Kembang Semangkuk Jantung, Sepetir Daun Nipis, Meranti Kepong, Meranti Bunga, Kempas, Mengkulang Jari, Bintangor Laut, Kapur, Cengal dan Merawan Siput Jantan antara 200 pokok yang hutan bernilai tinggi yang ditanam oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sempena Program Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 Negeri Sembilan.
Dua belas spesies pokok hutan ditempatkan di Tapak Arboretum USIM itu merupakan sumbangan daripada Jabatan Perhutanan Negeri, Negeri Sembilan (JPNNS) dan menjadi simbolik sokongan universiti terhadap usaha mengerakkkan Penghijauan Malaysia yang diterajui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohamed Ridza Wahiddin berkata, progam berkenaan selari dengan intipati digariskan dalam Dasar Perhutanan Negara untuk mengekalkan jumlah kawasan berhutan yang mencukupi untuk kepentingan sosial, ekonomi dan alam sekitar.
“USIM komited menjadi kampus lestari dengan melancarkan Blueprint Kelestarian USIM pada 19 November tahun lepas. Program ini dirangka di bawah Polisi Biodiversiti dan Landskap melalui inisiatif Green Lung dengan permulaan Kempen 1 Warga 1 Pokok.
“Ia diharap dapat memangkin sebuah Arboretum dalam kampus bagi menyokong penyelidikan dalam bidang botani, kepelbagaian biodiversiti dan penyelidikan lain yang berkaitan dengannya.
“Koleksi pokok hutan ini akan dipelihara untuk tujuan penyelidikan, pemuliharaan germplasma dan pendidikan. Selain itu, penanaman pokok-pokok ini akan membantu memulihara sistem ekologi dan kepelbagaian biologi yang stabil dan dapat menyediakan habitat kepada kehidupan liar kecil,” katanya.
Beliau berharap program itu dapat memupuk kesedaran dalam kalangan warga kampus khususnya dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar selain mempromosikan budaya pendidikan dan penyelidikan tumbuhan tempatan yang bernilai tinggi.









