KUALA LUMPUR: Penyanyi rap, Altimet mengakui terkejut dengan jumlah undian yang diperolehnya bagi perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Bahagian Ampang yang diumumkan semalam.
Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad yang memperoleh 589 undi keseluruhannya menerima keputusan tersebut sebagai satu perkara positif yang perlu diraikan.
“Ini bukan satu kekalahan. Malah keputusan tersebut merupakan perkara yang mengejutkan.
“Saya adalah individu yang tercalon pada saat-saat akhir. Persediaan untuk berkempen juga agak terhad.
“Jadi saya memang tidak menyangka akan menerima undian sebanyak itu. Apa pun, semua telah ditentukan dan saya hormati keputusan hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berdasarkan laman sesawang pemilihankeadilan2022.com, Altimet berada pada kedudukan ketiga di belakang seorang lagi rakan selebriti, Datuk Hans Isaac yang menerima jumlah undian keseluruhan sebanyak 609.
Sementara itu Daing Muhammad Reduan Bachok menerima undian tertinggi iaitu sebanyak 942 sekaligus diangkat sebagai Ketua Cabang PKR Ampang yang baharu.
Selain itu, Altimet juga menyifatkan keputusan tersebut sebagai satu anjakan paradigma kepada sistem demokrasi negara.
Katanya, sokongan yang diberi kepadanya dan Hans menunjukkan penggiat seni juga mampu meraih kepercayaan akar umbi dan rakyat secara amnya dalam bersama-sama menentukan hala tuju parti.
“Ini adalah satu kematangan. Saya menyaksikan perubahan, di mana akar umbi juga mengalu-alukan sesiapa sahaja, tidak kira bidang, bangsa dan agama untuk bersama dalam perjuangan PKR.
“Selebriti juga rakyat. Keputusan hari ini adalah satu kematangan. Bagi negara demokrasi, ini adalah lumrah. Inilah perjuangan parti yang kita nak sampaikan,” ujarnya. – UTUSAN










