“Kalau ikutkan jumlah kibas yang ada kira-kira 100 ekor lebih tetapi semua itu sudah ditempah pelanggan untuk majlis akikah sebelum ini. Permintaan untuk Aidiladha hampir 20 ekor dan dijangka meningkat,” itu reaksi positif Yacob Adamsah mengambarkan haiwan ternakan kibas diusahakan sejak lima tahun lalu ‘laku keras’ menjelang Hari Raya Haji ini.
Pesara polis berusia 61 tahun dari Kepala Batas ini nyata bijak menggunakan waktu bersaranya sebagai tempoh aktif dengan mengusahakan ternakan itu sebagai sumber pendapatannya.
“Saya mula ternak baka dari Australia dan Mesir empat ekor saja di tanah seluas 0.4 hektar.
“Selepas empat tahun mengusahakan ternakan ini, jumlah haiwan ternakan itu mencecah mencecah 70 ekor termasuk 12 ekor anak,” katanya kepada Utusan Malaysia, ketika ditemui di ladang mini ternakan miliknya di Kampung 20, Penaga, baru-baru ini.
Pemilik Fariza Mutiara Agrofarm ini berkata, ternakan tersebut dibangunkan sejak 2018 itu bermula sekadar ingin memenuhi waktu lapang selepas perusahaan ternakan ayam dan itik diusahakan sebelum ini tidak menjadi.
“Ketika mengusahakan ternakan ayam dan itik sekitar 2016, ia mengundang masalah seperti bau dan juga menggalakkan kehadiran lalat ke kawasan penempatan. Saya mengambil keputusan tidak meneruskan ternakan haiwan itu lalu beralih kepada ternakan kibas yang dirasakan lebih mudah untuk mengendalikannya,” katanya.
Permintaan untuk Aidiladha
Permintaan untuk Aidiladha, pertama kali dibuka kepada pelanggan memandangkan jumlah bilangan haiwan itu kian meningkat.
“Sebelum ini saya fokus kepada kenduri dan akikah sahaja. Namun, sekarang kami pelbagaikan tempahan untuk Aidiladha kerana merasakan orang sudah mula menerima daging kibas untuk dijadikan pilihan sebagai daging korban,” katanya.
Harga seekor haiwan ternakan ini dijual antara harga RM1,000 hingga RM1,600 bergantung kepada saiz dan baka.
Sementara itu, kerja-kerja pengurusan ladang ternak dilakukan bersama isteri Fariza Abu Bakar, 51 yang juga merupakan seorang guru di sebuah sekolah dekat Seberang Perai Utara, Butterworth.
“Setiap kali selesai kerja isteri akan datang ke ladang untuk menguruskan keperluan kibas dari segi memantau kesihatan kibas serta menguruskan keperluan asas yang lain manakala saya pula akan menguruskan kebersihan kandang kibas, kerja-kerja baik pulih kandang serta mencari keperluan makanan kibas termasuklah mencari 80 pelepah kelapa sawit setiap hari di kawasan sekitar,” katanya.
Kos makanan kibas tidak termasuk dedaun dan rerumput yang rata-ratanya terdiri daripada bijirin oat, hampas soya serta kacang sepat menelan belanja sekitar RM1,500 sebulan.
Kurang bergantung kepada import
Yacob yang pernah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 33 tahun turut menambah, pihaknya juga ingin mengembangkan cabang perniagaan kepada jualan daging kibas sejuk beku serta menghasilkan baja organik yang diperbuat daripada sisa buangan kibas secara komersial.
“Usaha menternak biak kibas yang kami lakukan ini juga adalah sebagai salah satu alternatif untuk mengurangkan kebergantungan komuniti terhadap ternakan import, kerana merasakan ada peluang cerah terhadap permintaan kibas dalam pasaran tempatan.
“Dan pada masa yang sama, atas dorongan tersebut saya dan isteri sudah mula mengeluarkan produk daging kibas sejuk beku secara kecil-kecilan yang dijual menggunakan platform Whatsapp. Hasilnya begitu memberangsangkan.
“Selain itu, dalam masa terdekat ini saya dan isteri juga berhasrat untuk membuka pusat ternakan kibas tempatan selain ingin mengusahakan kolam ikan untuk kaki pancing berhampiran ladang kibas sebagai tempat tarikan orang ramai yang kini sudah dalam peringkat pembinaan,” katanya yang turut mendapat kelulusan bagi mengusahakan ternakan dari Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta berdaftar di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang.
Ilmu penjagaan kibas
Yacob menambah, dirinya tidak mempunyai sebarang pengalaman menguruskan kibas sebelum ini sebaliknya lebih gemar bertanya dan bertukar-tukar pendapat dengan individu yang sudah lama terlibat dalam bidang ternakan kibas selain turut mengutip ilmu mengenai penjagaan kibas melalui pembacaan dan juga melalui saluran Youtube.
“Sekarang dunia sudah semakin maju dan canggih. Jadi, saya mengambil kesempatan itu untuk meluaskan ilmu pengetahuan mengenai ilmu penjagaan haiwan ternakan terutamanya kibas seterusnya menerapkan kaedah penjagaan secara praktikal.
“Tidak dinafikan kepesatan teknologi juga amat membantu saya yang boleh dikatakan sudah menginjak kepada usia emas ini,” katanya. – UM










