjelma. Sudah pasang bendera di laman dan kediaman, atau sudah berkira-kira menempah baju Jalur Gemilang bagi meraikan sambutan kemerdekaan di tempat masing-masing?.
Kelazimannya sewaktu anak masih bersekolah, saya gemar membawa mereka ke Dataran Merdeka bagi menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan.
Bangun awal pagi, mengalas perut dengan roti sebelum mencari port sesuai menyaksikan perarakan itu nanti. Habis acara itulah waktu bersama keluarga untuk makan-makan atau pusing ibu kota menikmati keindahan Kuala Lumpur.
Aktiviti ini nampak biasa-biasa sahaja tetapi ia cukup membahagiakan dan memberi erti apabila kita bercakap dengan anak-anak mengenai nilai kemerdekaan yang perlu ditegakkan menerusi lima prinsip dalam Rukun Negara.
Kalau hilang salah satu rukun itu, bukan sahaja tempanglah rupanya, tetapinya ia juga boleh menimbulkan konflik dalam sebuah negara yang berbilang bangsanya seperti kita.
Prinsip terkandung itulah acuan dalam mencorakkan kedamaian bumi Malaysia.
Saya berbangga apabila rasa itu mampu meresapi jauh ke dalam sanubari anak-anak, generasi pewaris masa depan.
Anak saya, Alya tersenyum penuh bangga di usia 16 tahun kini apabila mengenangkan pengalamannya menyertai perarakan Hari Kebangsaan pada usianya 10 dulu.
Keterujaan anak-anak memahami itulah yang sebenarnya erti Merdeka bagi ibu bapa dan sebuah keluarga Malaysia.
Elakkan Hari Merdeka itu kita qada tidur lantaran cuti umum. Malu rasa kalau anak tengok ibu bapanya tidak melakukan apa-apa sebagai memperingati hari bersejarah buat kita semua.
Dalam pada itu pendekatan bulan kemerdekaan ini perlu dipelbagaikan ikut kesuaian semasa. Supaya mesej yang ingin disalurkan kepada rakyat itu, sampai.
Saya kata demikian sebab erti Merdeka itu belum benar-benar dirasai dan dihayati oleh kebanyakan masyarakat. Buktinya ramai dalam kalangan kita bukan sahaja tidak berbangga dengan khazanah bangsa sendiri tetapi lebih suka memuja budaya luar seperti K-Pop.
Demam K-Pop tak sama dengan kegilaan terhadap Bollywood sebab ia agresif dalam memancing pengikutnya.
Kewujudan penstriman TV yang boleh dicapai dihujung jari memburukkan lagi kesannya.
Sikit-sikit tak mengapa tetapi sanggup 24 jam menatap Korea. Segala-galanya daripada makanan hingga ke makanan dan pakaian semuanya mahu ikut gaya Korea, kata orang lebih Korea daripada orang Korea.
Tak mahulah saya bercakap mengenai hukum tetapi apa yang kita ketahui sesuatu yang kalau sudah menjadi ketagihan itu, ia sudah dianggap suatu penyakit yang boleh memudaratkan bila terikat akal dengan minda sebab terlalu memuja. Merdekakah itu?
Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia










