Awan Xero bantu PKS urus kewangan digital - Utusan Malaysia

Awan Xero bantu PKS urus kewangan digital

Koren Wines.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penularan pandemik Covid-19 beri kesan terhadap sektor ekonomi lebih-lebih bagi usahawan mikro perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Berikutan negara kini sedang beralih ke fasa ke endemik, situasi tersebut mendorong pemain industri untuk membantu usahawan PKS dengan mentransformasikan perniagaan melalui pengurusan kewangan digital seperti perakaunan awan yang bersifat lebih efisyen dan terjamin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Urusan Xero Asia, Koren Wines berkata, perakaunan awan membolehkan pengguna seperti usahawan PKS dan perunding, memindahkan proses kewangan dan perakaunan ke dalam talian melalui penyelesaian perisian perakaunan berasaskan awan.

Katanya ia bukan saja menjimatkan masa tetapi kos serta memberi manfaat tambahan seperti kebolehskalaan, kebolehcapaian dan keselamatan.

“Perisian perakaunan awan seperti Xero ini menyediakan gambaran keseluruhan masa sebenar tentang kewangan perniagaan bagi membolehkan pemilik perniagaan mengoptimumkan pelan perniagaan dan membuat pilihan termaklum (informed choice).

“Kaedah ini menawarkan fleksibiliti untuk mengakses akaun kewangan, laporan dan pelbagai data kewangan serta operasi lain di mana sahaja. Baik tempat kerja, rumah mahupun ketika dalam perjalanan pada bila-bila masa dari sebarang peranti yang disambungkan ke internet, seperti telefon, tablet mahupun komputer,” katanya.

Platform Xero mempunyai pelbagai ciri, tidak kira membuat pembayaran, penyelarasan bank, menghantar invois ataupun pelaporan. Ia telah disepadukan dengan lebih 1,000 aplikasi pihak ketiga.

“Ini membolehkan aliran data yang lancar antara aplikasi melalui platform Xero, yang kemudiannya dapat menghasilkan cerapan dan analitik bagi membantu pemilik perniagaan membuat keputusan termaklum untuk melengkapkan pelan dan strategi perniagaan mereka,” katanya.

Tambahnya, penggunaan teknologi awan melalui platform Xero juga akan memaksimumkan kecekapan organisasi dan perniagaan, di mana ia mampu menyambungkan akaun Xero kepada akaun bank pemilik perniagaan bagi membolehkan aliran transaksi, lancar dari bank ke buku akaun mereka.

Kajian tingkah laku dijalankan oleh Xero, mendapati ‘jurang penerapan’ berpunca daripada beberapa halangan tingkah laku, khususnya corak pemikiran dan persepsi tentang transformasi teknologi dalam kalangan perniagaan kecil di seluruh dunia.

“Pemilik perniagaan kecil sering beranggapan penyelesaian sedia ada sudah cukup baik, sungguhpun teknologi baharu berpotensi membantu meningkatkan prestasi.

“Ia menyebabkan PKS cenderung memberi tumpuan kepada risiko dan kerugian jangka pendek ketika mempertimbangkan perubahan malah ragu-ragu apabila perlu membandingkan, memahami dan memilih antara pelbagai pilihan teknologi,” katanya.

Kajian berkenaan turut menawarkan beberapa cadangan tentang bagaimana penggubal dasar, penasihat dan vendor teknologi dapat membantu perniagaan kecil dengan membentangkan penerapan teknologi dengan cara lebih jelas, mudah dan tidak membebankan.

Antaranya termasuklah menggalakkan perubahan teknologi yang lebih kecil dan berperingkat iaitu bukannya pelaburan dengan kos yang berisiko tinggi dan mengangkat perniagaan kecil yang telah meraih manfaat daripada penerapan teknologi.

Sementara itu, Xero Asia menjangkakan digitalisasi akan terus menunjukkan trend meningkat pada tahun ini serta tahun-tahun akan datang, berdasarkan beberapa perkembangan selaras dengan penerapan digitalisasi dalam kalangan perniagaan tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×