Rumah terbuka: Pengendalian betul dan bersih elak keracunan makanan - Utusan Malaysia

Rumah terbuka: Pengendalian betul dan bersih elak keracunan makanan

Dr. Muhammad Redzwan S. Rashid Ali menjelaskan keracunan makanan boleh dielakkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

1 Syawal lalu Aminah dimasukkan ke hospital dek kerana keracunan makanan. Hujung minggu ini, dirinya diundang rakan karib ke rumah terbuka. Serik rasanya ‘makan-makan’ di Aidilfitri.

Pengalaman dilalui Aminah itu sebetulnya boleh dielakkan sekiranya menu disediakan tuan rumah dikendalikan dengan persekitaran bersih. Bukan sewaktu memasak sahaja perlu bersih, sebaliknya sejak dari membeli bahan basah dan mentah di pasar lagi, ia perlu dikendalikan dengan betul bagi mengelakkan pencemaran silang daripada berlaku.

Menurut Pakar Perubatan Dalaman dan Perubatan Pernafasan Hospital Pakar KPJ Johor, Dr. Muhammad Redzwan S. Rashid Ali, keracunan makanan ialah apa jua penyakit berpunca daripada pengambilan makanan atau minuman yang sudah tercemar.

Katanya, keracunan biasanya terjadi akibat makanan yang diambil tercemar dengan bakteria, virus, bahan kimia dan organisma-organisma lain.

“Salah satu punca keracunan makanan yang tidak disedari orang ramai khususnya wanita yang menyediakan makanan pada musim perayaan ialah pencemaran silang.

“Pencemaran silang ialah makanan yang telah dimasak dicemari bakteria daripada makanan mentah, peralatan yang kotor atau pengendali makanan yang tidak mengamalkan kebersihan diri,” katanya kepada Seri.

Risiko kesihatan akibat pencemaran silang sangat berbahaya ketika memakan makanan mentah.

“Sungguhpun tangan dibersihkan dengan cara yang betul dan sempurna, daging mentah, ayam, makanan laut, telur masih boleh menyebarkan bakteria penyebab penyakit kepada makanan yang siap untuk dimakan melainkan ia disimpan di tempat yang berasingan,” katanya.

GEJALA KERACUNAN MAKANAN

Keracunan menyebabkan individu mengalami gejala cirit-birit, muntah dan sakit perut. Dalam kes serius, ia boleh mengakibatkan kematian jika tidak mendapat rawatan awal. Malah dalam situasi lebih teruk, ia boleh mengakibatkan kecacatan seperti lumpuh atau sakit sendi berpanjangan.

Kesan daripada muntah dan cirit birit turut boleh menyebabkan komplikasi kehilangan cecair badan yang ketara hingga menyebabkan dehidrasi atau kekurangan air dalam badan.

“Ini seterusnya akan menurunkan tekanan darah (tekanan darah rendah), kegagalan buah pinggang dan lain-lain lagi. Antara kesan lain kepada badan adalah kehilangan garam kalium yang terlalu banyak dari tubuh mengakibatkan kekejangan otot termasuk jantung, sawan dan juga koma,” katanya.

Papan pemotong & piring berasingan
Antara kaedah mengelakkan pencemaran silang ialah menggunakan papan pemotong dan piring berasingan bagi bahan mentah dan bahan lain.

Guna papan pemotong khusus untuk bahan mentah seperti sayur atau buah dan papan pemotong berlainan untuk daging mentah, ayam dan makanan laut.

Pinggan dan perkakas untuk makanan yang dimasak dan mentah juga perlu diasingkan.

Meletakkan sajian siap dimasak pada permukaan sama dengan bahan mentah boleh menyebarkan bakteria dan mendatangkan penyakit.

“Kalau papan pemotong dan pinggan terhad, pastikan ia dibersihkan dengan betul sebelum menggunakan kembali papan pemotong atau pinggan yang digunakan untuk daging mentah, ayam, makanan laut dan telur tadi,” katanya sambil menegaskan penggunaan papan pemotong yang calar-balar, berisiko dicemari bahan tercemar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN