SETIAP individu mempunyai tahap kemurungan atau masalah mental unik dan berbeza. Biarpun didiagnos penyakit sama namun jenis rawatannya, berbeza mengikut tahap kemurungan.
Pakar Psikiatri dan Penolong Professor Kuliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Rozanizam Zakaria berkata, perbezaan isu dan keadaan sosial seseorang itu memberi impak terhadap rawatan kemurungan diterima. Jika mengambil salah satu rawatan sahaja, ia tidak dapat mendepani masalah kemurungan secara holistik.
“Gejala kemurungan datang dalam bentuk menyeluruh iaitu gangguan biologi, psikologi, sosial dan spiritual. Bila faham empat pendekatan ini maka ia dapat merawat kemurungan. Perlu faham kemurungan dalam empat konteks ini kerana rawatan juga mesti tackle kesemua domain tersebut. Sekiranya rawatan tidak menguasai dan membantu menyelesaikan domain ini maka rawatan tidak holistik dan sempurna,” katanya.
Kemurungan ialah bila rasa tiada semangat untuk hidup, semua perkara dibuat tidak menyeronokkan lagi.
Secara psikologi, ada suatu perasaan yang memerangkap diri sehingga tidak dapat bergerak dan hanya mampu menangis. Segala perkara menjadi negatif.
Sekiranya situasi ini berterusan selama dua minggu seseorang itu mempunyai masalah kemurungan serius atau major depressive disorder maka perlu segera dapatkan rawatan.
4 GANGGUAN KEMURUNGAN
1) GANGGUAN BIOLOGI
Gangguan tidur, selera makan, tenaga dan seksual.
2) GANGGUAN PSIKOLOGI
Perasaan sedih, hilang minat, rasa bersalah, hopeless, helpless, berfikir negatif, keinginan untuk mencederakan diri dan bunuh diri termasuk kognitif dan sebagainya.
3) GANGGUAN SOSIAL
Gangguan perhubungan, sosial, tempat kerja, aktiviti seharian, pembelajaran dan sebagainya.
4) GANGGUAN SPIRITUAL
Dua jenis isu spiritual dalam masalah mental. Existential (contohnya, marah dengan Tuhan, rasa bersalah manakala Praktikal iaitu jadi malas, tak minat dan rasa terpaksa.
ATASI MURUNG
1) Ubat – Bertujuan mengembalikan kestabilan kimia tertentu dalam otak untuk membantu komponen dalam kemurungan tersebut.
2) Psikologi – Pada asasnya adalah terapi bercakap yang mana terapist dan individu kemurungan akan melalui modul tertentu.
3) Bantuan sosial – Melibatkan isu sosial individu mengalami kemurungan. Contohnya, disebabkan masalah kewangan, rumah tangga, kerja dan belajar. Jika aspek perawatan gagal melihat dan membantu isu ini dalam aspek sosial, individu ini akan tetap bermasalah stres dan tertekan.










