Kebiasaannya, banyak menu disediakan bagi menyambut hari raya. Ketupat, rendang, lontong, lemang dan kuih-muih bermacam citarasa. Walaubagaimanapun, kita perlu pandai memilih makanan dan hendaklah selalu mempratikkan pemakanan sihat ketika menyambut perayaan.
Pemakanan tidak dikawal menjadi punca risiko penyakit kronik selain meningkatkan berat badan secara mendadak. Oleh itu, penjagaan berat badan ideal, harus diambil berat semasa hari raya.
Pemakanan sihat menolong kita menikmati juadah makanan semasa hari raya tanpa menjejaskan kesihatan.
1) Makan dalam kuantiti yang sedikit atau mengikut saiz hidangan.
2) Pilih sajian rendah kalori seperti buah-buahan dan makanan kurang minyak, lemak atau santan.
3) Pilih makanan berserat bagi mengelakkan sembelit.
4) Hadkan mengambil makanan berlemak dan manis seperti dodol.
5) Ambil buah-buahan segar sebagai pemanis mulut atau snek.
6) Hadkan makan makanan tinggi kandungan garam seperti kerepek.
7) Minum air kosong, bukannya minuman manis atau minuman berkarbonat.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Tidaklah seorang anak Adam mengisi bekas yang lebih buruk dari perutnya. Sebenarnya beberapa suap sahaja sudah cukup untuk menegakkan tulang rusuknya. Jika terpaksa dia harus mengisinya, maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga lagi untuk bernafas. (Hadis diriwayat oleh At-Tarmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad).
Bagi penghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan beberapa penyakit kronik yang lain, mereka hendaklah berhati-hati dalam memilih makanan pada musim perayaan.
Contohnya pesakit kencing manis dan darah tinggi masing-masing perlu mengehadkan pengambilan makanan berlemak, bergula dan tinggi kandungan garam.
TUAN RUMAH HARUS PEKA
Corak makanan yang boleh dihidangkan oleh tuan rumah agar pada masa sama turut menyumbang kepada penjagaan kesihatan tetamu semasa hari raya adalah:
1) Menyediakan air kosong ketika waktu makan.
2) Menyediakan makanan dengan saiz hidangan yang kecil.
3) Mengasingkan gula ketika menghidang teh atau kopi.
4) Menghidangkan buah-buahan ketika waktu makan sebagai pencuci mulut. 5) Menghidangkan sayur-sayuran bersama hidangan utama seperti salad.
6) Mengelakkan hidangan asam, jeruk dan gula-gula kepada tetamu.
7) Menyediakan makanan yang lebih sihat. Contohnya sup berbanding kuah lemak.
Cadangan pengambilan kalori yang bersesuaian bagi beberapa peringkat umur lelaki dan wanita bagi orang dewasa berumur 18 – 59 tahun yang mengamalkan cara hidup sedentari adalah merujuk kepada Panduan Diet Malaysia, 2010 seperti berikut:-
a) Lelaki: 2000 kkal/ hari
b) Wanita: 1500 kkal/ hari
—-
Prof. Madya Dr Ahmad Faizal Abdull Razis dari Fakulti Sains Dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia.










