Nasi dagang ala Kelantan dengan gulai tumis

Nasi dagang ala Kelantan dengan gulai tumis

Nasi dagang
Nasi dagang ala Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sempena Aidiladha Seri, kongsikan resipi nasi dagang ala Kelantan dari Fatihah Hanapi yang mengolah sedikit resipi asal gulai.

Katanya, resipi asli dari ibunya menggunakan gulai darat atau gulai tanpa tumis, tetapi bagi resipi kali ini dia kongsikan resipi gulai ditumis untuk aroma yang lebih harum.

Bahan-bahan nasi:
(untuk 10 hingga 12 orang makan)

4 cawan beras nasi dagang kelantan
1 kotak kecil santan
air secukupnya
2 helai daun pandan (diikat)
2 ulas bawang merah besar (hiris)
2 ibu jari halia (hiris)
2-3 sudu makan biji halba
2 sudu kecil garam
1 sudu besar gula
3-4 sudu makan minyak masak

Cara-cara:
Beras :

Bersih dan rendam selama dua jam

Campuran santan cair :
1/2 jag kecil air campur dengan 1/3 kotak santan
Masak sekejap atas api untuk mengelakkan nasi cepat basi.

Campuran santan pekat:
Campur dan kacau sebati 2/3 kotak kecil santan bersama 1/2 cawan air, daun pandan, bawang merah, halia, biji halba, garam, gula dan minyak masak.
Garam dan gula ikut selera.
Masak sekejap atas api.

Kukusan kali pertama:
Kukus beras sahaja dalam 15-20 minit atau sehingga nasi lembut bergantung pada periuk kukusan masing-masing
Pastikan ditengah-tengah kukusan ada ruang bulat untuk wap panas masuk

Arong nasi kali pertama:
Masukkan sedikit demi sedikit campuran santan cair bersama nasi. Kacau atau arong sebati.

Kukus nasi kali kedua:
Kukus nasi selama 20 minit

Arong nasi kali kedua:
Masukkan sedikit demi sedikit campuran santan pekat bersama nasi. Kacau atau arong sebati.

Kukus nasi kali ketiga:
Kukus nasi selama 15 minit
Bila nasi masak, pindahkan nasi dalam bekas, tekan nasi dan ratakan di atas permukaannya.

Tips: Masa arong nasi letak santan sedikit demi sedikit, gaul rata dan sebati dan baru letak lagi sampai nasi sebati.

Gulai ayam Kelantan
Perapan ayam:

10 -12 ketul ayam
2 paket kecil rempah gulai daging kelantan
1/3 paket kecil rempah kerutuk
2 sudu makan serbuk cili
2 sudu makan cili boh @ cili kering kisar

Bahan kisar halus:
3 ulas bawang putih
2 biji bawang merah
1 ibu jari besar halia
1/2 ibu jari lengkuas
1 sudu makan biji ketumbar
1 sudu makan jintan manis
sedikit belacan

Bahan – bahan lain
Minyak untuk menumis
1 cawan air
1 biji ubi kentang
Santan cair (1 cawan air + 1/2 kotak kecik santan)
1 asam keping
1/2 kerat gula nisan
2 sudu kecil garam
1 sudu makan serbuk perasa
1/2 kotak kecik santan pekat
3 biji lada solok belah 2
6 biji cili api merah
1 sudu makan kerisik

Cara-cara:
*Perap ayam sekurang-kurangnya 30 minit sebelum masak bersama kesemua bahan perapan.
*Kisar halus semua bahan.
*Masukkan minyak ke dalam periuk untuk menumis.
*Tumis sampai bahan naik bau dan masak.
*Masukkan ayam perapan. Kacau sekejap dan biarkan air ayam keluar dahulu.
*Masukkan air, ubi kentang dan santan cair
*Bila kuah mendidih, masukkan asam keping, gula nisan, garam dan perasa.
*Masukkan santan pekat
*Akhir sekali masukkan lada solok, cili api dan kerisik

Acar Mentah
Bahan-bahan:

2 biji timun potong memanjang
2 biji bawang merah
6-8 biji cili padi
1 biji lobak merah disagat atau potong memanjang
3-4 sudu makan cuka
2 sudu gula
1-2 sudu kecil garam

Cara-cara:
*Campurkan timun, bawang merah, cili padi dan lobak merah dalam bekas.
*Masuk gula dan garam, gaul rata hingga air timun keluar
*Masuk cuka dan gaul sebati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN