PKR uji ‘pengaruh’ debat, pemilihan - Utusan Malaysia

PKR uji ‘pengaruh’ debat, pemilihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebalik  debat kalangan pemimpin kanan PKR yang menggamit perhatian sehari dua ini,  pemilihan parti itu minggu depan juga tidak kurang mencuri tumpuan.

Kaedah pemilihan dengan muka-muka baharu yang ditampilkan, wajar diberi perhatian  oleh pesaing politik mereka, meskipun PKR kalah teruk dalam empat pilihan raya negeri sejak September 2020.

Dengan andaian `waktu ini’ tarikh pilihan raya umum ke-15 berkemungkinan besar akan dicukupkan tempoh satu penggal sehingga mandat berakhir 16 Julai 2023, persiapan rapi PKR mendepani gelanggang `hidup atau mati’ gabungan pembangkang itu tidak harus dipandang enteng. Ini khususnya merujuk kepada Pakatan Harapan (PH) diketuai PKR.

Parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu kini dilihat cuba melakukan eksperimen dari peringkat bawah atau akar umbi untuk “menilai bedah siasat calon PRU yang berkelayakan” dalam tempoh genting  lebih kurang setahun sahaja lagi ini.

 

 

GIANT KILLER

Dan seperti mana perebutan ketua-ketua cabang PKR yang lain, saingan di cabang Hulu Selangor tidak kurang rancaknya. Suatu yang agak menarik adalah markas operasi parti salah seorang pesaing jawatan ketua cabang  itu di Serendah, Dr. Sathia Prakash sudah dijenguk penuh minat oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Ini kali kedua lawatan saya ke sini, yang paling saya terkesan ialah melihat bagaimana  war roomnya operasi. Daripada 22,000 ahli PKR di Hulu Selangor, dia telah proses kesemuanya, berinteraksi dengan mereka menerusi SMS dan WhatsApp. Jika saya lepasi pemilihan ini (pemilihan jawatan timbalan presiden), saya mahu parti angkat model ini ke peringkat jentera pusat,” kata Saifuddin.

Tidak sahaja Saifuddin, bahkan Anwar serta Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Iskandar Md. Akin dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid pun turut beberapa kali hadir dalam program khidmat bakti beliau kepada masyarakat.

Selaku pengasas  rangkaian klinik Kumpulan SP Care, barangkali tiada masalah Dr. Sathia dikenali ramai. Dan inilah mungkin yang menjadi perkiraan PKR dalam meninjau  senarai mereka yang “layak”  menggalas cabaran mereka di mata pengundi kelak.

Dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini, anak posmen itu menyifatkan politik di Malaysia memerlukan anjakan baharu dalam tempoh lima tahun akan datang ini.

“Ramai melihat politik  satu profesion (pekerjaan) sedangkan sebenarnya ia untuk memberi perkhidmatan.

“Orang mahu masuk politik tapi apabila ditanya apa profesion anda, mereka jawab saya berkhidmat untuk parti selama bertahun-tahun ini. Tapi itu bukan profesion, kerja atau karier, bukan begitu,” kata Dr. Sathia, 44.

Di peringkat cabang Hulu Selangor, beliau  dijangka menempuh laluan sukar. Yang akan ditentangnya ialah penyandang cabang berkenaan yang juga ahli parlimen kawasan itu, June Leow Hsiad Hui, 57, selain seorang lagi calon. June Leow telah bersama PKR sejak tahun 2008 manakala Sathia masih baru setahun dua ini. Pertama kali dicalonkan dalam PRU14, June Leow meraih 40,783 undi ketika menentang P. Kamalanathan daripada Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 27,392 undi. Majoriti undi dimenangi PKR sebanyak 13,391.

Sama ada Dr. Sathia akan menjadi giant killer, eksperimen PKR ini dipercayai  ini akan menjadi salah satu kaedah  PH  untuk menyenarai pendek calon-calon PRU mereka.

KECUT PERUT

Seperkara lagi yang lebih besar impak positifnya, pemilihan PKR termasuk ketua cabang akan dijalankan secara dalam talian (online) dan  fizikal  iaitu 18,19 dan 20 Mei secara online manakala 21 Mei secara fizikal. Ia kali pertama dilaksanakan oleh parti politik di negara ini. Ini sekali gus memudahkan mereka untuk membuang undi dari mana sahaja tanpa perlu hadir ke cabang keanggotaan masing-masing.

PKR, yang kini memiliki 36 kerusi Parlimen mempunyai 1,004,629 ahli setakat Ogos 2020. Hanya ahli yang berdaftar sebelum 21 April lalu  layak mengundi untuk memilih pimpinan mereka. Di Hulu Selangor sahaja  kira-kira 2,000 ahli baharu PKR berjaya didaftarkan Januari lalu daripada keseluruhan 22,201 ahli.

Antara manfaat besar pengundian secara hibrid menerusi aplikasi ADIL menggabungkan undi online dan fizikal itu adalah berupaya mengesahkan ketulenan ahli PKR, sekali gus pengundi sebenar mereka. Ini berbanding parti yang memiliki berjuta-juta ahli, tetapi gagal memenangkan parti dalam PRU lepas.

Adakah Debat  Saifuddin-Rafizi Ramli melalui program 90 minit dengan tajuk “Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar”  lusa ini, disusuli esoknya Khamis debat Najib Razak-Anwar Ibrahim, sebelum diikuti seterusnya pemilihan PKR, akan menjadi titik tolak awal PKR menaikkan kembali pengaruhnya yang makin merudum?

Siapa pun berhak mengatakan demikian, namun yang pasti bukan sahaja PKR, waima parti-parti lain saingan BN  dipercayai sedang `kecut perut’ andai kata PRU15 berlaku dalam tempoh terdekat, paling lewat pun sebelum September ini.  Berlakukah?-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN