KUALA LUMPUR: Minyak masak dalam botol didapati masih dijual pada harga yang tinggi walaupun harga minyak sawit mentah (CPO) telah turun ke paras sekitar RM3,800.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa lokasi di Lembah Klang mendapati, masih ada peniaga yang menjual minyak masak dalam botol lima kilogram pada harga RM42.90 sedangkan kerajaan sudah mengarahkan harganya diturunkan.
Mengikut simulasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum ini, kadar CPO semasa sepatutnya menyebabkan harga minyak masak botol lima kilogram dipasarkan di peringkat peruncit sekitar RM30.65.
KESAN LANGSUNG
Bagaimanapun, kesan langsung daripada penurunan harga CPO dilihat berlaku amat perlahan di peringkat jualan runcit.
Keadaan itu juga menyebabkan peruncit enggan mendapatkan bekalan minyak kerana harga terlalu tinggi.
Seorang peruncit yang enggan mendedahkan namanya berkata, meskipun banyak permintaan daripada pengguna, namun beliau tidak dapat membekalkan minyak masak botol kerana harga masih tinggi.
“Harga terlalu tinggi, tak turun pun seperti yang kerajaan arahkan, macam mana saya nak jual kepada pengguna?
“Stok ini baru sahaja sampai (semalam), sebelum ini kita tak pernah ambil minyak masak jenama ini tetapi stok ini pembekal sendiri yang hantar, harganya RM42.90.
“Yang ramai orang ambil ialah minyak masak paket, dan minyak paket sudah habis dijual,” katanya yang membuka pasar mini di Seksyen 14 Petaling Jaya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin berkata, kerajaan tidak wajar menyalahkan peruncit kerana harga bekalan minyak masak masih diperoleh masih pada kadar harga yang tinggi.
“Isu ini perlu dijawab oleh pihak pembekal mengapa harga minyak masak botol lima kilogram masih tidak berkurangan seperti yang diarahkan kerajaan.
“Pembekal bagi harga RM38. Jadi, macam mana kita nak jual RM30.80? Sebab walaupun CPO menurun tapi bila tanya pembekal, mereka kata perlukan masa dan anggapan saya masa itu dalam sebulan ke sebulan setengah.
“Menteri kena tanya pembekal, Sime Darby, Felda, Lam Soon, tanya mereka kenapa harga RM38? soalnya ketika dihubungi, semalam. – UTUSAN










