Konsert Queen Of The Night oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Sabtu lalu, bagaikan tidak ada cacat celanya, walaupun empunya diri baru sahaja sembuh daripada Covid-19.
Dalam persembahan dua jam itu, penyanyi hebat ini menyampaikan 17 lagu yang rata-ratanya diberi susunan baharu, antaranya Purnama Merindu yang disuntik elemen tradisional dan Cindai yang dimodenkan iramanya.
Siti Nurhaliza turut memilih untuk menyanyikan lagu genre berbeza antaranya, Azizah nyanyian asal Tan Sri P. Ramlee, Terukir Di Bintang (Yuna) dan Fly Me To The Moon (Frank Sinatra).
Istimewanya seorang Siti Nurhaliza, ketika menyanyi menghiburkan penonton, suaranya kekal merdu dan tidak ada cacat celanya.
“Saya baru lepas Covid-19. Cuma, tak hebahkanlah. Jadi, simptom post Covid-19 ini masih ada antaranya sakit tekak dan batuk, terutama apabila malam.
“Pernafasan pun ada semput sikit, cuma Alhamdulilah, malam ini saya berpuas hati. Gementar juga, tetapi bila tengok penonton tersenyum puas, saya bersyukur.
“Saya pun ada jumpa doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut dan persediaan sebelum konsert ini. Saya masih dalam proses pemulihan. Tetapi bila nak menyanyi, pandai pula dia menyorok,” katanya.
Konsert anjuran B’ De Paris di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur itu berjaya menghiburkan lebih 500 peminat yang kebanyakannya golongan B40 dan merupakan kaum wanita hasil sumbangan tiket yang dibeli oleh Yayasan Metamorphosis.
“Saya cukup terharu sebab malam ini, peminat dari seluruh pelosok negara hadir. Paling tersentuh dan menggembirakan, ada penonton berbilang kaum. Ada Melayu, Cina dan India juga.
“Malah, malam ini ada juga peminat yang pertama kali berpeluang untuk menyaksikan konsert saya. Terima kasih Yayasan Metamorphosis kerana menyempurnakan impian mereka,” katanya.
ALBUM TRADISIONAL
Alang-alang berbicara tentang album, soalan terus dilayangkan. Bila agaknya pemilik suara emas ini akan hadir dengan album penuh tradisional, sementelah sudah 14 tahun Lentera Timur dilancarkan.
“Semestinya saya rindu nak buat album tradisional. Tetapi, saya mahu selesai satu persatu. Album seterusnya ini pun bergenre pop. Jika ada material yang bagus, saya tidak akan menolak.
“Kalau ikutkan macam-macam genre saya nak cuba lagi. Di konsert seperti ini saya boleh bereksperimen. Memilih lagu-lagu di luar kebiasaan. Tunggu konsert bersama Datuk Awie, November nanti pula,” katanya.
SAYA SANTAI SAHAJA
Baru-baru ini tular video penyanyi Akulah Bidadari Syurgamu ini ‘turun padang’ menyanyi bersama kumpulan busker.
Ramai memuji dan tidak menyangka, seorang penyanyi berstatus diva ini akan menyanyi secara santai di khalayak ramai.
“Saya rasa itu biasa sahaja. Saya mudah terhibur, jadi apa sahaja yang boleh menghiburkan diri dan orang sekeliling, saya buat sahaja.
“Saya pun orangnya biasa sahaja. Kadang-kadang kita tidak perlu sesuatu yang ekstravaganza pun. Perkara kecil itu jika memberi kegembiraan kepada orang lain, kita pun akan happy sama. Kegembiraan itu tidak boleh dijual beli,” katanya.










