Secara tradisinya, perosak rumah tangga atau orang ketiga kebiasaannya akan ‘diganyang” oleh para isteri yang tahu mengenai kecurangan suaminya.
Iyalah, isteri mana yang tidak marah apabila tahu suami menduakan mereka dalam diam dengan wanita lain.
Namun kini, putaran roda seakan terbalik apabila banyak kes yang didengari orang ketiga pula yang berani mengganggu isteri malah keluarga lelaki berkenaan.
Situasi itu sudah tentulah meremukkan hati isteri yang malang, sudahlah diduakan suami, diganggu pula oleh orang ketiga yang mendera mental dan emosi sehingga menggoyahkan ikatan perkahwinan.
Sedangkan, di negara ini mempunyai undang-undang yang membolehkan isteri atau suami yang diganggu oleh pihak ketiga untuk mengambil tindakan terhadap si pelaku.
Menerangkan dengan lebih jelas, Peguam Syarie, Mazidah Husain berkata, jika terdapat gangguan sedemikian, pasangan boleh mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah bagi menghentikan konflik daripada terus berlanjutan.
“Sebelum ini mungkin ramai yang tidak tahu mengenai akta ini tetapi saya yakin sejak setahun kebelakangan ini sudah ramai yang semakin peka dan tahu melalui kes-kes tular di media sosial.
“Cumanya, masih ramai yang tidak tahu cara yang betul macam mana hendak failkan kes sehingga menyebabkan kes tidak dapat dibawa kepada proses yang selanjutnya,” katanya kepada SERI.
Namun, katanya tindakan itu hanya boleh diambil jika terdapat gangguan untuk menghancurkan hubungan suami isteri dan bukan untuk pasangan yang sememangnya berniat curang dengan orang ketiga.
“Tindakan ini boleh diambil jika suami atau isteri diganggu tetapi jika pasangan sendiri yang bersikap curang dan bersama dengan pihak ketiga, pejabat agama tidak boleh berbuat apa-apa,” jelasnya.
Perlu aduan dahulu
Kata Mazidah, langkah pertama apabila mengetahui terdapat unsur gangguan daripada pihak ketiga adalah pasangan perlu membuat aduan terlebih dahulu di Pejabat Agama daerah yang terlibat.
Aduan tersebut harus disertakan bersama dengan bukti-bukti terdapat gangguan daripada pihak ketiga untuk merosakkan hubungan suami isteri.
“Bukti-bukti itu boleh jadi perbualan di WhatsApp atau sebagainya yang menunjukkan pihak ketiga ada melakukan unsur hasutan seperti menyuruh suami untuk menceraikan isteri atau ada lelaki yang mengajak isteri untuk lari meninggalkan suami.
“Kerana aduan ini bukan hanya untuk isteri tetapi suami juga boleh buat aduan jika ada pihak ketiga yang menganggu isteri. Begitu juga jika ada ahli keluarga seperti mertua atau ipar duai yang menghasut untuk menghancurkan hubungan suami isteri mereka juga termasuk dalam kategori orang ketiga.
“Oleh itu, aduan perlu disertakan dengan bukti-bukti berkaitan supaya pejabat agama boleh jalankan siasatan lanjut untuk melihat sejauh mana gangguan berkenaan. Aduan tanpa bukti tidak akan ada siasatan lanjut,” ujarnya.
Pendakwaan
Tambah Mazidah, selepas siasatan lengkap dijalankan dan sekiranya pejabat agama mendapati sememangnya wujud sebarang bentuk gangguan maka kertas siasatan akan dihantar ke bahagian pendakwaan syarie untuk didakwa di Mahkamah Syariah.
“Pihak ketiga atau orang kena tuduh (OKT) itu akan dipanggil ke mahkamah dan akan terima kertas pertuduhan untuk hadir ke mahkamah bagi menjawab pertuduhan.
“Pada prosiding sebutan pertama, pendakwa akan bentangkan fakta kes dan OKT perlu mengaku bersalah atau dibicarakan.
“Kalau minta dibicarakan maka dia perlu bawa peguam untuk proses seterusnya dan jika mengaku dan didapati bersalah pula boleh dikenakan hukuman denda maksimum tidak lebih RM3000 atau penjara maksimum tidak lebih dari dua tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya lagi.
Lelaki suka melayan
Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.
Ada benarnya pepatah berkenaan kerana tidak mungkin tetamu boleh masuk ke rumah jika tidak dibukakan pintu.
Berkongsikan pengalaman mengendalikan kes berkenaan masalah kewujudan orang ketiga, Kaunselor Perkahwinan, Noraniza Anwar berkata, kebanyakan suami mengaku hanya ‘suka-suka’ melayan wanita lain tanpa niat mahu bernikah lagi.
Antara alasan yang diberikan adalah untuk berseronok, test market, mahukan perhatian atau hanya mengisi kesunyian apabila berjauhan dengan isteri.
Dari situ jelas, isu orang ketiga itu wujud bukan hanya kerana adanya perampas tetapi kerana sikap melayan para suami yang tidak tahu membezakan antara ramah dan ‘gatal’.
“Sebab itu saya ingin tekankan pasangan yang ingin berkahwin tolonglah dapatkan kaunseling pra-perkahwinan dahulu kerana kursus kahwin sahaja tidak cukup.
“Kaunseling ini bukan hanya bila perkahwinan itu dah bermasalah, tetapi ia penting supaya tidak ada kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan dalam alam rumahtangga,” katanya.
Sekatan digital
Katanya, terdapat empat konteks perlu disemai dalam sesebuah hubungan iaitu saling memahami peranan, ada undang-undang disepakati bersama, perlu ada kejujuran dan sekatan digital.
“Paling saya ingin tekankan adalah sekatan digital kerana dunia media sosial hari ini sangat luas. Suami kena letak keramahan kena pada tempatnya supaya tidak menimbulkan fitnah.
“Berpada-pada dalam bersosial kerana bila tengok komen-komen suami orang atau bapa orang di media sosial boleh tahan juga,” komennya.
Oleh itu, tegasnya, penting bagi seseorang lelaki sudah berkahwin untuk bersikap ‘sombong’ supaya tidak membuka jalan kemaksiatan dan harus bersikap jujur kepada isteri agar setiap tindakan tidak menjurus kepada kecurangan.
Tepuk sebelah tangan berbunyi tak?
DALAM banyak kes kecurangan, wanitalah yang asyik dikata beremosi. Bergaduh dengan orang ketiga. Berbalas-balas mesej di telefon atau paling teruk dalam media sosial tanpa rasa malu.
Peperangan dalam rumah tangga sudah jadi macam peperangan dunia, semua orang kena tahu!
Yang tak bising-bising. Tak banyak bunyi, lelakilah. Sedangkan dialah yang membuat ‘onar’. Dia yang melayan. Bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi.
Tetapi dialah yang paling diam bila kecurangannya sudah diketahui isteri. Yang bergaduh, yang remuk redam hatinya, yang tak lalu makan dan tak tidur malam, wanitalah juga.
Dalam beberapa isu wanita merampas atau kini popular dengan perkataan ‘menyondol’ suami orang di media sosial, selalunya yang dihamburkan kemarahan adalah orang ketiga itu. Wanita ini disifatkan sebagai pengacau rumah tangga.
Kalau kita perhatikan di media sosial, daripada 10 komen mengenai isu ini, hanya satu atau dua menyalahkan suami. Lain-lain semua lebih kepada melepaskan geram terhadap perampas berkenaan. Adakah suami sendiri tidak bersalah?
Pada saya, jangan beri aib pada sesiapa. Hal rumah tangga adalah hal yang paling sulit. Tidak payahlah dibawa ke media sosial. Kesannya, akan diingat sehingga ke anak cucu.
Memanglah lelaki boleh kahwin lebih daripada satu jika berkemampuan. Jika ada niat untuk berkahwin, jangan mengeruhkan lagi keadaan dengan menyakiti hati isteri dan memberi kesan kepada anak-anak.
Memang jadi kebiasaan juga, bab-bab poligami ini laju saja golongan lelaki mempertahankan tindakan mereka, tetapi bila masuk bab-bab solat, puasa, nafkah dan tanggungjawab terhadap keluarga tidak pula dia bermati-matian mahu melaksanakannya.
Dan tentunya kalau asyik beremosi, tidak dapat menyelesaikan isu sebegini. Hanya pihak yang melaluinya saja tahu apa yang berlaku. Sementara, wanita lain harus mengambil kejadian atau berita seperti ini sebagai iktibar dan menjaga rumah tangga masing-masing dengan sebaik-baiknya.
Pada masa sama, kini negara ini sudah ada peruntukan undang-undang untuk menghukum penganggu rumah tangga orang. Tidak kiralah sama ada pengganggu itu wanita atau lelaki. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara atau denda. Maka gunalah saluran undang-undang ini sebagai jalan selesai dan pada masa sama ia juga boleh memberi peringatan kepada pihak lain agar tidak melakukannya. Tak perlulah menghebahkan setiap benda di media sosial. Apatah lagi ia kisah rumah tangga yang sepatutnya disimpan rapi.
Undang-undang di negara ini bukan saja melindungi wanita. Suami pun boleh membawa lelaki yang mengganggu rumah tangganya ke muka pengadilan. Jangan cakap negara ini hanya melindungi hak wanita kerana mempunyai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, tiada kementerian lelaki.
Kes mengganggu rumah tangga orang memang kalau dibahaskan sampai bila-bila pun tak habis. Sebabnya, ramai yang lebih suka mencari siapa salah tanpa mahu berlapang dada. Mencari punca. Tanyalah juga diri, kenapa ia boleh berlaku.
———–
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia










