Filem pendek pelajar MMU ditayang ke luar negara

Filem pendek pelajar MMU ditayang ke luar negara

Saifuddin Abdullah dan delegasinya menonton filem pendek yang dihasilkan oleh pelajar MMU di MMU Cyberjaya baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Wisma Putra bercadang mengetengahkan filem-filem pendek hasil karya pelajar Universiti Multimedia (MMU) pada pameran filem antarabangsa tidak lama lagi.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, Wisma Putra menerusi bahagian kebudayaannya menghadiri banyak program kebudayaan dan pesta filem antarabangsa, namun kandungan kreatif dari Malaysia masih kurang dipamerkan kepada pengunjung.

“Kerajaan akan mempromosikan kandungan kreatif dari Malaysia seperti filem-filem pendek dan buat permulaan kita bercadang memaparkan filem-filem yang dihasilkan oleh pelajar MMU di luar negara sebagai contoh di Eropah seperti Jerman dan Belanda,” katanya.

Tambah Saifuddin, filem-filem pendek dihasilkan mahasiswa berkualiti dan mempunyai nilai sosio budaya negara ini serta sesuai ditayangkan kepada diplomat asing yang berkunjung ke Malaysia.

Sementara itu, Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud melahirkan rasa teruja dan gembira dengan perkembangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai kesinambungan kepada kejayaan yang telah diraih oleh pelajar dan alumni MMU sebelumnya.

“Dengan bimbingan pensyarah, beberapa pelajar MMU sebelum ini telah berjaya membawa filem mereka ke pesta-pesta filem terkemuka antarabangsa seperti Singapore International Film Festival, Cardiff International Film Festival (UK), dan Fano International Film Festival (Itali).

“Antara judul filem dihasilkan pelajar MMU yang mendapat anugerah antarabangsa ialah Weeping Birds, Samudera, Suraya, Torture, The Gold Chain, Kantoi, Spotlight dan sebagainya,” katanya.

Prof. Mazliham berkata, alumni-alumni MMU adalah antara pemain utama industri perfileman dan kandungan kreatif tanahair. Antaranya Nizam Razak, yang pernah terlibat dalam penghasilan filem animasi Upin & Ipin serta menjadi pengarah kepada filem animasi Boboiboy, manakala Muhammad Usamah Zain Yasin pula menghasilkan Ejen Ali, filem animasi terkenal ketika ini.

“Selain itu, Ghaz Abu Bakar yang merupakan pengarah filem, Polis Evo 1 juga adalah alumni MMU, manakala pensyarah dan alumni MMU, Vimala Perumal adalah pengarah filem Tamil blockbuster, Vedigundu Pasangge yang menerima pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa,” jelasnya.

Katanya, sebahagian alumni FCA turut memberi impak besar dan menyumbang kepada industri apabila mereka memegang jawatan penting dalam syarikat penghasilan kandungan kreatif seperti Astro Shaw and VIU Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya