Demi scone dan secawan teh tarik - Utusan Malaysia

Demi scone dan secawan teh tarik

Scone dan pastri sedap dinikmati bersama teh tarik. UTUSAN/HALINA MD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keinginan menikmati teh tarik dan scone mendorong saya segera ke Cameron Highlands melalui Tapah walaupun waktu bertolak sudah agak lewat petang, pada cuti perayaan baru-baru ini.

Dalam hati risau juga jika tidak sempat sampai kerana kafetaria di Cameron Valley Tea House terletak di Tanah Rata itu, biasanya tutup pada jam 6 petang, manakala kafe di Ladang Teh Sungai Palas juga biasanya tutup sekitar 4.30 petang.

Sekiranya tidak sempat, mungkin terpaksa bermalam di tanah tinggi itu walaupun hajat asal hanya ingin menghirup teh tarik dan makan scone sebelum pulang semula ke bandaraya.

Mujurlah cantik petang itu. Ia melancarkan perjalanan walaupun terpaksa menempuh jalan bengkang-bengkok dan selekoh tajam selama lebih sejam. Paling menyeksakan badan apabila keadaan sepanjang jalan, bertampal dan berlubang.

Pergerakan kereta perlahan kerana banyak kenderaan di hadapan terpaksa mengekori sebuah bas persiaran yang bergerak perlahan dan terhinjut-hinjut.

Namun sebaik memasuki jalan sempadan Pahang, jalan bertar cantik melancarkan perjalanan.

Hati gembira tidak terkata sebaik melihat dari jauh, lampu di kafetaria di Cameron Valley Tea House 2 masih menyala. Ini bermakna, kafetaria itu masih dibuka walaupun jarum jam sudah menunjukkan angka pukul 7 malam.

Menurut pekerja di kaunter jualan operasi kafetaria dilanjutkan sehingga pukul 7.30 malam pada musim cuti.

Kereta masih berderet di parkir di hadapan kafetaria. Mujur juga ada petak parkir yang kosong. Selalunya memang agak sukar untuk mencari tempat meletak kereta di sekitar kawasan itu dan ramai terpaksa mengambil risiko dengan meletak kenderaan mereka di tepi sepanjang jalan.

Tenang dan damai sebaik dapat menghirup secawan teh tarik panas yang secukup rasa manis berlemak dan set mengandungi dua ketul scone serta jem, mentega dan krim sambil menikmati pemandangan perbukitan kebun teh yang menghijau di depan mata.

Udara segar dan aroma teh tarik yang dibancuh menghilangkan lelah seketika sambil menjamu mata dengan pemandangan senja yang mula berlabuh.

Lokasi wajib singgah
Cameron Valley Tea House sememangnya menjadi lokasi wajib singgah setiap kali tiba di Tanah Rata dari arah Tapah.

Ia diusahakan oleh Bharat Plantations sejak 1933 dan terbahagi kepada dua rumah teh iaitu Cameron Valley Tea House 1 dan 2.

Kedua-duanya menghidangkan aneka perisa teh seperti cardamom, earl grey, lemon dan pudina serta aneka pastri seperti scone, pai, kek dan sebagainya untuk pengunjung dengan menawarkan pemandangan menghadap kebun teh.

Scone di sini agak tebal dan rapuh dan lebih enak jika dimakan ketika masih panas berbanding ketika sejuk, di mana ia mudah berderai apabila di potong.

Cukup mengenyangkan biarpun hanya makan seketul saja. Scone kosong lebih enak dimakan diselang seli dengan hirupan teh tarik hangat yang lemak manis rasanya. Sebaik menghirup teh, badan mula berpeluh dan terasa segar kembali.

Udara perbukitan yang dingin menarik perhatian pelancong untuk terus mengunjungi Cameron Highlands saban hujung minggu tidak kira musim cuti sekolah atau sebaliknya walaupun sepanjang jalan akan sesak dengan kenderaan pelancong yang tiba untuk bercuti di tanah tinggi itu.

Iklim unik tanah tinggi mencecah 16 sehingga 23 darjah selsius sepanjang Julai, membuatkan pengunjung seakan berada di negara bermusim dingin selain tarikan seperti strawberi, kebun teh dan scone gebu yang dihidangkan di situ. Sekiranya hujan, suhu akan bertambah sejuk dan berkabus.

Bagi penggila teh dan scone, boleh bangun awal pagi untuk bersarapan di Ladang Teh Boh Sungai Palas yang terletak hanya 25 minit dari Brinchang.

Simpang masuk sama untuk ke Mossy Forest. Jalan masuk ke lokasi ini juga agak sempit dan bengkang bengkok dengan cerun curam tetapi menawarkan pemandangan cukup indah khususnya di waktu pagi.

Dari atas jalan, pengunjung boleh melihat keindahan kebun teh yang memenuhi lembah dan bukit bukau di situ. Biasanya pengawal lalu lintas akan menjaga arah masuk dan keluar jalan bagi memastikan keselamatan pengunjung. Kalau bernasib baik, pengunjung boleh melihat pekerja ladang memetik daun teh.

Anda perlu mendaki anak-anak tangga menuju ke kafetaria. Sepanjang pendakian yang agak santai, anda boleh menikmati kehijauan pemandangan kebun teh atau bergambar di papan tanda gergasi Boh.

ENAK DAN GEBU
Ladang Teh Boh Sungai Palas menawarkan scone lebih enak kerana ia lebih gebu dan lembap walaupun dalam keadaan sejuk.

Ia lebih mahal iaitu RM9.25 sebiji berbanding di tempat lain tetapi lebih berkualiti.

Tidak begitu tebal tetapi cukup lembut apabila dipotong serta kurang berderai. Rasanya lebih lemak dan mengenyangkan walaupun hanya makan seketul saja.

Kalau dibawa pulang, lembutannya kekal biarpun selepas beberapa hari. Ia juga kekal enak walaupun di makan ketika sejuk.

Di sini anda juga boleh menerokai lebih mendalam mengenai cara memproses daun teh dengan melawat kilang atau menonton tayangan mengenai sejarah ladang ini di ruang tayangan yang disediakan.

Lebih menarik terdapat galeri mempamerkan peralatan lama yang digunakan untuk memproses daun teh sejak ladang itu dibuka pada tahun 1932 lagi.

Di sini anda boleh membeli aneka perisa teh dijual di galeri di sini seperti strawberi, rasberi, perisa passionfruit oren, the hijau jasmin dan pudina pada harga lebih menarik.

Selain di ladang-ladang teh ini, pengunjung boleh membeli scone dijual di pasar pagi di Brinchang pada harga lebih berpatutan dengan pelbagai perisa seperti strawberi, blackberi dan kranberi dalam satu bekas bersama jem, krim serta mentega. Ada juga yang dihasilkan oleh usahawan Melayu di Kampung Taman Sedia, Tanah Rata.

Apa yang lebih penting bagi kebanyakan penggemar scone selain kualiti, adalah suasana ditawarkan semasa menikmatinya.

Scone yang dimakan ketika masih panas tentu lebih menyelerakan berbanding scone yang dibawa pulang ke hotel atau penginapan dan rasanya tentu berbeza ketika sudah sejuk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×