Kami tidak berpecah – Munif Hijjaz - Utusan Malaysia

Kami tidak berpecah – Munif Hijjaz

Munif Hijjaz rancak mengeluarkan single dalam YouTube sendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERTAHAN sebagai artis berkumpulan bukan mudah untuk dibuktikan. Apatah lagi, serangan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu memberi cabaran pada kebanyakan artis yang mencari sumber rezeki dengan tawaran persembahan.

Faktor duit, ‘orang ketiga’ dan bergerak sebagai artis solo antara tiga sebab utama menjurus sesebuah kumpulan terpaksa dibubarkan.

Namun, ketiga-tiga faktor tersebut tidak mempengaruhi kumpulan nasyid Hijjaz walaupun sudah lama menyepi tanpa sebarang single baharu.

Walaupun Munif Hijjaz kian rancak mengeluarkan single baharu dan lama yang diberi nafas baharu dalam akaun YouTube sendiri, namun itu bukan isyarat mereka sudah membawa haluan sendiri.

“Kita masih banyak buat persembahan bersama. Namun, hendak hasilkan single perlu lihat kepada tawaran syarikat rakaman sebab ia melibatkan dana yang besar. Apabila buat single untuk kumpulan ia melibatkan dana yang banyak.

“Susah kita hendak hasilkan single baharu untuk Hijjaz sendiri. Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita belum duduk berbincang untuk projek itu lagi. Cuma ada kawan-kawan cadang keluarkan album baharu berkonsep, ada jalan cerita dan tema macam album Pelita Hidup,” katanya ditemui pada majlis anjuran Majlis Usahawan Nasyid Malaysia, baru-baru ini.

Menyedari kekangan tersebut, Munif Ahmad mendapat ilham semasa PKP untuk menjana pendapatan melalui akaun YouTube sendiri, Munif Hijjaz Channel.

Usahanya membuahkan hasil apabila lagu Kau Pemilik Cinta meraih tontonan 1.5 juta.

“Lebih 20 lagu sudah saya hasilkan dalam saluran tersebut, ada separuh lagu lama dan baharu. Ada yang sudah 15 tahun saya buat susunan dan muzik baharu, tetapi banyak melibatkan lagu yang saya cipta sendiri.

“Sebenarnya, akaun YouTube sendiri itu hendak kumpulkan lagu lama dalam saluran sendiri. Bila tak buat, lagu itu akan berterabur, ada pada syarikat itu dan ini.

“Ada juga single baharu sebab saya perlu cari idea segar mengikut situasi semasa, lagu-lagu yang diyakini boleh meletup. Lagu tersebut turut diiringi video sebagai jalan cerita supaya audiens puas menonton,” ujarnya.

AIR TANGAN HIJJAZ
Menyentuh tentang kejayaan Hijjaz melahirkan artis naungan seperti Inteam dan UNIC sehingga mampu bertahan, Munif berkata, fenomena dahulu dan sekarang berbeza.

Zaman dahulu hendak mengetengahkan nasyid lebih mudah disebabkan sokongan sekeliling yang agak kuat seperti daripada syarikat rakaman, wartawan dan peminat sendiri.

“Sekarang kalau tidak kuat, suara sedap sekalipun kalau tiada peminat pun susah. Contohnya, kalau dahulu syarikat rakaman apabila dia melihat di mana-mana persembahan dia akan terus ambil sebagai artis, tetapi sekarang kalau tak meletup kat YouTube dia tidak akan ambil.

“Sekarang syaratnya seolah-olah mesti meletup dalam media sosial sebab sudah ada peminat sendiri,” katanya.

NASYID BUKAN KERJAYA HAKIKI
Mengenai kesukaran lagu nasyid menembusi pasaran muzik tempatan sekali gus menyaksikan industri lagu nasyid sedikit merudum, Munif mengaku terdapat perbandingan yang cukup besar waktu ini.

Kalau dahulu, katanya, nasyid boleh dijadikan sebagai kerjaya sepenuh masa dan artis boleh memberikan komitmen bila-bila masa.

“Sekarang ini ibaratnya kalau tiada kerja lain ‘nahaslah’. Kalau hendak bergantung sepenuhnya dengan nasyid sebagai kerjaya sepenuh masa memang susah.

“Kumpulan nasyid masih ada, tetapi kebanyakan mereka sudah ada pekerjaan lain seperti guru, arkitek dan peguam. Sudah tentu perkara ini akan menjadi kekangan sehingga nasyid itu dilihat sebagai minat dan kerja sampingan seseorang artis,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×