SETIAP kali melontarkan jawapan, Aizat Amdan memandang tepat ke arah isterinya, Elyssa Alia. Dia tahu, kini bidadari kiriman Tuhan itu adalah sebahagian dari setiap satu keputusan dalam hidupnya.
Baginya, dia tidak boleh sekadar memikirkan hal dirinya sendiri tanpa melibatkan isterinya. Itu adalah sebahagian daripada janji cinta yang dimeterai selepas diijab kabul dengan sekali lafaz semalam.
“Ini adalah fasa baharu, kini saya tidak boleh fikir tentang diri saya seorang sahaja untuk apa sahaja perancangan selepas ini. Contohnya kalau saya nak pergi ke mana-mana, kena minta nasihat dan izin dia juga,” katanya.
Malah dia tahu juga, setiap apa yang bakal dijalani dalam dunia seni ini bakal terpalit juga kepadanya. Apatah lagi, warganet tidak pernah sekali melelapkan mata. Ada sahaja cerita sensasi menjadi bahan.
“Sebenarnya, itu adalah antara benda yang kami risaukan. Bagi saya, apa yang lebih merisaukan apabila ada segelintir warganet yang mudah melabel atau body shaming orang lain di media sosial,” ujar lelaki berusia 33 tahun ini.
Mengangguk setuju, jelas Elyssa, dia tidak kisah seandainya ada kritikan dan kecaman melibatkan perangai atau rupanya namun, jangan sesekali melontarkan hinaan terhadap tubuh badannya.
“Jangan normalisasikan body shaming. Jangan mudah mengatakan sesuatu yang kejam di media sosial kami. Tak suka apa saya pakai, tak apa. Tapi jangan menghina.
“Saya minta maaf andai apa yang saya pakai menyakitkan mata anda. Kalau tak suka, boleh unfolllow. Saya sedang cuba untuk berubah ke arah kebaikan. Namun, saya mohon jangan libatkan keluarga,” kongsi Elyssa.
ANAK, BULAN MADU
Membawa pasangan sama cantik sama padan ini ke arah topik berbeza, kedua-duanyanya tidak mahu terburu-buru bercakap soal anak namun menyerahkan sebulat hati kepada perancangan Yang Maha Esa.
“Insya-Allah, kalau ada rezeki dalam masa terdekat kami terima dengan hati yang terbuka. Pasangan mana tak mahu anak? Kami serahkan soal rezeki dan zuriat kepada Allah.
“Tetapi saya bersyukur, hari ini saya dapat berkongsi rezeki dan kegembiraan dengan semua orang. Keluarga dari kedua-dua belah pihak juga hadir. Kami dapat berkumpul beramai-ramai, Alhamdulillah,” katanya.
Mengenai destinasi berbulan madu, pasangan ini merancang untuk ke lokasi impian di Tulum, Mexico selepas selesai kerja di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).
“Kami sebenarnya ada lokasi impian kami iaitu, Mexico. Jadi ketika saya ke LA untuk bekerja nanti, kami akan ke sana insya-Allah. Saya akan ke LA sekitar November nanti. Rasanya sebulan kami akan ke sana,” kata penyanyi Sampai Ke Hari Tua itu.
Elyssa yang kini berusia 34 tahun berkata, Tulum dipilih kerana dia sukakan kawasan tepi pantai yang tenang dan santai.
“Impian saya adalah untuk ada villa dan sekolah menyelam. Jadi tempat itu adalah lokasi tepat untuk memulakan idea itu. Saya sukakan tepi pantai kerana ketenangannya dan saya tak suka bandar.
“Kami juga tak nak fikir jangka panjang masa pendek untuk satu kerja saya. Kami mahu cuba teroka pekerjaan yang berbeza tapi kami masih sayangkan Malaysia. Mana boleh tiada sambal belacan,” katanya.
Tayar pancit insiden kelakar
Berkongsi cerita tentang dugaan menuju ke alam rumah tangga, Aziat mendedahkan tayar keretanya pancit sehari sebelum majlis pernikahan ketika sesi latihan untuk hari penting mereka itu.
“Sebelum ini memang ada dugaan, tetapi Alhamdulillah kami berjaya melaluinya dengan tenang. Cuma nak kongsi cerita kelakar. Semalam dalam perjalanan ke sesi latihan, tiba-tiba tayar saya pancit.
“Sudahlah pukul 3 petang, matahari terpacak atas kepala, tayar tak boleh tukar pula. Memang pening kami berdua ketika itu. Tetapi bersyukur juga sebab jadi semalam, bukan hari ini,” selorohnya.
Menyoroti kisah percintaan mereka, Aizat dan Elyssa bermula sebagai sahabat tiga tahun lalu. Tetapi lama-kelamaan, rasa cinta mula terbit dan keserasian itu membawa mereka ke jenjang pelamin.










