Anak seni sememangnya tidak dapat lari daripada kecaman warganet di ruangan komen media sosial.
Tidak terlepas terpalit dengan perkara itu, pelakon dan pengacara terkenal, Ain Edruce, enggan berbalahan antara satu sama lain di media sosial.
Walaupun ada segelintir warganet kurang gemar cara hos rancangan hit Melodi ini mengendali sebuah rancangan, namun Ain berfikiran positif walaupun mengakui kadang kala berang bila membaca komen-komen yang kurang enak buat dirinya.
“Saya ada terima komen tidak enak, tetapi saya tidak boleh nak buat apa kerana minat individu berbeza-beza. Dalam dunia ini juga mungkin lima orang yang tidak menyukai saya.
“Namun, saya selalu berfikiran positif di mana 10 orang lagi sukakan anda. Saya selalu berfikiran begitu. Kadang kala, jika nak diikutkan hati ini mahu sahaja marah, balas komen-komen mereka.
“Tetapi saya tidak boleh buat apa sebab setiap orang ada hak bercakap, terutama sekarang ini netizen mulut tidak tapis. Mungkin mereka fikir kita tidak membaca apa yang mereka komen,” katanya.
Isteri kepada Amirul Hafiz Mustaffa ini berkata, artis juga adalah manusia biasa yang mempunyai emosi dan perasaan seperti orang lain.
Ain bagaimanapun menitipkan rasa syukur kerana mempunyai suami untuk mendengar semua keluhan dah luahannya di kala menerima kata-kata ‘panas’ netizen.
“Kita ini manusia biasa juga, kena ingat. Fikirlah, kalau tukar tempat dengan kita, boleh atau tidak mereka menahan bagaimana kita boleh menahan apa yang mereka perkatakan.
“Kadang kala memang sedih membaca komen-komen negatif. Orang yang selalu mendengar adalah suami saya.
“Dialah penasihat saya. ‘Jangan baca komen, pedulikan mereka. Mereka tidak mengenali awak’, dia (suami) yang lagi artis daripada kita,” tuturnya.
Pelakon drama Kekasih Paksa Rela ini mengakui sebenarnya menjadi seorang ‘Ain’ ini, adalah sukar.
“Orang lihat saya seorang ceria malah ramai juga berpandangan artis hak umum. Namun, mereka lupa yang saya ini walaupun nampak sporting tetapi ada juga bad days.
“Jadi kenapa saya berkata susah menjadi seorang ‘Ain’ adalah kerana walau dalam hari yang teruk dan tiada mood sekalipun, apabila di luar kita kena gembira. Sebab orang dah anggap saya seperti itu, saya kena terimalah,” jelasnya.
Anak jadi keutamaan
Cukup sinonim dengan perangai ‘gila-gila’, aksi lincah dan gaya bersahaja sewaktu mengacara, rezekinya dalam bidang tersebut tidak pernah surut.
Dalam bidang pengacaraan, Ain antara pengacara wanita laris mewarnai kaca televisyen, seiring dengan beberapa nama lain termasuk Sherry Alhadad.
Baru-baru ini, Ain dipilih sebagai pengacara baharu program Melodi bagi menggantikan pelakon berbakat besar, Nabila Huda.
Pemilihan figura tinggi lampai ini dalam mengendalikan program tersebut disifatkan sesuai dengan ‘DNA’ program hiburan popular itu selain dirinya juga seorang yang mudah memberi kerjasama.
Selepas bergelar ibu kepada puteri sulungnya, Soraya, dia mengakui agak sukar berenggang dengan anak kesayangannya itu, lebih-lebih anak kecilnya masih menyusu badan.
“Saya sebenarnya bermula dalam industri ini dengan pengacaraan. Saya berlakon pun hanyalah untuk mencuba sahaja namun, lama-lama timbul minat ke arah itu.
“Kalau boleh, saya ingin berlakon semula tetapi itulah, bila kita sudah berkahwin dan mempunyai bayi, ia sukar dilaksanakan.
“Saya pun tidak boleh berenggang dengan anak. Bukan anak sahaja yang clingy, saya pun clingy dengan dia. Lagipun Soraya masih menyusu badan,” kongsinya.
Pengacara bersuara serak-serak basah ini turut mengakui agak selektif dalam pemilihan kerja apabila meletakkan Soraya sebagai keutamaannya pada masa ini.
“Berlakon mengambil masa yang lama jadi buat masa ini saya tidak boleh beri komitmen.
“Buat masa ini saya mahu lebih fokus kepada bidang pengacaraan kerana ia tidak mengambil masa yang lama selain lebih fleksibel,” katanya.
Seimbangkan kerjaya, keluarga
Walau jadual tugasan harian yang padat sebagai seorang anak seni versatil, Ain bagaimanapun tidak pernah sesekali mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ibu dan isteri.
Berusaha curi masa bersama keluarga kecilnya, dia memberitahu caranya untuk seimbangkan kerjaya dan kehidupan peribadi adalah dengan bercuti.
Bagi dirinya masa itu bagaikan emas untuk dirinya bersama-sama puteri kecilnya yang kini sudah mula pandai berjalan.
“Selalunya saya akan ambil job dan bila selesai kerja saya akan bercuti seminggu untuk luangkan masa bersama anak dan suami.
“Itu cara saya seimbangkan kerja dan keluarga. Walau kerja macam mana sekalipun, habis sahaja tugasan saya akan terus pulang ke rumah.
“Saya tidak akan merayau atau makan di luar. Lapar pun saya akan pulang ke rumah dahulu. Sekarang saya baru faham bila orang kata masa itu emas. Setiap kali habis kerja, saya terus balik kerana masa yang ‘terlepas’ dengan anak itu tidak akan kembali,” katanya.
Ain turut berkongsi dia dan suami terpaksa mengambil pembantu rumah bagi menjaga Soraya di kala tuntutan tugasan harian yang perlu bekerja di luar.
“Kalau boleh sebenarnya saya sendiri yang ingin menjaga Soraya. Sampaikan saya rasa ‘tak nak kerjalah’ kerana tidak biasa ada pembantu rumah dan orang yang menjaga anak kita.
“Tetapi kini saya baru faham kenapa orang menghantar anak mereka ke taska atau di rumah pengasuh. Ia kerana, memang tiada pilihan.
“Kalau boleh, memang nak jaga tetapi apakan daya. Masing-masing ada kerja. Saya banyak dengar mengenai pembantu rumah yang mendera kanak-kanak dan saya sendiri juga risau,” kongsinya.
Tambah pengacara program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYMY) music kelima itu, beliau turut memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengawasi dan mengurangkan rasa kebimbangan saat Soraya ditinggalkan bersama pembantu rumahnya.
“Ada CCTV pun kita tidak boleh juga tidak mempercayai maid kerana itu pun boleh mendatangkan masalah.
“Jika asik buruk sangka pula, orang pun tidak akan selesa. Kalau nak jadi, jadi juga walau baik macam mana pun kita dengan maid. Apa pun, kita doakan agar segala perkara buruk tidak akan terjadi,” ujarnya panjang.
‘Itu cara kami bermanja’
Perkongsian video Ain di saluran Youtube menjadi tarikan warganet yang suka melihat wajah ‘spontan’ suami tercintanya.
Pun begitu, muncul komen-komen kurang enak segelintir warganet yang menyifatkan pelakon drama Camelia itu bagaikan tidak menghormati suami.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Ain menjelaskan, itu adalah cara mereka ‘bermanja’.
“Lain rumah tangga, lain caranya. Saya dan Amirul, suka ‘kena mengenakan’ antara satu sama lain. Kelemahan Amirul bila berdepan kamera, dia automatik jadi kejung.
“Tetapi sebenarnya, di belakang kamera dia seorang suami yang tegas. Namun sisi itulah yang orang tidak tahu,” jelasnya.
Pengacara program Karaoke Superstar itu mengingatkan warganet untuk tidak cepat menghakimi individu atau selebriti.










