HALIMAH YACOB, 68, adalah Presiden Singapura kelapan dan wanita pertama dilantik memegang jawatan tertinggi negara sejak 2017.
Halimah merupakan ketua negara wanita keempat di Asia Tenggara selepas Corazon Aquino dan Gloria Macapagal Arroyo dari Filipina serta Megawati Sukarnoputri dari Indonesia.
Pada waktu itu, hanya Halimah diisytiharkan layak bertanding bagi calon Presiden oleh Jabatan Pilihan Raya.
Beliau berjaya membuktikan dirinya mampu menjadi Presiden yang baik sehingga dikenali sebagai pemimpin yang memperjuangkan hak pekerja wanita, tidak gentar membasmi rasuah serta ekstremisme atas nama agama.
Halimah dilahirkan pada 23 Ogos 1954. Ayahnya berketurunan India dan ibunya pula adalah Melayu.
Ayahnya meninggal dunia akibat serangan jantung ketika beliau berusia lapan tahun.
Ibunya, Maimun Abdullah membesarkan Halimah dan empat adik beradik lain dalam suasana kemiskinan selepas suaminya pergi buat selama-lamanya.
Tanggal 11 September 2015, Maimun meninggal dunia ketika menjengah usia 90 tahun.
Tarikh itu juga penduduk Singapura menunaikan tanggungjawab semasa Pilihan Raya Umum.
JUAL NASI PADANG
Semasa kecil, Halimah yang merupakan anak bongsu dalam keluarga pernah membantu ibunya menjual nasi padang di luar bangunan bekas Politeknik Singapura (kini Bangunan Bestway) di sepanjang Jalan Prince Edward.
Halimah membantu ibunya melakukan pelbagai tugas sejak kecil selepas waktu persekolahan dan ketika cuti.
Mereka sekeluarga pernah dihalau keluar dari rumah sewa dan terpaksa menumpang rumah saudara-mara terdekat.
Halimah merupakan murid yang duduk paling belakang, sentiasa tidur di dalam kelas dan tidak menyiapkan kerja sekolah.
Ini disebabkan beliau terpaksa bangun seawal pukul 5 pagi setiap hari untuk berniaga.
Ketika menolong ibunya, setiap hari beliau melihat pelajar Politeknik berulang alik ke kampus.
Ketika itu, terdetik di hati Halimah untuk belajar bersungguh-sungguh semasa menjual nasi padang.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Cina Singapura dan Sekolah Perempuan Tanjong Katong sebelum menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian 1978 di University of Singapore.
Wanita itu kemudian berjaya menerima biasiswa Majlis Agama Islam (MUIS) dan menyambung pengajian Sarjana Undang-Undang di Universiti Nasional Singapura (NUS), 2001.
Berkat kesungguhan menuntut ilmu tanpa mengenal erti penat lelah, beliau akhirnya dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Undang-Undang oleh NUS, 7 Julai 2016.
ALAM KERJAYA
Selepas menamatkan pengajian di menara gading, Halimah menyertai Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan.
Halimah ialah rakyat Singapura pertama dipilih menganggotai badan induk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Beliau juga adalah wanita Melayu pertama dipilih ke Parlimen selepas memenangi kerusi kawasan undi perwakilan berkumpulan (GRC) di Jurong, 2001 serta wanita pertama dilantik sebagai Speaker Parlimen 2013.
Halimah pernah berkhidmat di pelbagai lembaga termasuk Majlis Perumahan dan Pembangunan, Perikatan Tiga Pihak Amalan Pekerjaan Adil serta Kumpulan Kerja Tiga Pihak bagi Meningkatkan Pilihan Pekerjaan Wanita.
Wanita ini juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Hal Ehwal Sosial dan Pembangunan Keluarga.
Sosok wanita ini terkenal dengan kelantangan suaranya dalam memperjuangkan isu sosial daripada latihan bagi pekerja lebih tua dan kurang mahir, penjagaan warga emas serta pesakit mental.
Halimah menyokong peraturan kerja fleksibel serta cuti penjagaan keluarga bagi meningkatkan keseimbangan kehidupan golongan pekerja.
Beliau turut berjaya memperjuangkan faedah perubatan sama rata kepada penjawat awam wanita.
RENDAH DIRI
Halimah berkahwin dengan Mohammed Abdullah Alhabshee yang merupakan seorang usahawan berketurunan Arab, pada 1980.
Pasangan itu dikurniakan lima anak dan terpaksa menabung selama lapan bulan demi membeli set sofa pertama ketika baru berkahwin.
Halimah mendapat anugerah Achiever of The Year dari Berita Harian, 2001 dan Woman of the Year dari majalah Her World, 2004.
Pada 2017, beliau mengundurkan diri sebagai Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bagi menyertai pemilihan Presiden.
Selepas dilantik sebagai Presiden Singapura, Halimah langsung tidak menggunakan kelebihan dimiliki untuk menetap di kediaman rasmi, Istana Presiden Singapura di Jalan Orchard.
Halimah sebaliknya kekal merendah diri dan memilih tinggal di kediaman peribadi di kompleks apartmen di penempatan padat penduduk Yishan Avenue. – AGENSI










