BELIAU seorang yang amat mengerti zeitgeist atau tuntutan zamannya ketika negara baru mencapai kemerdekaan. Orang Melayu tertinggal berbanding kaum lain dari sudut ekonomi dan pendidikan. Keadaan ini menyebabkan peluang mengisi tuntutan bidang profesional amat terbatas dan kecil.
Maka keberadaannya memimpin sebuah institusi pendidikan adalah tepat pada masanya. Beliau menganjak kedudukan pelajar Melayu sekali gus menyediakan kemahiran yang diperlukan oleh negara. Penekanan pada akademik dan kemahiran itu adalah ‘langkah kanan’ dalam melahirkan profesional Melayu.
Demikianlah iltizam luar biasa Pengarah Institut Teknologi Mara (ITM) pertama, Tun Arshad Ayub yang mencatatkan nama sebagai tokoh berjasa dalam pendidikan dan pentadbiran awam di negara ini. Jasanya dikenang pada semua zaman, eksperimennya memberi hasil yang luar biasa.
Arshad menghembus nafas terakhir, Selasa lalu pada usia 93 tahun. Bagaimanapun, terus dikenang sebagai arkitek pendidikan yang penting di negara ini. Allahyarham meninggalkan teladan dan cara berfikir di luar bingkai dalam berdepan tuntutan zaman yang sentiasa berubah.
Arshad bukan lahir daripada keluarga bangsawan atau elit Melayu. Allahyarham adalah anak sulung dalam keluarga susah dan usia mudanya sudah diuji dengan tanggungjawab berat selepas ayahnya meninggal dunia.
Bagaimanapun, keperitan dan susah payah kehidupan awal itu sangat mengilhamkan Allahyarham untuk melakar perubahan. Keadaan hidup yang sangat mencabar itu tidak pernah menewaskan, jauh sekali menjatuh dan menenggelamkan.
Sudut pandangannya melangkau zaman. Ketika bidang profesional menjadi suatu yang asing bagi orang Melayu, Allahyarham sudah membajai tunas-tunas muda sebagai persiapan memenuhi keperluan zaman di bidang profesional.
Disebabkan sangat mengerti akan tuntutan zamannya, Allahyarham tidak mudah tewas pada halangan dan cabaran memajukan pelajar-pelajar Melayu. Malah menjadi kuat dengan disiplin yang tinggi dan matlamat yang jelas.
Tanpa memahami tuntutan zaman, perubahan besar dalam sistem pendidikan sukar dilakukan. Allahyarham amat percaya hanya sistem pendidikan yang betul membolehkan orang Melayu berada pada kedudukan penting untuk mengisi tuntutan negara.
Iltizam yang tinggi pada zamannya menjadikan Allahyarham tokoh penting yang menyalakan perubahan terhadap sikap, sistem pendidikan dan memberi ilham kepada anak muda Melayu. Sebahagian besar penyertaan orang Melayu dalam bidang profesional pada dekad 1980-an adalah hasil daripada sistemnya.

RUSUHAN
Allahyarham yang dilahirkan pada 15 November 1928 menerajui ITM pada 1967 hingga 1975. Walaupun sudah lama meninggalkan kerusi Pengarah, tetapi hubungan dengan institusi pendidikan itu tidak pernah berjarak. Hingga akhir hayatnya, Allahyarham terus berbakti di atas kapasiti sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Selain Pengarah ITM, Allahyarham juga pernah dilantik Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) ketika Tun Ismail Mohd. Ali menjadi Gabenor. Bagaimanapun, pertukaran Arshad dari ITM ke BNM dibantah keras oleh persatuan pelajar dan berlaku rusuhan. ITM amat memerlukannya.
Allahyarham mendapat didikan awal di Sekolah Melayu Parit Keruma, Muar, kemudian ke sekolah Inggeris, Muar High School. Melanjutkan pengajian di Universiti Malaya Singapura (1949-1951), Kolej Pertanian Serdang (1951-1954) dan University College of Wales di United Kingdom (1954-1959).
Mengubah dan mencipta rupa wajah pemikiran anak bangsa tidak semudah ombak menukar bentuk muka pantai. Pendekatan dan pandangan yang melangkau zaman amat diperlukan untuk menzahirkan perubahan dan Allahyarham berhasil membuktikan itu menjadi kenyataan.
Hasilnya pada dekad 1980-an, sebahagian besar pengurusan kanan syarikat-syarikat di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) adalah mereka yang pernah diasuh oleh sistem yang diasas Allahyarham. Jenama ITM kemudian UiTM melonjak di pasaran kerja terutama di bidang profesional.
Sebenarnya tidak dapat dibayangkan sekiranya bukan Allahyarham yang diberi tanggungjawab untuk memimpin ITM pada dekad mencabar itu. Bagaimanapun, kepimpinan politik melihat potensi Allahyarham untuk memikul tugas melampaui kedudukan sebagai Pengarah ITM.
Dalam pengenalan buku, Arshad Ayub: Menanam Pokok Tempat Berteduh (terbitan Universiti Malaya 2018), bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Tan Sri Johan Jaaffar menulis: “Ada yang mengatakan Arshad Ayub adalah anugerah Tuhan kepada bangsanya. Bayangkan ITM tanpa beliau semasa zaman kritikal pada awal penubuhan itu. Arshad bukan sahaja pengarah, tetapi bapa kepada semua pelajar.”
Tambah Johan, “Walaupun orang Melayu majoriti, tetapi mereka kurang kemahiran. Pelajar Melayu gembira mengejar pencapaian akademik. Bagaimanapun, kerajaan menyedari hakikat bahawa tanpa kemahiran profesional, orang Melayu akan ketinggalan dalam landskap ekonomi yang sentiasa berubah.”
Buku Arshad Ayub: Menanam Pokok Tempat Berteduh yang dilancarkan dua tahun lalu memuatkan tulisan ahli akademik, profesional dan bekas-bekas pelajar UiTM yang berjaya dalam bidang masing-masing. Buku ini disunting oleh Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob, Profesor Emeritus Dr. Abu Bakar Hamid dan Profesor Dr. Azizah Hamzah.-UTUSAN
PENULIS ialah Editor Kuseman.com.











