PETALING JAYA: Selepas kekurangan stok ayam yang dikaitkan dengan manipulasi kartel, kini Malaysia berdepan krisis bekalan ikan apabila jumlah simpanan sumber protein itu didakwa cuma tinggal 322 tan metrik berbanding keperluan harian 4,000 tan metrik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, berdasarkan rekod kadar stok sedia ada kini sekitar lapan peratus atau 322 tan metrik sahaja berbanding 4,000 tan metrik sehari.

Menurut beliau, setiap bulan rakyat Malaysia memerlukan 120,000 tan metrik ikan bagi memastikan harga ikan di pasaran stabil dan tidak menimbulkan rungutan.
“Namun untuk mencapai stok sepadan dengan keperluan rakyat susah apabila timbul masalah birokrasi.
“Sistem penghantaran kerajaan di bawah LKIM gagal, kerana ada dalam kalangan mereka tidak melaksanakan dasar dan operasi dengan segera selain bertangguh-tangguh.
“Contohnya, saya sebut pasal isu stok ikan ini sejak 1 Mei 2020, malangnya setelah dua tahun belum dilaksanakan,” kata beliau ketika ditemui semalam.
Kekurangan stok
Beliau memberitahu, antara ikan yang mengalami kekurangan stok paling teruk ialah ikan pelaling, aya kurik, kembung dan selar kuning.
Syed Abu Hussin berkata, jika masalah birokrasi tersebut tidak diatasi, Malaysia akan terus kekurangan stok ikan sedangkan kerajaan menyediakan peruntukan setiap tahun untuk memastikan bekalan ikan mencukupi.
“Peruntukan menerusi Rangsangan Ekonomi (PRE) yang dimulakan sejak 2020 sebanyak RM45 juta yang patut diselesaikan dalam tempoh dua tahun, masih berbaki dan tidak dioptimumkan penggunaannya.
“Selain itu, rancangan untuk menyediakan lima bilik sejuk beku besar dan mampu memuatkan 2,000 tan metrik ikan pada satu-satu masa di Kuantan, Kuala Kedah, Lumut dan Sandakan tidak dilakukan kecuali baru satu disediakan di Besut, Terengganu,” katanya.
Kata beliau, LKIM sendiri memiliki sebuah kilang sejuk beku di Besut dan sebuah lagi milik Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) di Kedah malangnya kedua-dua kilang tersebut tidak dioperasikan secara optimum.
“Mereka kata saya buka pekung di dada. Tapi saya bertanggungjawab kepada rakyat berjumlah lebih 30 juta. Saya tak mahu rakyat salahkan kerajaan dan pemimpin politik serta menteri-menteri, padahal ini adalah karenah birokrasi segelintir penjawat awam LKIM,” katanya.
Jelas beliau, pegawai tersebut sentiasa memberi maklumat salah kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bahawa stok ikan tiada masalah semata-mata mahu menunjukkan mereka buat kerja.
“Bila kerajaan minta jumlah stok, mereka beritahu ada 5,000 tan metrik. Padahal dalam simpanan LKIM dan persatuan itu sendiri cuma 322 tan metrik (rekod 3 Jun). Yang selebihnya stok ikan milik swasta untuk mereka berniaga,” katanya.
Tindakan segera
Justeru, beliau meminta Ketua Setiausaha Negara MAFI mengambil tindakan segera untuk mengubah sikap negatif pegawai-pegawai yang culas dengan amanah menenakan tindakan sesuai terhadap mereka.
“Mereka sangka, ahli politik datang dan pergi, maka mereka melengahkan keputusan sehingga tempoh pengerusi tamat. Maka, keadaan ini kekal berulang sehingga semua keputusan tidak berjalan.
Sementara itu, Pengerusi NEKMAT, Abdul Hamid Bahari berkata, dua faktor mendorong pihaknya sukar menyimpan stok ikan dalam kuantiti besar.
Menurut beliau, faktor pertama berpunca daripada kos untuk menyimpan stok ikan yang terlalu tinggi.
“Stok ini, hanya dibuat ketika musim lambakan ikan. Tapi bila ikan mahal, kita tak boleh buat stok.
Sebabnya, kadang-kadang kita ditawarkan harga RM10 sekilogram misalnya untuk sekilogram ikan. Kos sebenarnya, untuk buat stockpiling memang tak boleh buat untung. Kita mahu buat stockpile, ambil kira kos ikan, kos elektrik, itu semua bebanan bagi kita untuk simpan stok,” katanya.
Selain itu, kata Abdul Hamid berkata, faktor kedua berpunca tiada subsidi bagi menangani kos diesel yang mahal ditanggung nelayan laut dalam.
“Bot C2 laut dalam tiada subsidi. Kita kena ada 10,000 liter diesel untuk beroperasi di lautan selama dua minggu. Satu liter diesel untuk bot C2 sekarang kosnya RM4.50, bermaksud nelayan laut dalam harus mempunyai modal sekurang-kurangnya RM45,000, itu tak termasuk kos lain seperti gaji awak-awak, kos baik pulih dan kos pukat tunda,” katanya. – UTUSAN










