Kenal pasti lokasi panas kejadian kepala air

Kenal pasti lokasi panas kejadian kepala air

AMINUDDIN HASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan negeri diminta menyenaraikan semua lokasi panas (hot spot) yang boleh berlaku kejadian kepala air sebagai satu bentuk persediaan pengurusan bencana menyeluruh.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) bagi mengenal pasti lokasi berkenaan untuk dikoordinasi di bawah Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC).

Beliau berkata, semua data berkenaan akan diselaraskan bagi menggerakkan setiap agensi dan jabatan berkaitan untuk kesiapsiagaan bencana terma­suk keperluan diletakkan sistem amaran.

KERJASAMA

“Pada masa ini Nadma beker­jasama dengan Jupem untuk minta bantuan kerajaan negeri mengenal pasti lokasi panas yang boleh jangka kejadian kepala air.

“Setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah ada kawasan yang kerap berlaku banjir kilat, tetapi bila hujan terlalu lebat, bencana banjir besar boleh berlaku. Ini implikasinya. Jadi lokasi hot spot ini kita akan letakkan di bawah NDCC sebagai siap siaga kepada jabatan lain,” katanya di sini semalam.

Semalam, Pengarah Bahagian Kebombaan Operasi dan Penyelamat (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad mendedahkan, sebanyak 73 kawasan berisiko berlaku kejadian kepala air dikesan JBPM di seluruh negara.

Katanya, Kedah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 20 kawasan, diikuti Selangor (17 kawasan), Terengganu (sembilan kawasan), Johor dan Perak (masing-masing enam).

Turut merekodkan kawasan berisiko berlaku kejadian kepala air ialah Kelantan dengan lima kawasan, diikuti Pahang (empat kawasan), Sarawak (tiga kawasan), Sabah (dua kawasan) dan Negeri Sembilan serta Perlis (masing-masing satu kawasan).

Aminuddin berkata, setiap sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) diarahkan bertindak meningkatkan kesiapsiagaan di kawasan lokasi panas itu.

Pada masa sama, katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan melihat keperluan diletakkan sistem amaran di setiap lokasi berisiko.

Katanya, NADMA turut mengadakan Program Community Based Disaster Risk Mana­gement (CBDRM) bagi mening­katkan keupayaan kumpulan pemimpin komuniti di lokasi-lokasi yang pernah berlaku bencana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN