LANGKAWI: Kadar gaji yang rendah dipercayai menjadi punca kebanyakan hotel di pulau peranginan ini menghadapi masalah kekurangan pekerja.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir, kebanyakan hotel terbabit didapati menawarkan kerja berstatus kontrak dan bukannya jawatan tetap menyebabkan gaji pekerja rendah.
“Dengan gaji RM1,200 sebulan tanpa sebarang elaun kerja lebih masa atau elaun lain, para pekerja tidak lagi menjadikan kerja di hotel sebagai pilihan utama.
“Ditambah pula mereka yang telah menceburkan diri dalam bidang berbeza semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan memperoleh pendapatan lebih baik, menjadikan pekerja tidak lagi berminat untuk bekerja semula di hotel,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Selain itu, Zainudin menyatakan, pengeluaran khas RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga digunakan oleh sebilangan bekas pekerja hotel sebagai modal perniagaan tanpa perlu kembali bekerja di hotel.
Jelasnya, bekas pekerja hotel ini sudah selesa berada dalam bidang baharu yang memberikan pendapatan yang sama atau lebih baik sehingga mereka tidak mahu kembali ke hotel.
Tambahnya, pihaknya mendapati pihak hotel cuba memancing pelajar dalam latihan industri untuk bekerja di hotel bagi menampung kekurangan pekerja.
“Apabila hotel mengambil pekerja daripada kalangan pelajar praktikal, servis hotel menjadi kurang memuaskan apabila tidak mencapai standard yang kita mahukan,” ujarnya. – UTUSAN










