BENAR kata orang, seorang penyanyi akan kekal bertahan lama bersandarkan bakat, disiplin dan merendah diri. Semua itu ada pada bintang kejora yang kekal bersinar selama 50 tahun dalam dunia seni.
Hetty Koes Endang, satu nama yang boleh kita perkecilkan. Bakatnya luar biasa. Suaranya menetap terus dalam fikiran. Berkesempatan menyaksikan keampuhan vokal milik penyanyi berusia 65 tahun ini, penulis sebenarnya lebih jatuh cinta dengan bagaimana dia menyebarkan aura seorang bintang di atas pentas.
Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang yang berlangsung Sabtu lepas ibarat gelanggang melepas rindu. Peminat bersorak tatkala penyanyi kelahiran Indonesia mula melontarkan suaranya.
Memulakan persembahan dengan lagu Rindu, Hetty tampil dengan busana hitam emas. Vokalnya masih berbisa, walaupun itu cuma lagu pertama. Dia menyanyi sesungguhnya, cukup ampuh.
Tatkala lagu Hati Lebur Jadi Debu mula berkumandang, peminat ikut nyanyi bersama. Lima dekad dalam dunia seni, dia berjaya mencuri hati bukan sahaja peminat muzik di tanah airnya, malah kita juga turut jatuh cinta.
Mungkin kerana peribadinya yang cukup bersahaja.Bercanda, bermesra dengan peminat membuatkan kita dekat. Di atas pentas, biarpun dia kelihatan seperti seorang ratu, namun bualnya cukup santun.
Tidak lengkap kalau sebuah konsert Hetty tanpa keroncongnya. Es Lilin dan Kuda Hitam mengambil alih. Kedua-dua lagu ini juga menjadi siulan kita. Lantas, satu demi satu lirik bergema memenuhi dewan.
“Saya sudah biasa menyanyi lagu keroncong, tetapi yang satu ini mungkin jarang sekali anda dengar. Ini di luar kebiasaan tetapi istimewa untuk anda semua yang hadir,” katanya.
Itu ayat pembuka sebelum dia menyanyi lagu Kaulah Segalanya nyanyian asal Ruth Sahanaya. Menariknya, dia mengubah second verse lagu tersebut dengan susunan muzik keroncong. Cukup unik dan segar.
Ditemani maestro, Datuk Ramli MS yang juga sahabat baiknya sebagai pengarah muzik, Hetty sempat mengusik manja pemuzik hebat itu.
Persahabatan mereka cukup akrab dan sentiasa mengundang lucu daripada peminat, malah, dia juga mendedikasikan lagu keenam daripada 18 lagu dipersembahkan dalam konsert tersebut khas buat sahabatnya.
“Saya sudah kenal lama dengan Tok Ram. Jadi, saya dedikasi lagu Melodi Perpisahan ini buatnya. Lagu ini mempunyai susunan muzik yang cukup indah. Sesuai dengan persahabatan kami,” ujarnya.
Tambah manis, persembahan itu juga diselang-selikan dengan gambar mereka berdua yang mendapat tepukan gemuruh lebih 300 tetamu yang hadir.
Sebelum dia mengundur diri seketika untuk menukar busana, layar konsert memaparkan video ucapan kejutan buat Hetty daripada komposer tersohor negara, Datuk Seri Ahmad Nawab.
“Seorang komposer yang cukup saya hormati. Terima kasih Datuk Seri Ahmad Nawab,” ujarnya sebak.
BERDIRI BULU ROMAKU
Memasuki set kedua, Hetty memulakan persembahan dengan dua lagu medley, Cinta Sehebat Rindu dan Inginku Sandarkan Harapan. Dua lagu yang sinonim di hati peminat setianya.
Mereka seperti melayan perasaan. Melayari lautan seni dengan bahtera yang dinakhodakan Hetty. Dengan 150 album dan ratusan lagu popular, Hetty berdiri teguh sebagai biduanita hebat kelahiran negara republik itu.
Dalam konsert sempena 50 tahun usia seninya, Hetty juga menghadiahkan tetamu dengan empat lagu medley sebagai dedikasi kepada komposer dan penyanyi lagu tersebut.
“Saya tidak pernah menyanyikan lagu ini sepanjang karier. Jadi, istimewa untuk kalian yang hadir,” katanya sebelum menyanyikan lagu Dia nyanyian asal Anji sebagai dedikasi untuk kedua-dua ibu bapanya.
Malah, dia turut membuat kejutan dengan menyanyikan lagu Tiara nyanyian asal Kris yang tular, baru-baru ini. Ternyata, Hetty berjaya menghidupkan lagu tersebut dengan suara emasnya.
Biarpun lagu tersebut di luar genre kebiasaan, tetapi berbekalkan pengalaman seni, dia melontar setiap bait lirik dengan cukup baik.
Pujian juga harus diberi kepada Ramli MS. Sususan muziknya cukup mengagumkan, malah menghidupkan setiap lagu, sesuai dengan suara dan vokal milik Hetty.
Tidak terkecuali, keharmonian suara dan vokal penyanyi latar juga sangat membantu mewujudkan kelunakan melodi dan lagu.
CINTA HATI
Gelanggang set ketiga dibuka dengan dua lagu medley, Widuri dan Biar Bulan Bicara. Kedua-dua lagu ini walaupun bukan miliknya, Hetty mengakui karya itu memberi impak istimewa dalam hidupnya.
Konsert tersebut juga dimeriahkan dengan sambutan ulang tahun kelahiran juri Gegar Vaganza ini yang disambut 6 Ogos lalu.
Sempena hari kemerdekaan yang bakal disambut tiga hari lagi, tetamu diajak menyanyikan lagu Tanggal 31 nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman.
Mendedikasikan lagu Kemuning khas buat suaminya, Dr. Yusuf Erwin Faisal, Hetty berkongsi cerita di sebalik lagu tersebut.
“Kamu tahu tak, ada seorang pemuda yang sangat menyukai lagu ini. Tetapi, dia tidak tahu siapa penyanyinya. Namun, jodoh itu rahsia Allah, rupa-rupanya penyanyi itu adalah bakal isterinya. Sayalah itu,” katanya.
Tidak sah kalau lagu Kasih dan Berdiri Mak Bulu Romaku tidak dinyanyikan dalam sesebuah konsert. Lantas, dua lagu itu dipilih sebagai tanda perpisahan Hetty buat tetamu yang hadir.
Sebagai saksi hidup menyaksikan konsert tersebut, sejujurnya Hetty layak berdiri sebagai seorang biduanita yang punya karisma tersendiri. Pada usia 65 tahun, dia masih membuktikan tidak ada kurangnya vokal dan bakat dimilikinya.











