‘Ramai harapkan saya bercinta dengan Depp’ - Utusan Malaysia

‘Ramai harapkan saya bercinta dengan Depp’

Camille Vasquez.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHABAR angin mengenai hubungan antara aktor Johnny Depp dan peguamnya, Camille Vasquez terus heboh diperkatakan pelbagai pihak, malah ada yang ‘mendoakan’ agar pasangan itu terus bersama sehingga berkahwin dan memiliki kehidupan yang bahagia.

Namun, bagi Vasquez sendiri, khabar angin itu disifatkan ‘amat mengecewakan’ kerana hubungannya dengan Depp tidak lebih daripada peguam dan anak guam.

Peguam wanita itu menegaskan, dia gembira dengan hubungan cintanya ketika ini dan tidak memerlukan khabar angin berkenaan untuk ‘menambah rencah’ dalam kehidupannya.

“Tugas saya adalah memastikan semua peguam saya yakin dan puas hati dengan perkhidmatan yang diberikan dan perkara itu sebenarnya tidak kisah sama ada melibatkan peguam wanita atau lelaki.

“Disebabkan saya wanita dan anak guam saya pelakon lelaki terkenal, mereka anggap kami akan menjalin hubungan cinta.

“Pada pandangan saya, perkara itu (khabar angin) amat stereotaip dan sebenarnya berbaur diskriminasi terhadap wanita,” katanya.

Vasquez menyatakan, dia sudah mengenal Depp selama lebih empat tahun dan kemenangan yang dimiliki oleh pelakon itu dalam perbicaraan yang berlangsung menggambarkan keupayaannya sebagai peguam.

Jelasnya, dia sentiasa menjaga setiap anak guamnya dan bagi menjayakan perkara itu, dia perlu menjalin hubungan rapat, namun tidak perlu untuk jatuh cinta dan jalin hubungan.

Disoal mengapa sering memberi pelukan kepada Depp setiap kali selepas sesi perbicaraan berakhir, Vasquez dengan tenang menjawab ‘adakah dengan memeluk, kita sudah boleh bercinta dan terpikat?’

Selain itu, Vasquez menyatakan, Depp ‘layak untuk terima semua usaha dan keselesaan yang ditawarnya’ sepanjang perbicaraan berlangsung kerana itulah mengapa pelakon itu mengupah khidmat peguam.

“Depp bertungkus-lumus untuk memastikan kehidupannya kembali pulih seperti sedia kala dan untuk itu, saya bersedia untuk lakukan apa sahaja asalkan perkara itu dapat dicapai.

“Hubungan rapat antara peguam dan anak guam adalah perkara biasa, cuma jangan kaitkan dengan hubungan cinta atau istimewa setiap kali melibatkan peguam wanita dan anak guamnya pula lelaki,” ujarnya.

SIAPA CAMILLE VASQUEZ
Dilahirkan pada 6 Julai 1984 di San Francisco, California, Vasquez merupakan kacukan Colombia dari belah bapanya dan Cuba dari ibunya.

Dia menamatkan pengajian di Universiti California Selatan pada 2006 dengan Ijazah Sarjana Kesenian dan Komunikasi dan Sains Politik sebelum menyambung pengajian di Sekolah Undang-Undang Southwestern pada 2010.

Bidang kerjayanya fokus kepada kes saman fitnah dan kini bekerja di firma Brown Rudnick.

Vasquez sebelum ini pernah membantu Depp menyelesaikan kes berkaitan dengan bekas peguam dan pengurusnya sebelum terlibat sekali lagi bersama aktor itu dalam urusan saman fitnah oleh Heard.

Peguam berusia 37 tahun itu juga pernah mewakili beberapa selebriti terkenal Hollywood termasuk aktor Ben Affleck, Leonardo Dicaprio dan Jennifer Lopez.

Vasquez mula menjadi tumpuan ramai termasuk media antarabangsa menerusi penglibatannya dalam kes saman fitnah antara Depp dan Amber Heard.

Kredibilitinya menyampaikan hujah dikagumi banyak pihak kerana semuanya disifatkan ‘jujur dan menyeluruh’, sekali gus menjadi faktor utama kepada kemenangan Depp.

Menerusi kejayaan itu, Vasquez yang sebelum ini hanya menjadi peguam bersama di firma tempatnya bekerja, kini ditawarkan kenaikan pangkat sebagai rakan kongsi.

DISERANG AMBER HEARD
Susulan kekalahannya dalam perbicaraan yang berlangsung sebelum ini, Heard ternyata kecewa dan menyifatkan keputusan juri dan mahkamah adalah berat sebelah.

Malah aktres itu menuduh kemenangan Depp disebabkan oleh ‘lakonan hebat bekas suaminya di hadapan semua pihak’.

Heard menerusi satu wawancara bersama NBC juga menyifatkan Vasquez mempunyai keupayaan untuk mengelirukan juri dan hakim dalam kes perbicaraan mereka.

“Peguam Depp berjaya mengelirukan juri daripada isu yang sebenarnya,” katanya sambil merujuk kepada Vasquez.

Dalam pada itu, Vasquez enggan memberi komen berhubung kenyataan yang dikeluarkan Heard itu.

TERUS BANTU DEPP
Vasquez dijangka terus bekerjasama dengan Depp dalam beberapa kes terdahulu kerana kedua-duanya mempunyai ‘keserasian yang hebat’.

Antara kes tersebut adalah melibatkan bekas pengurus Greg Brooks yang bekerjasama dengan Depp di set penggambaran filem City of Lies pada 2017.

Brooks mendakwa Depp menyerangnya ketika di set penggambaran dan dipecat kerana menyaman aktor tersebut.

Sehubungan itu, Vasquez akan membantu Depp berdepan dengan dakwaan tersebut dan banyak pihak menjangkakan aktor berkenaan bakal memenangi kes itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×