Penagih perlu sokongan bukan hukuman semata-mata - Utusan Malaysia

Penagih perlu sokongan bukan hukuman semata-mata

ADEEBA KAMARULZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman gigih memperjuangkan kaedah pencegahan dan rawatan HIV/AIDS. Beliau sanggup meluangkan masa ke Penjara Kajang bertemu banduan dijangkiti HIV/AIDS bagi mencari kaedah dan penyelidikan saintifik menangani isu penyakit berjangkit dalam penjara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Wajahnya sudah cukup dikenali dalam kalangan kakitangan penjara dan penghuninya apabila menjadi pengunjung ‘setia’ mereka.

Malah anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini sanggup menjelajah ke kawasan terpencil di seluruh pelusuk negara demi menjalankan pelbagai aktiviti sokongan untuk mereka.

“Kalau kita tidak tolong mereka siapa lagi? Selagi ada kemampuan, selagi Allah bagi rezeki dan jalan, saya akan cuba membantu.

“Mereka sebenarnya tidak perlu dipenjarakan sehingga kaum keluarga juga menerima kesan stigma. Mereka tidak boleh bekerja akibat pandangan serong masyarakat. Kerjasamasa dengan Kementerian Kesihatan juga perlu dijalankan bagi memperluaskan rawatan HIV dan Hepatitis C di penjara Kajang,” katanya kepada Seri.

Usaha itu sangat penting kerana ramai yang di tahan di penjara adalah golongan penagih dijangkiti HIV/AIDS. Mereka turut terdedah dengan penyakit berjangkit lain termasuk Tibi.

Beliau mengimpikan suatu hari kelak dapat melihat Akta Dadah di Malaysia lebih memberikan sokongan berbanding ‘menghukum’ penagih dadah.

30 TAHUN PERJUANGAN
Lebih 30 tahun mendedikasikan kerjaya sebagai pakar penyakit berjangkit, beliau juga merupakan penyokong kuat dalam memastikan golongan terpinggir seperti penghuni penjara dan mereka yang tinggal di pedalaman mendapat akses rawatan serta penjagaan HIV/AIDS.

Malah sejak 15 tahun lalu, Pusat Kecemerlangan Penyelidikan AIDS (CERIA) di Universiti Malaya, ditubuhkan sebagai salah satu daripada beberapa pusat penyelidikan HIV khusus di rantau ini yang menjalankan pelbagai kajian klinikal mengenai HIV, perubatan dan dasar rawatan serta penjagaan.

CERIA turut dijalankan di Penjara Kajang dengan menjalankan penyelidikan pencegahan tibi dalam kalangan penghuni yang hidup dengan HIV dan bukan HIV serta memberikan rawatan mencegah tibi supaya tidak menjadi aktif.

Justeru, tidak hairanlah peranan dan jasanya turut menarik perhatian sehingga ke peringkat global apabila dilantik sebagai Presiden Persatuan AIDS Antarabangsa yang secara langsung mencatat sejarah sebagai orang Asia pertama memegang jawatan itu pada tahun 2020. Pada tahun 2013 dan 2014, beliau diberi penghormatan dengan ditampilkan dalam jurnal The Lancet dan Science.

Sibuk urus persidangan HIV/AIDS terbesar, Presiden Persatuan AIDS Antarabangsa ini mengakui sedang sibuk menguruskan Persidangan Antrabangsa AIDS 2022 ke 24 yang bakal berlangsung di Montreal, Kanada Julai ini.

“Persidangan ini bermatlamat mengembalikan tumpuan kepada HIV/AIDS selepas banyak program tergendala sepanjang dua tahun dunia berdepan pandemik Covid-19. Misinya adalah untuk mencapai matlamat tiada lagi AIDS menjelang tahun 2030.

“Satu dekad yang lepas, banyak pencapaian sudah berjaya diraih tetapi kita masih belum mencapai sasaran ditetapkan untuk menurunkan kes jangkitan ditambah dengan pandemik Covid-19 apabila banyak dana diberikan bagi menangani jangkitan virus itu. Jadi, bagi menjayakan persidangan ini, saya banyak bermesyuarat secara maya dengan anggota lain di Geneva di sebelah malam. Sebelah siang pula, sibuk bekerja di Malaysia,” katanya sambil tersenyum.

Apa yang unik mengenai persidangan itu adalah kerjasama dengan komuniti besar yang dikenali sebagai ‘perkampungan global’ dengan tumpuan penyelidik dari seluruh dunia.

Persidangan yang bakal mendapat tumpuan media secara meluas itu diharapkan mampu menghidupkan semangat memperjuangkan isu HIV/AIDS dan terus berusaha menamatkan HIV/AIDS melalui rawatan dan pencegahan.

“Itu adalah sasaran global tetapi sayangnya di Malaysia, tiga tahun kebelakangan ini kes HIV/AIDS semakin bertambah selepas kita berjaya menurunkan kes melalui program pertukaran jarum. Daripada 6,000 kes meningkat kepada 7000 disebabkan jangkitan melalui hubungan seksual termasuk sesama jenis.

“Kita sudah ada rawatan yang bagus kerana seorang yang hidup dengan HIV kini boleh hidup seperti biasa dan lebih lama sekiranya mendapatkan rawatan peringkat awal menggunakan pil menghalang jangkitan HIV atau PrEP. Program pertukaran jarum dan kondom, boleh mengurangkan jumlah penghidap,” katanya.

Tak jemu lawan stigma
Dr. Adeeba turut sibuk dengan program untuk kanak-kanak dan mengatasi stigma ke atas mereka yang hidup dengan HIV.

Katanya salah satu program yang kami jalankan di CERIA adalah kolaborasi dengan penyelidik di Universiti Delaware dan Yale untuk program mengatasi stigma di kalangan petugas perubatan.

“Kami bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) untuk mewujudkan akta supaya mereka yang hidup dengan HIV tidak dipaksa menjalani ujian HIV semasa sesi temuduga pekerjaan dan tidak dibuang kerja kerananya. Malah di bidang perubatan, terdapat kes mereka tidak dibenarkan menjadi pakar. Ini salah kerana dengan rawatan yang sempurna, mereka tidak akan menjangkiti orang lain,” katanya.

Rindu jadi doktor ‘sebenar’
Jadual padat menyebabkan Dr Adeeba sukar berjumpa pesakit iaitu tugas hakikinya sebagai seorang doktor.

“Saya suka berjumpa pesakit di klinik tetapi saya terlalu sibuk. Saya sering berjanji dengan rakan sekerja junior untuk melakukan tugasan itu. Jadi, sekarang saya perlu kembali melakukan lebih banyak kerja klinikal di mana saya bertanggungjawab ke atas unit penyakit berjangkit.

“Kami akan bergilir setiap bulan menjaga unit berkenaan. Pesakit pula adalah yang dirujuk di PPUM seperti dari unit surgeri dan sebagainya. Seminggu atau dua minggu sekali saya akan menerima pesakit rujukan,” katanya.

Forbes 50 Over 50: Asia 2022
Presiden Komuniti AIDS Antarabangsa (IAS) untuk dua tahun bermula 11 Julai 2020, menyifatkan perlantikan itu sebagai sanjungan paling tinggi pernah diterimanya.

Katanya pengiktirafan itu meletakkan namanya sebaris tokoh wanita terkenal dunia antaranya Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris dan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi.

“Semua presiden yang dilantik sebelum ini sememangnya cukup disegani dalam menangani isu HIV/AIDS. Ia adalah penghormatan kemuncak bagi saya. Anugerah Doktor Kehormat Undang-undang daripada Universiti Monash menjadi pendorong untuk saya terus berusaha melakukan yang terbaik,” katanya. Beliau mengharumkan nama Malaysia apabila disenaraikan dalam Forbes 50 Over 50: Asia 2022. Senarai itu khusus untuk wanita berumur lebih 50 tahun, merentasi setiap sektor perniagaan, politik, sains dan masyarakat.

Makan semeja dengan selebriti Hollywood
Menjadi tetamu jemputan selain menerima sumbangan serta anugerah pada majlis amal di Vienna, Austria yang turut dihadiri oleh selebriti terkenal seperti Donatella Versace, Liza Minnell dan Elton John antara memori indah wanita ketal ini.

“Pada majlis pertunjukan fesyen, saya duduk bersebelahan Liza Minnelli dan selebriti lain. Begitu juga ketika makan malam. Malang sekali pada masa itu belum ada ‘selfie’ atau ‘wefie’, jadi tiadalah gambar untuk dijadikan kenangan.

“Saya ingat lagi, Liza Minnelli seorang yang lucu. Beliau memakai anting-anting berlian tetapi saya lihat anting-antingnya itu kerap jatuh. Dia cakap pada saya, “Jangan risau sebab ia berlian palsu. Semua orang ingat ia berlian betul sebab saya Liza Minnelli,” katanya sambil ketawa ketika mengimbau memori pada majlis anjuran Yayasan Penyelidikan AIDS Amerika (amfAR) iaitu NGO terkemuka di dunia dalam penyelidikan HIV/AIDS, pencegahan, pendidikan rawatan dan advokasi dasar awam berkaitan AIDS.

Hantar anak ke sekolah
Sibuk mana sekalipun, beliau tetap memastikan kebajikan keluarga terutama dua anak lelakinya tidak terabai. Setiap hari, beliau meluangkan masa untuk bersama suami dan anak-anak sebelum tidur dan menjadi tanggung jawab utamanya untuk menghantar anak-anak ke sekolah setiap hari.

“Sesibuk manapun, saya dan suami tetap akan mengutamakan anak. Kalau ada program di sekolah, kami pastikan salah seorang daripada kami akan pergi ke sekolah anak.

“Kalau ke luar negara pun, saya pastikan tidak meninggalkan anak dengan pembantu saja. Mesti ada ahli keluarga menemankan mereka.

“Lebih daripada itu saya bertuah sebab suami memberikan sokongan dan dapat pembantu rumah yang setia,” katanya yang menasihatkan wanita profesional mengutamakan keluarga walaupun sesukar manapun.

Azam lepas bersara
Selepas bersara pada Disember, 2023, Dr Adeeba mengakui masih memikirkan aktiviti yang ingin dilakukannya bagi mengisi masa terluang.

Bagaimanapun, beliau tetap akan meneruskan penyelidikan dengan CERIA dan MAF. Malah bidang doktor perubatan tetap akan menjadi pilihannya selepas bersara kelak.

“Kalau diizinkan mahu menyumbang kepada bahagian klinik tetapi ini bergantung kepada pihak Universiti. Saya ingin mencapai 90 peratus mereka yang dijangkiti tahu mereka dijangkiti HIV.

Maknanya ujian saringan HIV perlu diperluaskan.

“Saya juga mahu 95 peratus mereka yang positif menerima rawatan di mana setakat ini hanya 70% saja menerimanya. Bila sudah diberi rawatan, 95 peratus memiliki tahap virus yang tidak dapat dikesan,” katanya.

Semua dilakukan itu bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sebaliknya pengalaman kerja itu menjadi pendorong semangat buatnya.

“Sudah tentu semua ilmu dan pengalaman akan dikongsi untuk kemajuan perubatan negara bagi memastikan Malaysia sebaris dengan pakar di dunia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN