Keunikan tenun ikut warisan budaya setempat - Utusan Malaysia

Keunikan tenun ikut warisan budaya setempat

Minggu Fesyen Tenun memperlihatkan kreativiti pereka dalam menampilkan buah tangan daripada kain tenun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ASIA TENGGARA mempunyai tradisi tekstil tenunan tangan dengan pelbagai imej yang luar biasa.

Minggu Fesyen Tenun memperlihatkan tenun meneroka penggunaannya dalam fesyen hari ini.

Kerja tenunan kain tangan ini asalnya daripada fabrik indah yang dihasilkan untuk istana diraja kepada kain terang yang ditenun oleh masyarakat di kawasan terpencil di tanah tinggi dan pulau-pulau.

Kepelbagaian tenunan fabrik ini menyoroti asal-usul atau warisan budaya setempat.

RUMAH GARE
Komuniti rumah panjang Iban di wilayah Ulu Kapit, Sarawak ini menghasilkan fabrik pua kumbu dalam ikat meleding menggunakan alat tenun belakang. Mereka berasal daripada banyak generasi penenun pua kumbu.

Hari ini, mereka terus mempraktikkan adat kuno dalam penghasilan fabrik mereka, termasuk ritual Ngar untuk membasahi benang mereka dan hanya menggunakan pewarna semula jadi daripada tumbuhan yang terdapat di sekitar rumah panjang mereka.

Beberapa penenun yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan memenangi anugerah tinggal dalam komuniti ini. Rumah Gare bekerjasama dengan pereka, Edric Ong untuk koleksi-koleksi mereka.

TANOTI
Menghasilkan kedua-dua tekstil tradisional dan kontemporari dengan mengaplikasikan songket Melayu atau teknik tenunan tambahan. Di Tanoti House, banyak percubaan dan inovasi berlaku. Antaranya abaya atau jubah yang ditenun cantik pada bahagian leher dan depan.

KAMPUNG PULAU KELADI
Koleksi songket ini adalah hasil tenunan tangan Adiguru Kraf Tenun Pahang Diraja, Nortipah Abdul Kadir, dan anak perempuannya serta sebahagian daripada komuniti penenun yang terletak di Kampung Pulau Keladi di Pahang.

Masyarakat berusaha untuk mengekalkan warisan tenunan kain tenunan mereka yang diwarisi oleh nenek moyang mereka. Tenun Pahang Diraja iaitu mempunyai kaki kain, sepit undang, tali air, badan kain dan kepala kain.

MEMORYIE CRAFT ENTERPRISE
Memoryie Craft ialah kumpulan empat penenun yang berpangkalan di Keningau, Sabah. Mereka mempamerkan tenunan daripada etnik Rungus serta songket dastar yang juga dikenali sebagai irranun.

Tekstil Rungus ditenun pada alat tenun tali belakang dan mencerminkan kepercayaan tradisional masyarakat.
Contohnya, hitam adalah warna yang digemari kerana dipercayai sebagai simbol kuasa atau warna ketuhanan yang boleh melindungi pemakainya daripada makhluk jahat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN