Pemeriksaan berkala dan pengesanan awal kanser payu dara boleh menambah baik keputusan rawatan dan membantu kita menyelamatkan lebih banyak nyawa.
Di Malaysia, kanser payu dara merupakan kanser paling umum yang dialami wanita dan meliputi 34.1 peratus daripada semua kanser wanita.
Dengan kadar kematian 18.4 peratus ia menjadi punca kematian berkaitan kanser utama di kalangan wanita. Sekiranya kanser payu dara dikesan dan didiagnosis di peringkat awal, peluang kejayaan rawatan adalah lebih tinggi.
Kaedah konvensional
Mamogram dua dimensi (2D) menjadi teknik pemeriksaan kanser payu dara standard. Dalam kaedah konvensional ini, dua imej x-ray payu dara diambil, iaitu dari atas ke bawah dan sudut dari sisi ke sisi.
Walaupun digunakan secara meluas dan mempunyai nilai positif, teknik ini ada batasannya di mana penggunaan hanya dua imej boleh menyebabkan tisu payu dara bertindan, menyebabkan tisu abnormal tersembunyi daripada pandangan, manakala tisu normal yang bertindih kelihatan abnormal. Ia juga tidak begitu berkesan bagi wanita berumur 40 tahun ke bawah dan bagi mereka yang mempunyai tisu payu dara yang padat. Kaedah ini juga tidak begitu sensitif untuk mengesan tumor yang kurang daripada 1 milimeter (mm) saiznya.
Diagnosis lebih tepat
Mamografi 3D dikenali sebagai digital breast tomosythesis atau tomosintesis payu dara digital diperkenalkan sebagai satu lagi pilihan alat pemeriksaan. Teknik pengimejan serba maju ini menggunakan X-ray dos rendah dari sudut berbeza dalam lengkungan untuk mengambil satu siri gambar payu dara yang mampat bagi menghasilkan imej 3D. Ia membantu pakar klinikal menganalisis tisu payu dara dengan mudah, walaupun dengan tisu yang padat dan membantu mengesan sista, kalsifikasi dan gumpalan tidak normal. Ia berupaya menghasilkan keputusan klinikal yang tepat.
Revolusi penjagaan kanser
Regency Specialist Hospital baru-baru ini memperkenalkan peralatan teknologi Tomosynthesis Payu Dara Digital di hospitalnya. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Regency Specialist Hospital, Serena Yong, berkata teknologi berkenaan boleh melakukan imbasan tomosinteisis dengan resolusi kedalaman tertinggi, membolehkan pengasingan tisu payu dara yang lebih baik dan memberikan gambaran lebih jelas ke atas bahagian yang diperiksa.
Kecanggihan teknologi mengoptimumkan aliran kerja untuk memastikan seluruh proses pemeriksaan dan saringan payu dara jauh lebih mudah.










