Nikmat populariti yang diraih tidak sesekali disia-siakan model, penyanyi dan pengacara jelita, Dr Soo Wincci, sebaliknya kelebihan itu dimanfaatkannya untuk membantu insan yang memerlukan.
Dilantik sebagai ikon kemanusiaan Islamic Relief Malaysia bersama Irma Hasmie, Diana Amir dan Elafeeza Ul Haq, Wincci mengakui, pengalaman menyantuni golongan rentan banyak membuka matanya dalam memahami erti sebenar sebuah kehidupan.
Meskipun bukan beragama Islam, Wincci percaya, setiap individu mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk membantu sesama insan.
Baginya, tidak kira apa juga agama dan kepercayaan yang dipegang, semua insan digalakkan untuk melakukan kebaikan tanpa sebarang diskriminasi. Wincci percaya, sekecil mana sekalipun sumbangan yang diberikan, ia pasti dibalas dengan ketenangan dan nasib yang baik.
“Pernah ada yang bertanya, adakah saya pernah rasa tertekan kerana menjadi ikon bukan Islam pertama dalam Islamic Relief? Jawapan saya, tidak sama sekali.
“Matlamat Islamic Relief sangat jelas untuk membantu golongan rentan tanpa mengira apa juga bentuk perbezaan. Tiada sebarang diskriminasi.
“Saya pernah turut serta dalam menjalankan kempen dan program menyantuni penerima bantuan berbangsa Cina sempena Tahun Baharu Cina, selain membantu umat Islam yang memerlukan ketika Ramadan dan juga projek bantuan persekolahan untuk anak-anak berbangsa India,” kata Wincci.
Tambahnya, sokongan semua pihak diperlukan dalam usaha mewujudkan dunia prihatin. Baginya, matlamat membantu ramai orang sukar dicapai jika bertindak sendirian.
Kagum ketabahan individu dibantu – Irma Hasmie
Tidak hanya aktif menyumbang kudrat dan masa membantu insan kekurangan di tanah air sendiri, ikon kemanusiaan Islamic Malaysia Relief ini juga tidak lelah menabur bakti di luar negara.
Menyifatkan kepercayaan yang diberikan sebagai penghormatan, Irma yang juga pelakon dan pengacara bersyukur kepada Allah SWT kerana berpeluang untuk terlibat dalam aktiviti kemanusiaan.
“Ramai orang di luar sana yang teringin untuk melakukan kerja mulia seperti ini tetapi mungkin tiada ruang, peluang dan kesempatan masa.
“Sebelum ini, saya tidak tahu pun apa itu misi kemanusiaan. Islamic Relief Malaysia adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pertama yang memperkenalkan saya dengan dunia kesukarelawanan,” katanya.
Ibu dua cahaya mata itu dilantik sebagai ikon kemanusiaan Islamic Relief Malaysia bermula Jun 2018. Namun, penglibatannya dalam kerja kebajikan bersama pertubuhan itu mula terjalin sejak 11 tahun yang lalu ketika aktif mengacarakan program bual bicara pagi di sebuah stesen televisyen.
Kata Irma, dia banyak belajar daripada pengalaman menyantuni golongan memerlukan khususnya wanita dan kanak-kanak, sama ada di dalam mahupun di luar negara.
Irma mengakui, sangat terinspirasi dengan ketabahan dan kecekalan individu yang dibantu ketika mengikuti misi kemanusiaan ke Marawi, Filipina pada 2018 dan Gaziantep, sempadan Turki pada 2020.
Meskipun sedih melihat penderitaan dan mendengar luahan perjalanan hidup insan yang diuji, dia sedaya upaya berusaha untuk tidak menunjukkan emosi tersebut di hadapan mereka.
“Pernah satu masa, ketika bertemu ibu tunggal pelarian Syria di Turki ketika misi musim sejuk, saya terpaksa lari dan bersembunyi di dalam kereta serta menangis kerana terlalu sedih melihat kesengsaraan hidup mereka.
“Pengalaman melihat survival ibu tunggal dan anak yatim Syria yang melarikan diri sehelai sepinggang tanpa harta atau bekalan memberi kesan emosi mendalam pada diri saya,” ujar Irma.
Peluang tambah saham akhirat – Diana Amir
Bagi Diana Amir pula, kerja kebajikan dilihat secara dasarnya untuk membantu meringankan beban mereka yang memerlukan, namun di sebaliknya, dia pula yang berasa seperti dibantu.
“Saya selalu berdoa dan berharap agar diberi peluang untuk terus berbakti kepada insan lain selagi hayat masih ada. Lagipun, kita tak tahu amalan kita yang mana satu yang Allah akan terima. Jadi, kita perlu sama-sama istiqamah melakukan kebaikan. Ini semua saham akhirat kita,” kata Diana.
Tambahnya, dia bersyukur kerana suami, anak-anak dan ahli keluarga memberi sokongan sepenuhnya untuk dia terlibat aktif dalam kerja kemanusiaan dan kesukarelawanan.
Diana sebelum ini pernah mengikuti misi kemanusiaan bersama Islamic Relief ke Bosnia & Herzegovina pada tahun 2018. Turut serta dengannya ketika itu ialah Ashraf Muslim, Ustazah Asni Mansor dan Farah Lee.
Di sana, dia dan delegasi misi dibawa menziarahi ibu tunggal dan anak yatim yang masih hidup dalam diskriminasi, meskipun peperangan di Bosnia telah berlalu lebih dua dekad.
Sehingga kini, Diana masih aktif berkongsi pengalaman dan kisah kesengsaraan hidup masyarakat Muslim di Bosnia yang tersepit di tengah-tengah percampuran etnik Croatia dan Serb.
“Kebajikan keluarga Muslim di Bosnia sering diketepikan dan hak mereka masih dinafikan. Sewaktu menjejakkan kaki di sana, baru saya sedar di sebalik keindahan negara Balkan itu tersembunyi penderitaan yang masih berlarutan,” kata Diana Amir.
Belajar erti syukur yang sebenar – Elfaeza Ul Haq
Bagi selebriti kelahiran Singapura, Elfaeza Ul Haq, pengalaman mengikuti misi kemanusiaan ke Somalia, sedikit masa lalu benar-benar memberi keinsafan kepada dirinya.
Imej kanak-kanak yang kurus, bermata kuyu dan dihurung lalat yang dilihat ketika misi itu masih segar dalam ingatannya sehingga kini.
“Masih teringat keluhan ibu-ibu dan kanak-kanak perempuan yang terpaksa berjalan kaki puluhan kilometer di bawah terik mentari untuk mendapatkan air. Itu pun bukan air yang bersih dan selamat untuk digunakan, tetapi mereka terpaksa. Hanya itu pilihan yang ada,” katanya.
Dia yang mesra disapa Elfa berkata, penglibatannya dalam misi kemanusiaan bukan sekadar membantu golongan rentan, tetapi ia sebenarnya turut membentuk dirinya menjadi lebih tenang dengan memperbanyakkan rasa syukur atas kurniaan Allah.
Antara ikon kemanusiaan Islamic Relief Malaysia yang lain adalah kumpulan nasyid Saujana, Chef Imelda, Ashraf Muslim dan Dr. Aizan Sofia Amin.
Terbaharu, barisan ikon ini telah diraikan pada majlis Tautan Kasih Islamic Relief Malaysia bagi menghargai usaha mereka dalam menjalankan kerja kemanusiaan di dalam dan di luar negara.
————
Artikel ini sumbangan Islamic Relief Malaysia










