Duit raya: Latih anak untuk menguruskan wang - Utusan Malaysia

Duit raya: Latih anak untuk menguruskan wang

Aida Hashim memberitahu umur dua tahun sudah boleh ajar kanak-kanak menyimpan duit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USAI Aidilfitri selalunya kanak-kanak adalah insan paling gembira disebabkan kutipan duit raya yang bukan sedikit. Sudah menjadi lumrah anak zaman ini mendapat duit raya mencecah ratusan ringgit, malah ada kalanya mencecah ribuan ringgit.

Pemberian duit raya boleh dianggap sedekah, iaitu ibadat yang besar pahalanya dan mampu mengeratkan silaturahim. Selain itu, pemberian duit raya dilihat sebagai amalan yang membuka pintu rezeki.

Bagi ibu bapa, inilah masa terbaik melatih anak dengan amalan kewangan bijaksana. Bak kata pepatah melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

Banyak tips boleh diajar kepada anak. Antaranya, sediakan tiga tabung berbeza tujuannya seperti simpan, sedekah dan belanja.

Menurut Pegawai Psikologi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Aida Hashim, sebaik-baiknya ibu bapa latih anak seawal dua tahun untuk menyimpan duit.

“Ibu bapa boleh membelikan tabung khas dan sama-sama masukkan duit setiap hari dalam tabung itu walaupun hanya syiling 20 sen.

“Kedua, latih anak bahawa nilai duit itu berharga. Kita perlu memberitahu mereka, berbelanja hanya jika perlu. Saya sendiri mula melatih anak menabung seawal tiga tahun,” katanya kepada Seri.

Tambah Aida, dia melatih anak-anak belajar mencari duit sendiri contohnya buat jualan aiskrim Malaysia. Apabila ada sejumlah duit, Aida akan bertanya tentang keperluan untuk mereka guna duit.

“Sebaiknya, kita tanya sasaran untuk mereka capai contohnya anak sulung saya berusia 15 tahun kata “kakak nak beli emas dengan duit ni…”. Jadi kita sebagai ibu bapa beri panduan dan bimbingan untuk mereka capai sasaran tersebut,” katanya.

Begitupun, Aida menyarankan ibu bapa untuk memberitahu anak-anak bahawa duit raya bukalah menjadi keutamaan di Aidilfitri.

Sebaliknya, terapkan kepada anak-anak bahawa berkunjung ke rumah saudara dan rakan-rakan di Aidilfitri, adalah untuk berziarah, bukannya kumpul duit raya.

“Setiap kali berkunjung ke rumah keluarga atau rakan-rakan, saya akan pesan pada anak-anak untuk jaga tingkah laku, jaga adab perbualan, makan dengan sopan dan elak berniat dalam hati untuk dapatkan duit raya,” katanya.

JANGAN BUKA SAMPUL DUIT RAYA
Aida turut menasihatkan ibu bapa untuk mengajar anak supaya jangan meminta duit raya dan membuka sampul di depan pemberi.

Sebaliknya pesan kepada anak-anak untuk ucapkan terima kasih dan simpan sampul diterima itu dalam beg.

“Buka sampul di rumah sahaja. Sebaiknya hargai pemberian orang tanpa persoalkan jumlahnya. Selain berterima kasih, saya juga ajar anak agar doakan orang yang beri duit raya supaya mereka lebih murah rezeki,” katanya.

Pada pendapat Aida, budaya beri duit raya budaya yang baik tetapi jika nak mengambil kesempatan menghargai kemuliaan dan keberkatan Ramadan sebaiknya amalkan sedekah dalam bulan Ramadan iaitu sebelum Aidilfitri.

TIPS DIDIK ANAK URUS WANG:

Berikut tips boleh diamalkan ibu bapa dalam mendidik pengurusan kewangan dalam kalangan anak-anak:

* Bantu mereka dalam bajet
Ajar anak untuk bahagikan antara jumlah boleh dibelanjakan atau sebahagian untuk disimpan.

* Beri kebebasan anak untuk berbelanja tetapi letakkan had
Jangan terlalu mengawal anak atau dominan bagaimana anak perlu berbelanja dengan duit poket. Tetapi letakkan peraturan atau had supaya anak dapat mempelajari nilai baik.

* Tegas dalam jadual pemberian dan nilai wang poket diberi
Jika mereka minta nilai tambahan hanya kerana wang poket sudah habis dibelanjakan, jangan sewenang-wenangnya memberi tanpa alasan kukuh.

* Jangan hukum dengan cara memotong duit poket yang sepatutnya mereka terima
Jika anak melakukan kesalahan, elak menghukum dengan kaedah memotong duit poket mereka terima. Sebaliknya kenakan hukuman lain seperti hadkan akses Internet dan televisyen.

* Tunjukkan contoh pengurusan kewangan baik pada anak
Apa yang anda ajar pada anak perlu juga dipraktikkan sendiri kerana ibu bapa adalah model terdekat untuk mereka ikuti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN